Latar Belakang PDK Selayang

PDK Selayang (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Selayang) telah ditubuhkan pada 1hb Sept 1991, oleh sekumpulan ibubapa kepada kanak-kanak kurang upaya (pada masa tersebut dipanggil sebagai kanak-kanak istimewa) yang anak-anak mereka telah dikeluarkan dari pembelajaran wajib di sekolah-sekolah aliran perdana di Selayang, dengan alasan mereka (OKU tersebut) "tidak boleh belajar". Alasan sebenar Guru Besar sekolah-sekolah tersebut ialah mereka takut graf pencapaian sekolah akan menurun.

Bermula dengan 15 orang kanak-kanak kurang upaya kelas diadakan sekali seminggu pada setiap hari Sabtu dari jam 8:30 pagi hingga 1:00 tengahari, dengan dilatih oleh seorang Petugas PDK (panggilan Cikgu PDK pada masa tersebut) iaitu Puan Noraini Othman.

Hari ini PDK Selayang telah berkembang pesat dengan jumlah pelatih OKU PDK seramai 102 orang melalui beberapa program iaitu Kelas Harian EIP, Kelas Harian LPV, Kelas Harian Pemulihan Perubatan (Pemulihan Anggota, Pemulihan Pertuturan dan Pemulihan Carakerja), Lawatan ke Rumah dan Program Rumah Kelompok (lelaki).

Kumpulan Sasar Utama: OKU (Orang Kurang Upaya)

Kumpulan Sasar Tambahan: Anak-Anak Yatim, Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik, Ibu Tunggal/Ibu Tinggal, Warga Emas dan Keluarga Miskin (dari lingkungan kumpulan sasar utama)

Kelas Harian EIP: 5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 8:30am-12:30pm.

Kelas Harian LPV (Latihan Pemulihan Vokasional): 5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 9:00am- 5:00pm.

Kelas harian Pemulihan Perubatan pula dijalankan seperti berikut:

Pemulihan Anggota: 5 hari/minggu; 8:30-11:30am; untuk OKU dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah. Sabtu & Ahad pula dikhaskan kepada OKU yang keluarganya mampu bayar penuh kos pakar (OKU dari keluarga kaya).

Pemulihan Pertuturan: 3 hari/minggu 8:30am- 12:00pm; untuk OKU dari keluarga berpendapan rendah dan miskin dan hari 2 hari dalam seminggu dikhaskan untuk OKU dari keluarga kaya yang mampu membayar kos pakar.

Pemulihan Carakerja: 4 hari/minggu; Isnin-Jumaat kecuali Khamis; 8:30-11:30am; untuk pelatih kanak-kanak; 2:30-4:00pm untuk pelatih remaja PDK.

Program Lawatan ke Rumah: 2 kali/minggu; Selasa (2:00-4:00 petang) dan Sabtu (9:30am-12:30pm).

Program Rumah Kelompok (Lelaki): menempatkan seramai 4 OKU yang telah bekerja.

PDK Selayang yang ditadbir-urus oleh satu Jawatankuasa yang dilantik oleh ibubapa/penjaga OKU.

PDK Selayang dipengerusikan oleh Y. Bhg. Dato' Prof. Ir. Dr Haji Azhari Md Salleh, dengan kekuatan Jawatankuasa seramai 13 orang.

Seramai 15 kakitangan berkhidmat di PDK Selayang yang diketuai oleh Penyelia PDK iaitu Puan Noraini Othman, 8 orang Petugas PDK, 3 orang Pakar Pemulihan Perubatan, 1 orang Pemandu dan 3 orang Pembantu. 3 orang kakitangan PDK Selayang adalah dari kalangan OKU.

Thursday, September 22, 2011

Bolasepak : bekas bintang bola sepak 'Malaya' rayu bantuan



NORSIAH (kiri) menunjukkan kaki suaminya yang dipotong sehingga paras lutut di rumahnya di Sungai Nibong semalam.


SEMASA usia mudanya, legenda bola sepak Tanah Melayu, Abu Hassan Mohamad, 74, cukup lincah di padang dan namanya sering meniti di bibir para peminat.

Kini meniti usia senja, Abu Hassan tidak segagah dahulu apabila menderita sakit buah pinggang dan kencing manis lalu mengharapkan ihsan daripada pelbagai pihak bagi meringankan bebannya termasuk daripada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).

Lebih memilukan, pemain sayap kiri pasukan Malaya itu terpaksa redha dengan nasibnya apabila kaki kanannya dipotong sehingga ke paras lutut, dua minggu lalu akibat penyakit kencing manis yang ditanggungnya sejak 20 tahun lalu itu.

Menurut beliau, keinginan untuk meneruskan kehidupan seperti biasa berubah dan kini terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak dengqan dibantu isterinya, Norsiah Mydin, 74.

“Saya mula diserang pelbagai penyakit seperti kencing manis, penyakit jantung dan buah pinggang selepas bersara sebagai kakitangan Jabatan Penjara Pulau Pinang pada tahun 1993.

“Sebelum itu, saya pernah dilantik sebagai jurulatih bagi pasukan bola sepak negeri ini pada tahun 1977.

“Sejak itu, saya tidak pernah meminta bantuan daripada mana-mana pihak termasuk Yakeb mahupun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Semua perbelanjaan dan kos rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) berjumlah kira-kira RM1,000 menggunakan sepenuhnya wang pencen,“ katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Jambul semalam.

Bagaimanapun, katanya, sumber kewangan itu tidak cukup untuk menampung kos perubatan termasuk menjalankan dialisis sebanyak tiga kali seminggu selain perlu menjelaskan ansuran pinjaman rumah sebanyak RM250 sebulan.

“Dahulu saya memandu kereta sendiri untuk ke hospital tetapi kini saya terpaksa menaiki teksi untuk menjalankan rawatan susulan bagi penyakit kencing manis.

“Mujurlah rawatan dialisis bagi penyakit buah pinggang dibiayai sepenuhnya oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi permohonan yang dibuat enam bulan lalu,” jelasnya.

Nama Abu Hassan mula dikenali sejak terpilih menyertai pasukan bola sepak Malaya pada era 60-an bersama-sama pemain tersohor seperti Abdul Ghani Minhat (Raja Bola), Arthur Koh, G. Govindaraju, Robert Choe, Edwin Dutton, Stanley Gabriel, Jalil Che Din dan Datuk M. Kuppan.

No comments: