Latar Belakang PDK Selayang

SEJARAH PENUBUHAN:

PDK Selayang (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Selayang) telah ditubuhkan pada 1hb Sept 1991, oleh sekumpulan ibubapa kepada kanak-kanak kurang upaya (pada masa tersebut dipanggil sebagai kanak-kanak istimewa) yang mana anak-anak mereka telah dinafikan hak untuk menerima pembelajaran wajib dari aliran perdana sekolah.

Pada 29 Oktober 2017, Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Selayang (Pertubuhan PDK Selayang) telah didaftarkan sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (Non-Gorvermental Asoociation-NGO) dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia Cawangan Selangor.

Bermula dengan 15 orang kanak-kanak kurang upaya kelas diadakan sekali seminggu pada setiap hari Sabtu dari jam 8:30 pagi hingga 1:00 tengahari, dengan dilatih oleh seorang Petugas PDK (panggilan Cikgu PDK pada masa tersebut) iaitu Puan Noraini Othman.

Hari ini PDK Selayang telah berkembang pesat dengan jumlah pelatih OKU PDK seramai 84 orang melalui beberapa program iaitu Kelas Harian EIP, Kelas Harian LPV, Kelas Harian Pemulihan Perubatan (Pemulihan Anggota, Pemulihan Pertuturan dan Pemulihan Carakerja), Lawatan ke Rumah dan Program Rumah Kelompok (lelaki).

Kumpulan Sasar Utama:
OKU (Orang Kurang Upaya)

Kumpulan Sasar Tambahan:
Anak-Anak Yatim, Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik, Ibu Tunggal/Ibu Tinggal, Warga Emas dan Keluarga Miskin (dari lingkungan kumpulan sasar utama)

Kelas Harian EIP:
5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 8:30am-12:30pm.

Kelas Harian LPV (Latihan Pemulihan Vokasional):
5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 9:00am- 4:00pm.

Kelas harian Pemulihan Perubatan pula dijalankan seperti berikut:

Pemulihan Anggota:
3 hari/minggu; Isnin, Rabu danJumaat; 8:30-11:30am; untuk OKU dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah.

Sabtu & Ahad pula dikhaskan kepada OKU yang keluarganya mampu bayar penuh kos pakar (OKU dari keluarga kaya).

Pemulihan Pertuturan:
2 hari/minggu, Rabu dan Jumaat 8:30am- 12:00pm; untuk OKU dari keluarga berpendapan rendah dan miskin dan hari 2 hari dalam seminggu dikhaskan untuk OKU dari keluarga kaya yang mampu membayar kos pakar.

Pemulihan Carakerja:
3 hari/minggu; Isnin, Rabu dan Jumaat; 8:30-11:30am; untuk pelatih kanak-kanak; 2:30-4:00pm untuk pelatih remaja PDK.

Program Lawatan ke Rumah:
2 kali/minggu; Selasa (2:00-4:00 petang) dan Sabtu (9:30am-12:30pm). Berdasarkan keperluan dan persetujuan dari ibubapa/penjaga untuk kehadiran Petugas PDK di kediaman mereka.

Program Rumah Kelompok (Lelaki):
Menempatkan seramai 4 OKU yang telah bekerja. (telah ditamatkan pada Januari 2015)

Pengurusan:
PDK Selayang yang ditadbir-urus oleh Jawatankuasa Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Selayang yang mana barisan Jawatankuasa terdiri dari ibubapa/penjaga OKU, Masyarakat Tempatan dan seorang OKU

Kakitangan:
Seramai 12 kakitangan berkhidmat di PDK Selayang yang diketuai oleh Penyelia PDK iaitu Puan Noraini Othman, (sila lihat
side menu).


Sunday, July 29, 2012

LUBANG NERAKA DI TURKMENISTAN


API di lubang ini sudah bernyala selama 41 tahun.

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM


BAGI umat Islam, neraka merupakan tempat orang berdosa mendapat seksaan pada hari akhirat kelak.
Begitupun, penduduk bandar kecil Derweze di Turkmenistan gempar dengan kemunculan sebuah ‘lubang neraka’ berhampiran kediaman mereka sejak tahun 1971 hingga sekarang.
Lokasi itu merujuk kepada sebuah lubang api yang luas ternganga sehingga ia digelar Pintu Neraka.
Menurut penduduk, lubang itu seluas dua padang bola sepak. Kedalamannya mencapai 30 meter manakala apinya masih bernyala sehingga hari ini.
Lubang itu ditemui oleh sekumpulan ahli geologi semasa era Soviet Union ketika mereka melakukan aktiviti penggalian bawah tanah menggunakan jentera berat.
Semasa kerja-kerja giat dijalankan, tidak semena-mena permukaan tanah di tapak penggalian itu runtuh menyebabkan kesemua peralatan menggerudi jatuh ke dalam sebuah lubang yang besar.
Pada masa yang sama, lubang itu mengeluarkan api yang bahangnya boleh dirasai hingga beberapa ratus meter jauhnya.
Api itu tidak pernah padam walaupun semasa hujan lebat. Malah, ukuran diameternya semakin membesar setiap tahun.
Sebuah akhbar Finland, Ammennusatia pernah menyiarkan sebuah artikel yang menyebut ia bukan sekadar sebuah lubang biasa.
Menurut akhbar itu, kumpulan ahli geologi itu mendakwa mendengar suara seperti jeritan ribuan manusia yang sedang diseksa meminta tolong manakala sebahagian yang lain kedengaran seperti orang Islam sedang bertahlil.
Rakaman

LOKASI Derweze, Turkmenistan.


Bunyi rakaman yang didakwa daripada Pintu Neraka itu masih boleh didengar di Youtube dengan pengendali klip video itu mendakwa ia sebenarnya suara roh orang mati di alam barzakh.
“Ia cukup menakutkan kami tentang kehidupan yang terdapat di lubang itu,” jelas ketua projek di Derweze, Dr. Dmitri Azzacov.
Azzacov menggunakan sejenis mikrofon sensitif yang berperanan mendengar bunyi atau pergerakan di dalam bumi.
“Apa yang kami dengar ibarat satu perkara logik yang tidak masuk akal. Saya seorang pengikut setia fahaman komunis yang tidak mempercayai agama dan hari pembalasan.
“Tetapi setelah mendengar jeritan itu saya mula mempercayai adanya Tuhan serta soal dosa dan pahala,” kata Azzacov.
Dia juga melihat pada waktu malam gas terang berbentuk seperti jin yang mempunyai dua sayap pada bahagian kiri dan kanan badannya terbang.
“Kejadian itu menakutkan sehingga ramai penduduk bertempiaran lari,” kata seorang saksi, Bjarne Nummedal yang mengatakan lembaga itu hilang beberapa minit kemudian.
Namun, misteri itu disangkal oleh sebuah laman berita www.truthorfiction.com yang mengatakan kisah tersebut rekaan semata-mata dan disensasikan oleh media pada awal 1990-an.
Menurut wartawan laman web itu, Rich Buhler, lubang itu sememangnya wujud tetapi ia terhasil disebabkan simpanan gas asli yang besar di Derweze.
“Mereka menyalakan api untuk memastikan gas asli yang tercemar itu tidak merebak dan membahayakan masyarakat sekeliling. Soal jeritan seperti penghuni neraka itu tidak benar sama sekali,” katanya.
Ujarnya, cerita itu sengaja direka oleh kumpulan pelampau agama untuk menakut-nakutkan manusia.
“Artikel itu memang ada disiarkan oleh akhbar Ammennusatia tetapi ia berdasarkan surat pembaca yang menulis pengalamannya.
“Setelah disiasat, penulis artikel berkenaan juga tidak dapat dikesan manakala cerita itu ditokok tambah,” kata Buhler.
link youtube rakaman derweze oleh Azzavove
http://www.youtube.com/watch?v=rHDkf2TUOoY&feature=player_detailpage
Malangnya, Buhler tidak cuba mencari Azzacov serta menguji kebenaran foto dan rakaman suara aneh itu.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0729&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm 
# Derweze berada lebih kurang 120k ke utara Erbent
# Imej lubang neraka tersebut boleh kelihatan dalam peta google tetapi tidak berapa jelas.......carian penulis blog

LOndon 2012 : Perjuangan Bermula



Jalur Gemilang : Gah di Kota London
LONDON – Menakjubkan dan sungguh memukau.Begitu suasana pembukaan Sukan Olimpik 2012 Londom kelmarin yang menampilkan gaya persembahan tersendiri.Majlis perasmian itu berlangsung di Stadium Olimpik London yang boleh memuatkan 80,000 penonton.
Selaku tuan rumah, London mempersembahkan gabungan suasana tradisional dan moden bagi menggambarkan proses transformasi yang dilaluinya dan ia dijadikan sebagai latar belakang untuk upacara pembukaan yang penuh gilang gemilang itu.
Ribuan peserta mengambil bahagian untuk membuat persembahan pada majlis pembukaan itu yang berlangsung selama dua jam.
Dengan bertemakan Isles of Wonder, ia menggambarkan transformasi yang dialami negara berkenaan bermula dari zaman revolusi perindustrian di abad ke-18 sehinggalah ia mencapai arus kemodenan dan perubahan pesat.
Mengakhiri segmen pertama, lima bulatan yang melambangkan simbol Olimpik dinaikkan di tengah-tengah stadium sebelum ketibaan Ratu Elizabeth II pada pukul 9.30 malam waktu London.
Ia disusuli persembahan kesenian moden dengan dua watak terkenal filem James Bond and Mr. Bean muncul untuk mencuri perhatian.
Selepas itu perarakan kontinjen daripada 204 negara yang mengambil bahagian bermula yang didahuli kontinjen Afghanistan.
Kontinjen Malaysia yang terdiri daripada 22 atlet dan pegawai dengan diketuai Ketua Kontinjen, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan pembawa Jalur Gemilang, Pandelela Rinong berarak tepat pada pukul 11.13 malam.
Kontinjen Malaysia memakai baju kebangsaan berwarna kuning dan berjalur hitam yang melambangkan warna ‘Harimau Malaya’ serta bertanjak (untuk peserta lelaki) sementara peserta wanita berbaju kurung dan berselendang.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Olimpik dan Paralimpik London, Sebastian Coe dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran para peserta ke temasya sukan terbesar dunia itu.
“Dalam tempoh dua minggu ini, kami akan menunjukkan bandar raya hebat London. London 2012 akan menyaksikan yang paling terbaik daripada kita.” katanya.
Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Jacques Rogge pula mengucapkan tahniah kepada London yang menjadi perhatian dunia untuk selama dua minggu akan datang.
“Di sinilah lahirnya sukan moden. London menjadi bandar raya pertama menganjurkan Sukan Olimpik moden sebanyak tiga kali selepas tahun 1908 dan 1948,” katanya.
Ratu Elizabeth II kemudiannya merasmikan pembukaan Olimpik London sementara pemenang pingat gangsa acara taekwondo wanita pada Sukan Olimpik Beijing 2008, Sarah Stevenson membaca ikrar bagi pihak atlet.
Selepas dibawa hampir 12,800 km, obor Olimpik akhirnya dibawa memasuki stadium pada pukul 12.35 pagi.
Sekumpulan tujuh orang atlet muda Britain kemudiannya membawa obor di sekeliling stadium dan menyalakan kawah obor Olimpik dan sebaik obor dinyalakan maka bermulalah Sukan Olimpik London 2012.

Friday, July 27, 2012

PELIK TETAPI BENAR!!!!!!

USIK & SENYUM:
PELIK TETAPI BENAR!!!!!! 

Alangkah Peliknya Kita......

Duit RM 50 kelihatan begitu besar bila dibawa ke kotak derma masjid;

tapi
begitu kecil bila kita bawa ke supermarket.


30 minit terasa terlalu lama untuk berzikir;

tapi
betapa pendeknya waktu itu untuk satu cerita komedi.


Betapa lamanya satu jam berada di masjid;

tapi
betapa cepatnya dua jam berlalu saat menonton wayang di panggung.


Dengar iklan jualan murah di tv rasa tak sabar-sabar nak pergi beli-belah;
tapi

dengar laungan azan tak sabar-sabar nak tukar channel lain.



Tak sampai 30 minit dengar khutbah Jumaat dah rasa jemu;

tapi
tak pernah puas dengar lagu kesukaan kita walaupun dah ulang dua tiga kaset berkali-kali.


Pasar malam jauh sanggup naik kereta pergi;

tapi
masjid/surau dekat rumah rasa berat pula kaki.


Rasa susah sungguh untuk habiskan Al-Quran walau satu halaman;

tapi
majalah hiburan dan novel best-seller 100 halaman pun habis dilahap.


Ramai orang berebut paling depan bila menonton bola atau konsert

tapi
berebut cari saf paling belakang bila solat jemaah supaya boleh cepat keluar.


kita begitu percaya pada yang dikatakan di emel di internet;

tapi
kita sering mempertikaikan apa yang dikatakan Al-Quran.


Pelik tak kita.....???
Tepuk dada... tanyalah hati dan iman. 

Thursday, July 26, 2012

Bonus 1/2 bulan gaji : Petugas PDK kempunan lagi.


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak semalam, mengumumkan kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan kerajaan bersetuju memberi Bayaran Khas Kewangan RM500 kepada pesara kerajaan.

“Bayaran itu akan dibuat pada 9 Ogos ini,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Pemberian bonus dan bayaran khas itu memberi manfaat kepada 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan.

Najib berkata, pemberian bonus dan bayaran khas kewangan itu dibuat berdasarkan kedudukan dan kemampuan kewangan kerajaan.

Beliau berkata, bayaran itu akan membabitkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2.2 bilion.

--------------------------------
Nampaknya, Petugas PDK kempunan lagi 

Walaupun Petugas PDK hanya lebih sedikit dari 2 ribu orang, yang akan melibatkan bayaran lebih sedikit dari RM satu juta, nampaknya YAB Perdana Menteri melupakan jasa dan titik peluh Petugas PDK yang wujud untuk membantu lebih dari 22 ribu OKU yang mendapat pemulihan, pembelajaran dan latihan di 468 buah PDK di seluruh negara.

Diharap YAB Perdana Menteri dapat juga mengumumkan berita gembira ini kepada mereka, InsyaAllah........ 

PDK Selayang : TA Group taja Iftar Ramadhan di PDK Selayang.

Sempena bulan Ramadhan Al-Mubarak yang mulia ini, TA Group, sebuah syarikat korporat yang terkenal di ibukota Kuala Lumpur telah tampil untuk menaja Iftar Ramadhan di PDK Selayang pada 26 Ramadhan 1433H bersamaan 15hb Ogos 2012 (Selasa).

TA Group akan menaja seramai 40 orang Pelatih OKU PDK Selayang untuk berbuka puasa dan juga seramai 45 orang anak yatim dari unit anak yatim PDK ini.

Selain dari menaja Iftar Ramadhan tersebut, TA Group akan menyumbangkan bahan asas makanan untuk kegunaan PDK dan juga akan menaja papan tanda utama di hadapan PDK.

Jawatankuasa PDK Selayang dan warganya bersyukur dan berterima kasih kepada TA Group untuk membantu PDK Selayang dalam menjalankan dan menjayakan aktiviti-aktivitinya.

Saturday, July 21, 2012

Selamat Berpuasa dan Menyambut Ramadhan Al-Mubarak

Jawatankuasa, kakitangan dan warga  PDK Selayang dan pengurusannya mengucapkan "Selamat Berpuasa" dan 'Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak'