Latar Belakang PDK Selayang

PDK Selayang (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Selayang) telah ditubuhkan pada 1hb Sept 1991, oleh sekumpulan ibubapa kepada kanak-kanak kurang upaya (pada masa tersebut dipanggil sebagai kanak-kanak istimewa) yang anak-anak mereka telah dikeluarkan dari pembelajaran wajib di sekolah-sekolah aliran perdana di Selayang, dengan alasan mereka (OKU tersebut) "tidak boleh belajar". Alasan sebenar Guru Besar sekolah-sekolah tersebut ialah mereka takut graf pencapaian sekolah akan menurun.

Bermula dengan 15 orang kanak-kanak kurang upaya kelas diadakan sekali seminggu pada setiap hari Sabtu dari jam 8:30 pagi hingga 1:00 tengahari, dengan dilatih oleh seorang Petugas PDK (panggilan Cikgu PDK pada masa tersebut) iaitu Puan Noraini Othman.

Hari ini PDK Selayang telah berkembang pesat dengan jumlah pelatih OKU PDK seramai 102 orang melalui beberapa program iaitu Kelas Harian EIP, Kelas Harian LPV, Kelas Harian Pemulihan Perubatan (Pemulihan Anggota, Pemulihan Pertuturan dan Pemulihan Carakerja), Lawatan ke Rumah dan Program Rumah Kelompok (lelaki).

Kumpulan Sasar Utama: OKU (Orang Kurang Upaya)

Kumpulan Sasar Tambahan: Anak-Anak Yatim, Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik, Ibu Tunggal/Ibu Tinggal, Warga Emas dan Keluarga Miskin (dari lingkungan kumpulan sasar utama)

Kelas Harian EIP: 5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 8:30am-12:30pm.

Kelas Harian LPV (Latihan Pemulihan Vokasional): 5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 9:00am- 5:00pm.

Kelas harian Pemulihan Perubatan pula dijalankan seperti berikut:

Pemulihan Anggota: 5 hari/minggu; 8:30-11:30am; untuk OKU dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah. Sabtu & Ahad pula dikhaskan kepada OKU yang keluarganya mampu bayar penuh kos pakar (OKU dari keluarga kaya).

Pemulihan Pertuturan: 3 hari/minggu 8:30am- 12:00pm; untuk OKU dari keluarga berpendapan rendah dan miskin dan hari 2 hari dalam seminggu dikhaskan untuk OKU dari keluarga kaya yang mampu membayar kos pakar.

Pemulihan Carakerja: 4 hari/minggu; Isnin-Jumaat kecuali Khamis; 8:30-11:30am; untuk pelatih kanak-kanak; 2:30-4:00pm untuk pelatih remaja PDK.

Program Lawatan ke Rumah: 2 kali/minggu; Selasa (2:00-4:00 petang) dan Sabtu (9:30am-12:30pm).

Program Rumah Kelompok (Lelaki): menempatkan seramai 4 OKU yang telah bekerja.

PDK Selayang yang ditadbir-urus oleh satu Jawatankuasa yang dilantik oleh ibubapa/penjaga OKU.

PDK Selayang dipengerusikan oleh Y. Bhg. Dato' Prof. Ir. Dr Haji Azhari Md Salleh, dengan kekuatan Jawatankuasa seramai 13 orang.

Seramai 15 kakitangan berkhidmat di PDK Selayang yang diketuai oleh Penyelia PDK iaitu Puan Noraini Othman, 8 orang Petugas PDK, 3 orang Pakar Pemulihan Perubatan, 1 orang Pemandu dan 3 orang Pembantu. 3 orang kakitangan PDK Selayang adalah dari kalangan OKU.

Sunday, September 25, 2011

Bekas tukang sapu jadi Presiden Zambia

MICHAEL SATA (kanan) menyanyikan lagu kebangsaan Zambia selepas beliau
mengangkat sumpah sebagai Presiden Zambia yang kelima kelmarin. - AFP

LUSAKA, Zambia - Seorang bekas tukang sapu di stesen kereta api Victoria, London dipilih sebagai Presiden Zambia yang baharu.

Berikrar mahu "menyapu Zambia menjadi lebih bersih", Michael Sata yang menerajui parti Barisan Patriotik, mengangkat sumpah sebagai Presiden Zambia Khamis lalu setelah partinya memperoleh kemenangan tipis dalam pilihan raya baru-baru ini.

Berusia 74 tahun dan mempunyai lapan orang anak, Sata giat menentang pengaruh China yang semakin meluas di negara berkenaan.

Zambia yang dikelilingi lapan negara iaitu Republik Demokratik Congo, Tanzania, Malawi, Mozambique, Zimbabwe, Botswana, Namibia dan Angola adalah pengeluar tembaga terbesar di dunia selain kaya dengan galian lain.

Sata, 74, menuduh pemerintah terdahulu, Presiden Rupiah Banda yang mentadbir Zambia selama 20 tahun sebagai terlalu berlembut dalam menangani gejala rasuah.

Tidak mahu mengulangi kesilapan sama, beliau berikrar akan berkongsi kekayaan hasil mineral negara itu dengan rakyat secara lebih adil dan telus.

"Zambia tidak boleh lagi mundur ke belakang. Kita semua mesti bergerak ke hadapan sebagai satu bangsa," katanya.

Digelar Tedung Selar kerana ucapan berbisanya yang sukar ditepis pihak lawan, Sata lahir di Zambia ketika negara itu masih bergelar koloni British bernama Rhodesia Utara.

Pada tahun 1950-an, beliau berhijrah ke London sebelum diambil bekerja sebagai tukang sapu dan porter oleh syarikat kereta api Britain, British Rail.

Sata kemudian belajar separuh masa untuk mengubah nasibnya. Beliau juga pernah bekerja di sebuah kilang pemasangan kereta di Britain sebelum kembali ke Zambia.

Sata kemudian menyertai pasukan polis negara itu.

Semasa berkempen, Sata pernah bersumpah bahawa beliau tidak akan minum air minuman yang dibotolkan sehingga semua rakyat Zambia mendapat bekalan air bersih.

Walaupun kaya dengan pelbagai hasil Bumi, negara di selatan Afrika itu masih dikategorikan sebagai mundur.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 70 peratus daripada 13 juta rakyat Zambia hidup dalam kemiskinan dengan purata gaji tahunan di negara itu cuma £255 (RM1,250). - Agensi

No comments: