Latar Belakang PDK Selayang

SEJARAH PENUBUHAN:

PDK Selayang (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Selayang) telah ditubuhkan pada 1hb Sept 1991, oleh sekumpulan ibubapa kepada kanak-kanak kurang upaya (pada masa tersebut dipanggil sebagai kanak-kanak istimewa) yang mana anak-anak mereka telah dinafikan hak untuk menerima pembelajaran wajib dari aliran perdana sekolah.

Pada 29 Oktober 2017, Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Selayang (Pertubuhan PDK Selayang) telah didaftarkan sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (Non-Gorvermental Asoociation-NGO) dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia Cawangan Selangor.

Bermula dengan 15 orang kanak-kanak kurang upaya kelas diadakan sekali seminggu pada setiap hari Sabtu dari jam 8:30 pagi hingga 1:00 tengahari, dengan dilatih oleh seorang Petugas PDK (panggilan Cikgu PDK pada masa tersebut) iaitu Puan Noraini Othman.

Hari ini PDK Selayang telah berkembang pesat dengan jumlah pelatih OKU PDK seramai 84 orang melalui beberapa program iaitu Kelas Harian EIP, Kelas Harian LPV, Kelas Harian Pemulihan Perubatan (Pemulihan Anggota, Pemulihan Pertuturan dan Pemulihan Carakerja), Lawatan ke Rumah dan Program Rumah Kelompok (lelaki).

Kumpulan Sasar Utama:
OKU (Orang Kurang Upaya)

Kumpulan Sasar Tambahan:
Anak-Anak Yatim, Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik, Ibu Tunggal/Ibu Tinggal, Warga Emas dan Keluarga Miskin (dari lingkungan kumpulan sasar utama)

Kelas Harian EIP:
5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 8:30am-12:30pm.

Kelas Harian LPV (Latihan Pemulihan Vokasional):
5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 9:00am- 4:00pm.

Kelas harian Pemulihan Perubatan pula dijalankan seperti berikut:

Pemulihan Anggota:
3 hari/minggu; Isnin, Rabu danJumaat; 8:30-11:30am; untuk OKU dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah.

Sabtu & Ahad pula dikhaskan kepada OKU yang keluarganya mampu bayar penuh kos pakar (OKU dari keluarga kaya).

Pemulihan Pertuturan:
2 hari/minggu, Rabu dan Jumaat 8:30am- 12:00pm; untuk OKU dari keluarga berpendapan rendah dan miskin dan hari 2 hari dalam seminggu dikhaskan untuk OKU dari keluarga kaya yang mampu membayar kos pakar.

Pemulihan Carakerja:
3 hari/minggu; Isnin, Rabu dan Jumaat; 8:30-11:30am; untuk pelatih kanak-kanak; 2:30-4:00pm untuk pelatih remaja PDK.

Program Lawatan ke Rumah:
2 kali/minggu; Selasa (2:00-4:00 petang) dan Sabtu (9:30am-12:30pm). Berdasarkan keperluan dan persetujuan dari ibubapa/penjaga untuk kehadiran Petugas PDK di kediaman mereka.

Program Rumah Kelompok (Lelaki):
Menempatkan seramai 4 OKU yang telah bekerja. (telah ditamatkan pada Januari 2015)

Pengurusan:
PDK Selayang yang ditadbir-urus oleh Jawatankuasa Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Selayang yang mana barisan Jawatankuasa terdiri dari ibubapa/penjaga OKU, Masyarakat Tempatan dan seorang OKU

Kakitangan:
Seramai 12 kakitangan berkhidmat di PDK Selayang yang diketuai oleh Penyelia PDK iaitu Puan Noraini Othman, (sila lihat
side menu).


Sunday, September 18, 2011

 p/s : penulis post cerita ini, untuk renungan kita bersama, memikirkan pasangan suami isteri yang tiada zuriat, mengambil anak angkat, yang akhirnya pada umur tua mereka, mereka diabaikan oleh anak angkat tersebut...................


Dalam perjalanan (lokasi terpaksa dirahsiakan), rakan saya, Atan berhenti di tepi jalan untuk bertanya arah kepada seorang wanita warga emas.

Selepas itu, Atan pun minta diri dan mengucapkan terima kasih kepada makcik itu. Belum pun sempat dia berpusing, wanita itu tiba-tiba memanggilnya: “Anak, boleh bagi makcik seringgit?”

“Makcik nak buat apa dengan seringgit?”

“Makcik nak beli makan, nak...,” balas makcik itu dengan nada sayu.

Menurut Atan, niat dia bertanya bukan kerana tidak mahu beri wang yang diminta tetapi dia terkejut dan hairan kerana makcik itu kelihatan kemas, bukan seperti pengemis atau orang kurang siuman. Lagi pula, yang diminta seringgit sahaja.

“Makcik kata nak makan, dengan seringgit, apa yang makcik boleh beli? Nasi sebungkus pun tak lepas."

“Kad bank makcik, anak makcik yang pegang. Itu pasal makcik terpaksa minta daripada anak. Nak minta lebih, takut jadi masalah pada anak. Nanti nak bagi cukup, makcik minta pada orang lain pulak."

Wanita itu kemudian bertanya kepada Atan dari mana dia datang, di mana dia bersekolah dan beberapa soalan lain.

Apa yang mengejutkan Atan, apabila dia beritahu nama sekolahnya, wanita itu terus menyebut nama pengetua sekolahnya dengan tepat. Kerana itu, Atan tambah lagi RM5 kepada makcik itu.
“Makcik tak payah minta daripada orang lain lagi hari ini,” kata Atan.

Wanita itu berpesan, “lain kali, kalau anak datang sini, singgahlah rumah makcik, kita makan-makan.”

Mendengar itu, Atan berkata: “Makcik nak makan pun minta duit dengan saya, sekarang makcik kata nak buat makan-makan pulak.”

Atan mengakui dia tiada niat menghina wanita itu namun berasa curiga, malah terlintas juga sama ada wanita itu manusia atau apa.
“Rumah makcik di mana?”

Si makcik lalu menunjukkan sebuah rumah batu agak besar tetapi usang tidak jauh dari situ. Meremang bulu roma Atan melihat keadaan rumah itu, yang katanya, lalang di sekeliling pun separas pinggang.

Atan kemudian beredar dengan seribu satu persoalan.

Tiba di rumah saudara yang ditujuinya, dia menceritakan hal itu kepada mereka. Mereka merancang mahu pergi semula ke tempat itu untuk mempastikan siapa dia yang sebenarnya.

“Esok paginya, kami pergi ke tempat itu. Aku rasa lega sikit apabila tengok bus stop tempat aku jumpa makcik itu masih ada, rumah yang dia tunjuk pun ada,” kata Atan ketika kami bersembang malam raya lalu.

Untuk mendapatkan kepastian, Atan bersama saudaranya singgah di sebuah kedai kopi berhampiran dan bertanya kepada tuan punya kedai itu mengenai wanita berkenaan. Pekedai itu mengakui, wanita yang ditemui Atan memang wujud (bukan jelmaan) dan dia juga mengesahkan bahawa si makcik itu dulunya pengetua sekolah sebagaimana yang dia beritahu Atan.

“Sebagai pesara pengetua sekolah, dia tentu ada wang pencen yang lebih daripada cukup untuk dia tanggung hidup, mengapa pulak dia minta duit daripada orang untuk beli makan?” tanya Atan.

“Sebenarnya macam ni, makcik itu dan suaminya (suaminya sudah meninggal) tak ada anak. Mereka bela anak angkat, lelaki yang sekarang sudah pun dewasa. Malangnya, anak angkat makcik itu penagih dadah. Dia yang pegang semua kad bank (wang) orang tua itu sampai nak beli makan pun tak ada duit," katanya.

Kesiannya. Saya yang mendengar cerita Atan pun rasa sangat tersentuh. Malang sungguh nasib makcik itu.

Saya dapat rasakan dia mungkin sengaja tidak bertindak tegas untuk melepaskan dirinya daripada masalah itu seperti buat laporan polis atau sebagainya, kerana tersepit dengan rasa kasih terhadap si anak angkat yang telah menzalimi dirinya sendiri.

Semoga kisah sedih makcik itu, ada penghujungnya sebelum dia menutup mata. Berdoalah sentiasa supaya kita dan anak-anak kita tahu mengenang jasa.

No comments: