Latar Belakang PDK Selayang

PDK Selayang (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Selayang) telah ditubuhkan pada 1hb Sept 1991, oleh sekumpulan ibubapa kepada kanak-kanak kurang upaya (pada masa tersebut dipanggil sebagai kanak-kanak istimewa) yang anak-anak mereka telah dikeluarkan dari pembelajaran wajib di sekolah-sekolah aliran perdana di Selayang, dengan alasan mereka (OKU tersebut) "tidak boleh belajar". Alasan sebenar Guru Besar sekolah-sekolah tersebut ialah mereka takut graf pencapaian sekolah akan menurun.

Bermula dengan 15 orang kanak-kanak kurang upaya kelas diadakan sekali seminggu pada setiap hari Sabtu dari jam 8:30 pagi hingga 1:00 tengahari, dengan dilatih oleh seorang Petugas PDK (panggilan Cikgu PDK pada masa tersebut) iaitu Puan Noraini Othman.

Hari ini PDK Selayang telah berkembang pesat dengan jumlah pelatih OKU PDK seramai 102 orang melalui beberapa program iaitu Kelas Harian EIP, Kelas Harian LPV, Kelas Harian Pemulihan Perubatan (Pemulihan Anggota, Pemulihan Pertuturan dan Pemulihan Carakerja), Lawatan ke Rumah dan Program Rumah Kelompok (lelaki).

Kumpulan Sasar Utama: OKU (Orang Kurang Upaya)

Kumpulan Sasar Tambahan: Anak-Anak Yatim, Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik, Ibu Tunggal/Ibu Tinggal, Warga Emas dan Keluarga Miskin (dari lingkungan kumpulan sasar utama)

Kelas Harian EIP: 5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 8:30am-12:30pm.

Kelas Harian LPV (Latihan Pemulihan Vokasional): 5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 9:00am- 5:00pm.

Kelas harian Pemulihan Perubatan pula dijalankan seperti berikut:

Pemulihan Anggota: 5 hari/minggu; 8:30-11:30am; untuk OKU dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah. Sabtu & Ahad pula dikhaskan kepada OKU yang keluarganya mampu bayar penuh kos pakar (OKU dari keluarga kaya).

Pemulihan Pertuturan: 3 hari/minggu 8:30am- 12:00pm; untuk OKU dari keluarga berpendapan rendah dan miskin dan hari 2 hari dalam seminggu dikhaskan untuk OKU dari keluarga kaya yang mampu membayar kos pakar.

Pemulihan Carakerja: 4 hari/minggu; Isnin-Jumaat kecuali Khamis; 8:30-11:30am; untuk pelatih kanak-kanak; 2:30-4:00pm untuk pelatih remaja PDK.

Program Lawatan ke Rumah: 2 kali/minggu; Selasa (2:00-4:00 petang) dan Sabtu (9:30am-12:30pm).

Program Rumah Kelompok (Lelaki): menempatkan seramai 4 OKU yang telah bekerja.

PDK Selayang yang ditadbir-urus oleh satu Jawatankuasa yang dilantik oleh ibubapa/penjaga OKU.

PDK Selayang dipengerusikan oleh Y. Bhg. Dato' Prof. Ir. Dr Haji Azhari Md Salleh, dengan kekuatan Jawatankuasa seramai 13 orang.

Seramai 15 kakitangan berkhidmat di PDK Selayang yang diketuai oleh Penyelia PDK iaitu Puan Noraini Othman, 8 orang Petugas PDK, 3 orang Pakar Pemulihan Perubatan, 1 orang Pemandu dan 3 orang Pembantu. 3 orang kakitangan PDK Selayang adalah dari kalangan OKU.

Monday, August 22, 2011

Tradisi Masjid Kampung Hulu, Melaka

 



MASJID Kampung Hulu yang terletak di tengah-tengah bandar Melaka sudah berusia 283 tahun.

Rumah Allah yang dibina oleh seorang pendatang dari negara China itu sudah merentasi beberapa zaman. Namun, reka bentuk dan struktur konkritnya masih utuh dan tersergam indah.

Masjid Kampung Hulu tidak pernah sunyi sehingga kini. Alunan ayat-ayat suci al-Quran sentiasa bergema di corong-corong pembesar suara.
Masjid Kampung Hulu, Melaka
Para jemaahnya pula merentasi benua. Wajah-wajah unik dari Tanah Arab mahupun dari China sesekali mendominasi ruang masjid tertua di Melaka itu. Ketika Ramadan, syiar Islam di Masjid Kampung Hulu dikatakan lebih terkesan dan terserlah.

Baru-baru ini penulis bersama jurufoto, Abdul Razak Latif berpeluang merasai aura Ramadan di sana. Sebaik para jemaah selesai menunaikan solat Asar, para jemaah lelaki berkumpul di beberapa sudut masjid.

Ada yang sibuk menyusun pinggan mangkuk dan cawan plastik. Tidak kurang pula yang berhempas-pulas mengalih dan mengangkat beberapa periuk besar dari bara api.

Seorang budak lelaki pula sedang sibuk mencedok bubur lambuk. Sementara lelaki yang serius wajahnya, khusyuk menyusun kurma di atas sebiji pinggan.

Selepas itu, datang seorang lelaki berkulit sawo matang dan berketayap mengangkat dua biji dulang yang dipenuhi nasi dengan kedua-dua belah tangannya.

Pada petang yang mendung itu, rumah Allah itu bertali arus didatangi oleh pelbagai manusia yang entah dari mana. Mereka dilihat menghantar bungkusan makanan. Tanpa sebarang pesan, mereka meletakkan bingkisan itu di tepi tangga dan terus beredar.

Sukarelawan masjid

Namun seorang lelaki India Muslim yang memikul beberapa kampit beras sempat membisikkan sesuatu kepada seorang pegawai masjid.

“Ya, pada bulan Ramadan ini, ramai datang bersedekah, murah rezeki masjid ini, Alhamdulillah.



KATA Abdullah, Masjid Kampung Hulu merupakan satu-satunya masjid di Melaka menggunakan beduk untuk menandakan azan Maghrib sudah masuk waktu.


“Sekarang, saya dan beberapa sukarelawan masjid sedang menyediakan persiapan untuk berbuka puasa untuk para jemaah, tapi sebenarnya kita dah mula sejak awal pagi,” kata norja Masjid Kampung Hulu, Abdullah Abdul Kadir, 62, kepada Kosmo!.

Hubungan antara masjid itu dan Abdullah sangat akrab. Dia mengetahui serba-serbi mengenai rumah Allah tersebut.

Topik perbualan kami pada petang itu terarah tentang rutin Ramadan di masjid tersebut. Kata anak jati Melaka ini, Masjid Kampung Hulu masih mengekalkan stail makan dalam dulang sejak hampir tiga abad yang lampau.

“Zaman dulu, masjid ini pakai material yang dibawa khas dari China tapi sekarang semua dah pecah.
“Sehingga kini, kita tak pernah terfikir untuk ubah tradisi itu (makan dalam dulang), cuma jemaah perempuan saja kita tukar makan pakai pinggan tapi jemaah lelaki tetap sama,” jelasnya yang dilantik menjadi norja sejak 12 tahun lalu.

Abdullah tidak berseorangan dalam mengurus masjid itu. Dia dibantu oleh seramai lima hingga lapan sukarelawan yang ikhlas dan tidak kisah melakukan kerja-kerja secara percuma.

Pada setiap hari, norja memberitahu, 50 dulang makanan disediakan untuk majlis berbuka puasa. Sebanyak 40 dulang untuk lelaki dan bakinya untuk jemaah wanita.

“Menu kita ialah nasi bukhari, nasi putih, kari, kurma, tembikai, air panas dan air sejuk. Selebihnya datang daripada orang ramai dan akan diagih-agihkan secara adil kepada semua orang,” ujarnya yang membeli keperluan melalui dana masjid dan hasil derma orang ramai.

Apakah menariknya makan sedulang? Menurut pendakwah bebas, Hashim Awaludin, makan secara berjemaah akan mewujudkan hubungan yang baik.

“Makan sedulang berupaya mengeratkan hubungan sesama insan.

“Rasulullah sering makan sedulang dengan anggota keluarganya kerana Maha Pencipta menjanjikan keberkatan kepada mereka yang mengamalkannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Cerita musafir

Melihat jemaah yang berwajah asing, berbeza pemakaian dan loghat percakapan, Abdullah ditanya tentang tetamu-tetamu Allah itu.

“Ya, ada antara mereka terdiri daripada musafir yang datang dengan tujuan. Tidak ketinggalan ada orang yang sesat dan yang bermunajat, kita sambut dengan hati terbuka” katanya.



SETIAP hari, pihak masjid akan menyediakan 50 dulang untuk para jemaah yang datang bertandang ke sini.


Abdullah terus bercerita. Ujarnya, sejak zaman berzaman, setiap kali Ramadan, masjid itu akan diimarahkan dengan ibadah yang tidak pernah putus sejak fajar mula menyingsing sehingga lewat pagi.

Jemaah bukan saja didorong menunaikan solat sunat tarawih dan bermoreh, tetapi diajak bersama-sama menyemarakkan majlis witriah.

“Witriah adalah bacaan puji-pujian kepada Allah pada bulan Ramadan dan kalau hendak tahu, Masjid Kampung Hulu saja merupakan satu-satunya masjid yang mengekalkan amalan ini,” ujar Abdullah.

Hal itu diakui oleh Setiausaha Biro Ekonomi Masjid Kampung Hulu, Yusop Tambri. Yusop yang juga kariah masjid tersebut sejak berumur 12 tahun berkata, tempat ibadat itu sememangnya dekat di hati masyarakat Kampung Hulu.

“Masjid ini sungguh istimewa dan gemar dilawati umat Islam lebih-lebih lagi terdapat makam Sayyid Abdullah Al-Haddad,” katanya. Sayyid Abdullah Al-Haddah ialah seorang guru agama dan mempunyai ilmu tasawuf yang tinggi. Beliau dianggap sebagai wali Allah pada sekitar tahun 1800-an.

Sedar tidak sedar, langit semakin gelap. Itu menandakan azan Maghrib akan berkumandang pada bila-bila masa.

Abdullah mengenakan songkok lantas menaiki tangga untuk memukul beduk yang terletak betul-betul di atas gerbang masjid.
Layanan baik

Dia tidak hentam kromo mengalunkan irama sebaliknya nada irama yang dipalunya ada oktaf tersendiri.

“Beduk atau gendang yang digunakan bagi menandakan masuk waktu solat pada zaman dulu hanya terdapat di masjid ini,” katanya sambil memberitahu paluan beduk hanya layak disempurnakan oleh pegawai masjid sahaja.

Sebaik azan dilaungkan, kurma dijamah dan tanpa mengenal latar belakang, empat individu berkongsi nasi yang dihidangkan dalam satu dulang.

Sudah terbiasa makan di masjid, seorang jemaah Myanmar yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 32, memberitahu, kemiskinan hidup telah mengheretnya ke masjid tersebut.

“Saya bersyukur kerana orang masjid di sini melayan orang luar dengan baik,” katanya.
Seorang jemaah wanita, Latifah Awang, 51, berkata, masjid itu telah mengikat hubungan persaudaraan dengan para jemaah lain.

“Selain gembira makan bersama, kami sesama jemaah sudah menjadi kawan baik,” katanya yang sering ke masjid tersebut sejak dua tahun lalu.

Siti, 27, yang tinggal di Peringgit, Melaka pula sanggup hadir ke masjid kerana baginya aura masjid itu sungguh mempesona dan sukar didapati di mana-mana.

Meskipun Masjid Kampung Hulu dikelilingi kedai-kedai yang diusahakan oleh peniaga kaum Cina, ia sedikit pun tidak mengganggu keharmonian masjid ini.

Seperti kata Yusop: “Orang Cina di sini tak pernah merungut sebaliknya mereka sentiasa mengharapkan masjid ini meriah. Mereka kata itu boleh dijadikan sebagai panduan mereka bangun untuk mula bekerja.”

No comments: