Latar Belakang PDK Selayang

PDK Selayang (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Selayang) telah ditubuhkan pada 1hb Sept 1991, oleh sekumpulan ibubapa kepada kanak-kanak kurang upaya (pada masa tersebut dipanggil sebagai kanak-kanak istimewa) yang anak-anak mereka telah dikeluarkan dari pembelajaran wajib di sekolah-sekolah aliran perdana di Selayang, dengan alasan mereka (OKU tersebut) "tidak boleh belajar". Alasan sebenar Guru Besar sekolah-sekolah tersebut ialah mereka takut graf pencapaian sekolah akan menurun.

Bermula dengan 15 orang kanak-kanak kurang upaya kelas diadakan sekali seminggu pada setiap hari Sabtu dari jam 8:30 pagi hingga 1:00 tengahari, dengan dilatih oleh seorang Petugas PDK (panggilan Cikgu PDK pada masa tersebut) iaitu Puan Noraini Othman.

Hari ini PDK Selayang telah berkembang pesat dengan jumlah pelatih OKU PDK seramai 102 orang melalui beberapa program iaitu Kelas Harian EIP, Kelas Harian LPV, Kelas Harian Pemulihan Perubatan (Pemulihan Anggota, Pemulihan Pertuturan dan Pemulihan Carakerja), Lawatan ke Rumah dan Program Rumah Kelompok (lelaki).

Kumpulan Sasar Utama: OKU (Orang Kurang Upaya)

Kumpulan Sasar Tambahan: Anak-Anak Yatim, Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik, Ibu Tunggal/Ibu Tinggal, Warga Emas dan Keluarga Miskin (dari lingkungan kumpulan sasar utama)

Kelas Harian EIP: 5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 8:30am-12:30pm.

Kelas Harian LPV (Latihan Pemulihan Vokasional): 5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 9:00am- 5:00pm.

Kelas harian Pemulihan Perubatan pula dijalankan seperti berikut:

Pemulihan Anggota: 5 hari/minggu; 8:30-11:30am; untuk OKU dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah. Sabtu & Ahad pula dikhaskan kepada OKU yang keluarganya mampu bayar penuh kos pakar (OKU dari keluarga kaya).

Pemulihan Pertuturan: 3 hari/minggu 8:30am- 12:00pm; untuk OKU dari keluarga berpendapan rendah dan miskin dan hari 2 hari dalam seminggu dikhaskan untuk OKU dari keluarga kaya yang mampu membayar kos pakar.

Pemulihan Carakerja: 4 hari/minggu; Isnin-Jumaat kecuali Khamis; 8:30-11:30am; untuk pelatih kanak-kanak; 2:30-4:00pm untuk pelatih remaja PDK.

Program Lawatan ke Rumah: 2 kali/minggu; Selasa (2:00-4:00 petang) dan Sabtu (9:30am-12:30pm).

Program Rumah Kelompok (Lelaki): menempatkan seramai 4 OKU yang telah bekerja.

PDK Selayang yang ditadbir-urus oleh satu Jawatankuasa yang dilantik oleh ibubapa/penjaga OKU.

PDK Selayang dipengerusikan oleh Y. Bhg. Dato' Prof. Ir. Dr Haji Azhari Md Salleh, dengan kekuatan Jawatankuasa seramai 13 orang.

Seramai 15 kakitangan berkhidmat di PDK Selayang yang diketuai oleh Penyelia PDK iaitu Puan Noraini Othman, 8 orang Petugas PDK, 3 orang Pakar Pemulihan Perubatan, 1 orang Pemandu dan 3 orang Pembantu. 3 orang kakitangan PDK Selayang adalah dari kalangan OKU.

Monday, August 22, 2011

Balas jasa ibu

BERSATU... pasangan kembar siam Ahmad (tiga kiri) dan Muhammad bersama ibu mereka Aisah dan ayah mereka Rosli serta adik beradik.
BERSATU... pasangan kembar siam Ahmad (tiga kiri) dan Muhammad bersama ibu mereka Aisah dan ayah mereka Rosli serta adik beradik.

KUALA LUMPUR: “Jika dulu ibu dan ayah berjaga siang malam kerana bimbangkan kesihatan kami, sekarang giliran kami pula menggalas tanggungjawab menjaga ibu yang menderita penyakit barah payudara,” kata pasangan kembar siam popular negara, Ahmad dan Muhammad Rosli, 13.

Kedua-duanya yang ditemui di kediaman mereka di Puchong, dekat sini, Khamis lalu, melayan ibu mereka yang terbaring di atas katil di ruang tamu rumah.

Pasangan kembar itu yang juga anak sulung pasangan Rosli Abdul Rahim, 40, dan Aisah Kanda, 35, mengakui sedih melihat keadaan ibu, yang dulu aktif bergerak, kini tidak mampu melakukan kerja rumah.

Menurut Ahmad, bagi meringankan penderitaan ditanggung ibunya, dia sebagai abang paling tua sentiasa memantau aktiviti empat lagi adiknya berusia tiga hingga sembilan tahun.

Memiliki adik perempuan bongsu yang sangat rapat dengan ibunya, Ahmad yang mesra dengan panggilan Along terpaksa menjaga Nur Batrisia, 3, dan memantau pergerakan aktifnya bagi menghalang mendekati ibu yang sakit.

“Kami kasihankan emak kerana dia hanya mampu duduk di tilam. Ayah pula sibuk menyiapkan kerja di bengkel serta menumpukan perhatian dengan kerja rumah, termasuk memasak dan mengemas, di samping memastikan persekolahan saya dan adik berjalan lancar.

“Saya tidak tahu apa hendak dilakukan untuk mengurangkan penderitaan emak. “Selepas balik dari sekolah dan berbuka, saya memicit badan emak bila dia mengadu lenguh atau sakit,” katanya yang bercita-cita menjadi pelukis.

Sementara itu, Muhammad atau lebih mesra disapa Angah turut mengakui sedih melihat penderitaan ditanggung ibunya.

Mengerti kesukaran dialami ibu bapanya dan menggalas tanggungjawab terhadap adiknya, Ahmad dan Muhammad turut ringan tulang membantu menyediakan sajian berbuka puasa, termasuk pinggan mangkuk serta gelas minuman untuk kegunaan bersama.

Mengimbau kenangan ketika menjalani rawatan pemisahan kembar siam di Hospital King Fahd National Guard, Bandar Perubatan King Abdul Aziz, Riyadh, Arab Saudi pada September 2002, Muhammad berkata, walaupun masih kecil, dia mampu mengingati peristiwa bersejarah itu.

“Kalau dulu, ibu dan ayah sentiasa di sisi dan memberi harapan kepada kami berdua yang dirawat selama 23 jam, kini sampai masa kami pula menjaga emak pada saat dia sakit,” katanya.

Muhammad yang petah bersama kembarnya belajar di tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan USJ23, Puchong, Selangor selepas menerima keputusan baik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu, mengakui kesihatan mereka kini beransur pulih.

Bercita-cita bergelar arkitek, dia mengakui terpaksa ponteng sekolah apabila ke hospital bagi merawati masalah ususnya, terutama lubang najis yang ditebuk di bahagian perut memerlukan penjagaan rapi.

Menurut Muhammad, selain ayahnya yang bertanggungjawab menukarkan beg najis, kembarnya turut membantu.

Ditanya mengenai kaki palsu yang sering dipakai sebelum ini, dia berkata, kurang selesa memakainya kerana pernah terjatuh hingga mendatangkan kesakitan fizikal, manakala Ahmad pula pernah tersadung hingga menyebabkan giginya patah akibat terlalu pantas berjalan.

“Namun itu tidak mematahkan semangat kami berdua untuk ke sekolah biarpun terpaksa menanggung kesakitan,” katanya

No comments: