Latar Belakang PDK Selayang

PDK Selayang (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Selayang) telah ditubuhkan pada 1hb Sept 1991, oleh sekumpulan ibubapa kepada kanak-kanak kurang upaya (pada masa tersebut dipanggil sebagai kanak-kanak istimewa) yang anak-anak mereka telah dikeluarkan dari pembelajaran wajib di sekolah-sekolah aliran perdana di Selayang, dengan alasan mereka (OKU tersebut) "tidak boleh belajar". Alasan sebenar Guru Besar sekolah-sekolah tersebut ialah mereka takut graf pencapaian sekolah akan menurun.

Bermula dengan 15 orang kanak-kanak kurang upaya kelas diadakan sekali seminggu pada setiap hari Sabtu dari jam 8:30 pagi hingga 1:00 tengahari, dengan dilatih oleh seorang Petugas PDK (panggilan Cikgu PDK pada masa tersebut) iaitu Puan Noraini Othman.

Hari ini PDK Selayang telah berkembang pesat dengan jumlah pelatih OKU PDK seramai 102 orang melalui beberapa program iaitu Kelas Harian EIP, Kelas Harian LPV, Kelas Harian Pemulihan Perubatan (Pemulihan Anggota, Pemulihan Pertuturan dan Pemulihan Carakerja), Lawatan ke Rumah dan Program Rumah Kelompok (lelaki).

Kumpulan Sasar Utama: OKU (Orang Kurang Upaya)

Kumpulan Sasar Tambahan: Anak-Anak Yatim, Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik, Ibu Tunggal/Ibu Tinggal, Warga Emas dan Keluarga Miskin (dari lingkungan kumpulan sasar utama)

Kelas Harian EIP: 5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 8:30am-12:30pm.

Kelas Harian LPV (Latihan Pemulihan Vokasional): 5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 9:00am- 5:00pm.

Kelas harian Pemulihan Perubatan pula dijalankan seperti berikut:

Pemulihan Anggota: 5 hari/minggu; 8:30-11:30am; untuk OKU dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah. Sabtu & Ahad pula dikhaskan kepada OKU yang keluarganya mampu bayar penuh kos pakar (OKU dari keluarga kaya).

Pemulihan Pertuturan: 3 hari/minggu 8:30am- 12:00pm; untuk OKU dari keluarga berpendapan rendah dan miskin dan hari 2 hari dalam seminggu dikhaskan untuk OKU dari keluarga kaya yang mampu membayar kos pakar.

Pemulihan Carakerja: 4 hari/minggu; Isnin-Jumaat kecuali Khamis; 8:30-11:30am; untuk pelatih kanak-kanak; 2:30-4:00pm untuk pelatih remaja PDK.

Program Lawatan ke Rumah: 2 kali/minggu; Selasa (2:00-4:00 petang) dan Sabtu (9:30am-12:30pm).

Program Rumah Kelompok (Lelaki): menempatkan seramai 4 OKU yang telah bekerja.

PDK Selayang yang ditadbir-urus oleh satu Jawatankuasa yang dilantik oleh ibubapa/penjaga OKU.

PDK Selayang dipengerusikan oleh Y. Bhg. Dato' Prof. Ir. Dr Haji Azhari Md Salleh, dengan kekuatan Jawatankuasa seramai 13 orang.

Seramai 15 kakitangan berkhidmat di PDK Selayang yang diketuai oleh Penyelia PDK iaitu Puan Noraini Othman, 8 orang Petugas PDK, 3 orang Pakar Pemulihan Perubatan, 1 orang Pemandu dan 3 orang Pembantu. 3 orang kakitangan PDK Selayang adalah dari kalangan OKU.

Sunday, August 7, 2011

Ramai orang tua Jepun mati kesepian : Rasa macam hampir sama di Malaysia

Program dekati masyarakat veteran

TOKYO: Pihak berkuasa Jepun bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti pejabat pos untuk memeriksa keadaan warga tua, memastikan mereka berhubungan dan memperbaiki kehidupan dalam usaha mengelak mereka mati sendirian.

Masyarakat Jepun yang semakin tua, dengan satu dalam empat penduduknya berusia 65 tahun ke atas, bermakna lebih ramai warga tua tinggal bersendirian setiap tahun, dan lebih menyedihkan ada mayat mereka ditemui selepas beberapa hari mati.

Wad kebajikan Shinagawa memulakan kerjasama dengan Pos Jepun yang membolehkan posmen memeriksa penduduk berusia 65 tahun ke atas sebulan sekali dengan menyerahkan kad ucapan. “Kami berharap dapat mengukuhkan ikatan dengan masyarakat,” kata pegawai badan kebajikan itu, Akihiro Hara.

Program ujian berkenaan meminta posmen memastikan semuanya dalam keadaan baik apabila melawat kediaman warga tua dan menghubungi pusat khas di pejabat wad itu jika ada sesuatu yang tidak kena. Pegawai akan menghubungi hospital dan pegawai kebajikan jika diperlukan.

Pertambahan warga tua yang keseorangan menjadi masalah sosial yang penting. Tahun lalu, 4.6 juta warga tua tinggal bersendirian di seluruh Jepun, dan bilangan yang mati di rumah meningkat 61 peratus antara 2003 dan 2010, daripada 1,364 kepada 2,194, menurut Biro Kebajikan Sosial dan Kesihatan Awam di Tokyo.

Keengganan penduduk Jepun untuk campur tangan dalam kehidupan orang lain, walaupun jiran, bermakna sebahagian warga tua ini menjalani hari tua mereka tanpa bercakap dengan sesiapa.

Masalah lain ialah tradisi menghormati warga tua yang semakin dilupakan dan ikatan kemasyarakatan yang sudah tidak sekuat dulu, menjadi punca keadaan itu meningkat, kata pakar.

“Satu karakter teruk masyarakat Jepun pada masa kini ialah kita melayan warga tua seperti mereka haiwan yang tidak mempunyai kehidupan,” kata pengulas sosial, Tomoko Inukai.

Beberapa pendekatan kreatif lain diambil untuk memastikan masyarakat sentiasa berhubung dengan warga tua.

Seorang ejen hartanah mula mempromosikan idea perkongsian rumah oleh ibu tunggal dan warga tua, menghimpunkan warga emas yang berminat menyewakan ruang dalam rumah selepas keluarga sendiri meninggalkan mereka kepada ibu tunggal yang mencari rumah pada harga berpatutan.

Namun, idea itu masih ada masalahnya, kata Hiroshi Kuwayama, Ketua Pengarah Eksekutif Now-e, firma hartanah yang terbabit.

“Ibu tunggal masih muda dan lebih mudah menerima idea berkongsi rumah tetapi warga tua mengambil masa untuk menerima konsep ini,” katanya.

Usaha lain membabitkan keperluan seperti makanan. Sebuah firma di Niigata, Mills, menghantar makanan setiap hari kepada warga tua yang sudah tidak mampu membeli makanan atau memasak dan memeriksa untuk memastikan mereka sihat.

p/s : posmen di Jepun dah hampir tiada kerja, kerana ada posmen hanya perlu menghantar tak sampai 10 pucuk surat sehari, sebab ramai yang guna e-mail dan perkhidmatan kurier, berbanding dengan posmen Malaysia yang perlu menghantar 300-400 pucuk surat sehari, tu pada hari biasa tuh, belum musim perayaan lagi.

No comments: