Latar Belakang PDK Selayang

PDK Selayang (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Selayang) telah ditubuhkan pada 1hb Sept 1991, oleh sekumpulan ibubapa kepada kanak-kanak kurang upaya (pada masa tersebut dipanggil sebagai kanak-kanak istimewa) yang anak-anak mereka telah dikeluarkan dari pembelajaran wajib di sekolah-sekolah aliran perdana di Selayang, dengan alasan mereka (OKU tersebut) "tidak boleh belajar". Alasan sebenar Guru Besar sekolah-sekolah tersebut ialah mereka takut graf pencapaian sekolah akan menurun.

Bermula dengan 15 orang kanak-kanak kurang upaya kelas diadakan sekali seminggu pada setiap hari Sabtu dari jam 8:30 pagi hingga 1:00 tengahari, dengan dilatih oleh seorang Petugas PDK (panggilan Cikgu PDK pada masa tersebut) iaitu Puan Noraini Othman.

Hari ini PDK Selayang telah berkembang pesat dengan jumlah pelatih OKU PDK seramai 102 orang melalui beberapa program iaitu Kelas Harian EIP, Kelas Harian LPV, Kelas Harian Pemulihan Perubatan (Pemulihan Anggota, Pemulihan Pertuturan dan Pemulihan Carakerja), Lawatan ke Rumah dan Program Rumah Kelompok (lelaki).

Kumpulan Sasar Utama: OKU (Orang Kurang Upaya)

Kumpulan Sasar Tambahan: Anak-Anak Yatim, Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik, Ibu Tunggal/Ibu Tinggal, Warga Emas dan Keluarga Miskin (dari lingkungan kumpulan sasar utama)

Kelas Harian EIP: 5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 8:30am-12:30pm.

Kelas Harian LPV (Latihan Pemulihan Vokasional): 5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 9:00am- 5:00pm.

Kelas harian Pemulihan Perubatan pula dijalankan seperti berikut:

Pemulihan Anggota: 5 hari/minggu; 8:30-11:30am; untuk OKU dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah. Sabtu & Ahad pula dikhaskan kepada OKU yang keluarganya mampu bayar penuh kos pakar (OKU dari keluarga kaya).

Pemulihan Pertuturan: 3 hari/minggu 8:30am- 12:00pm; untuk OKU dari keluarga berpendapan rendah dan miskin dan hari 2 hari dalam seminggu dikhaskan untuk OKU dari keluarga kaya yang mampu membayar kos pakar.

Pemulihan Carakerja: 4 hari/minggu; Isnin-Jumaat kecuali Khamis; 8:30-11:30am; untuk pelatih kanak-kanak; 2:30-4:00pm untuk pelatih remaja PDK.

Program Lawatan ke Rumah: 2 kali/minggu; Selasa (2:00-4:00 petang) dan Sabtu (9:30am-12:30pm).

Program Rumah Kelompok (Lelaki): menempatkan seramai 4 OKU yang telah bekerja.

PDK Selayang yang ditadbir-urus oleh satu Jawatankuasa yang dilantik oleh ibubapa/penjaga OKU.

PDK Selayang dipengerusikan oleh Y. Bhg. Dato' Prof. Ir. Dr Haji Azhari Md Salleh, dengan kekuatan Jawatankuasa seramai 13 orang.

Seramai 15 kakitangan berkhidmat di PDK Selayang yang diketuai oleh Penyelia PDK iaitu Puan Noraini Othman, 8 orang Petugas PDK, 3 orang Pakar Pemulihan Perubatan, 1 orang Pemandu dan 3 orang Pembantu. 3 orang kakitangan PDK Selayang adalah dari kalangan OKU.

Sunday, October 2, 2011

Al-Fatihah : Bapa Penulis telah kembali ke Rahmatullah.

Pada Rabu 30 Syawal 1432H (28hb September 2011) sedang penulis bersarapan pagi bersama-sama beberapa peserta siri satu, Kursus 'Thinking Out of the Box' di Palma Beach Resort, Teluk Nipah, Pulau Pangkor, penulis telah menerima panggilan telefon dari adik perempuan penulis, iaitu Siti Fatimah, yang menyatakan dalam nada sedih tetapi tabah, bahawa bapa kami iaitu Allahyarham Tawil bin Kadir telah meninggal dunia.

Foto Allahyarham bapa penulis pada 11/09/2010
Allahyarham meninggal dunia pada lebih kurang jam 7:00 pagi di rumahnya di Kampung Pasir Putih, Bachang, Melaka, dengan meninggalkan seorang isteri, 5 orang anak dan 19 orang cucu dan 5 orang cicit.

Kali terakhir penulis berjumpa dengannya ialah pada Ahad 27 Syawal 1432H (25hb September 2011) sebelum penulis bergerak ke Pulau Pangkor untuk menjalankan kursus TOB sebagai salah seorang fasilitator.

Allahyarham telah didiagnos mengidap kanser paru-paru tahap 4 pada Mei tahun ini, dan kanser tersebut telah merebak ke otak, yang mana doktor menjangkakan hayat beliau antara 2-3 bulan sahaja. (Sebelum itu doktor di Hospital Melaka menjangkakan sehingga 6 bulan tetapi doktor pakar di Institut Perubatan Respiratori (IPR) di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, yang mendapati kanser telah merebak ke otak menjangkakan lebih awal lagi pada 3 Syawal 1432H).

Doktor pakar telah berbincang dengan penulis pada 5 Syawal 1432H, yang menyatakan proses radioterapi dan kemoterapi tidak boleh dijalankan kepada belaiu memandangkan keadaan beliau yang amat lemah dan sudah tentu tidak mampu menahan kekuatan radioterapi dan kemoterapi.

Tetapi manusia hanya boleh menjangka dan merancang tetapi Allah yang maha mengetahui. Walaupun kami sekeluarga telah bersedia untuk menerima suratan takdir tersebut, cuma ianya datang lebih awal lagi.

Jenazah Allahyarham selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Bachang pada jam 2:30 petang.


Allahyarham bersama cucu bongsunya iaitu anak penulis,
Nurun-'Ain Sofiah pada 30/07/11
 Penulis hanya tiba di Bachang pada jam 5:00 petang.

Sebelum itu penulis telah menghubungi keluarga di Melaka terutamanya jiran dan saudara, supaya meneruskan sahaja proses pengkebumian dengan segera dan jangan menunggu penulis yang memang menjangka akan tiba lewat.

Kami sekeluarga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pehak yang membantu kami sekeluarga terutama penduduk kariah Kg pasir Putih, Bachang, jiran-jiran dan ahli keluarga yang lain yang turut sama membantu.

Tidak lupa juga, kami ucapkan ribuan terima kasih kepada kakitangan Hospital Melaka dan Institut Perubatan Respiratori (IPR) yang telah cuba membantu sedaya upaya.

----------------------

Datuk sebelah ayah penulis iaitu Kadir bin Ibrahim berasal dari Gelang Mas, Pasir Mas, Kelantan. Sementara nenek pula iaitu Patimah atau Yah berasal dari Patani, Selatan Thailand.

Mereka kemudiannya berhijrah ke Melaka pada awal kurun ke 20, sekitar tahun 1905-1915.  Allahyarham ayah penulis (penulis panggil 'abah') dilahirkan pada tahun 1923 (mengikut cerita mulut ke mulut saudara mara), tetapi semasa pendaftaran membuat kad pengenalan yang diperkenalkan oleh British pada tahun 1946, bapa penulis dicatatkan sebagai lair pada tahun 1935, lewat 13 tahun. Tetapi ia perkara biasa berlaku pada masa tersebut, janji ada catatan tahun lahir untuk pendaftaran tersebut.

Tidak banyak diketahui tentang saudara-mara sebelah ayah penulis, kerana penulis sendiri hanya dapat berjumpa dengan datuk penulis dua kali sahaja iaitu semasa berumur 10 tahun dan 11 tahun di Kampung Ayer Tawar, Sebatu, Melaka.

Datuk penulis meninggal semasa penulis berumur 12 tahun (1977). Penulis tidak pernah berjumpa dengan nenek kandung penulis (meninggal semasa penulis berumur 3 tahun (1968) di Patani dan disemadikan di sana.

Cuma, yang penulis tahu, satu-satunya datuk saudara yang penulis ada ialah Ibrahim Tukang Karut  (Allahyarham) (sepupu pada datuk penulis) yang menetap di Gelang Mas, Pasir Mas, Kelantan. Setakat ini, tiada usaha dibuat untuk bertemu dengan saudara-mara (jika ada) di Gelang Mas.

No comments: