Latar Belakang PDK Selayang

PDK Selayang (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Selayang) telah ditubuhkan pada 1hb Sept 1991, oleh sekumpulan ibubapa kepada kanak-kanak kurang upaya (pada masa tersebut dipanggil sebagai kanak-kanak istimewa) yang anak-anak mereka telah dikeluarkan dari pembelajaran wajib di sekolah-sekolah aliran perdana di Selayang, dengan alasan mereka (OKU tersebut) "tidak boleh belajar". Alasan sebenar Guru Besar sekolah-sekolah tersebut ialah mereka takut graf pencapaian sekolah akan menurun.

Bermula dengan 15 orang kanak-kanak kurang upaya kelas diadakan sekali seminggu pada setiap hari Sabtu dari jam 8:30 pagi hingga 1:00 tengahari, dengan dilatih oleh seorang Petugas PDK (panggilan Cikgu PDK pada masa tersebut) iaitu Puan Noraini Othman.

Hari ini PDK Selayang telah berkembang pesat dengan jumlah pelatih OKU PDK seramai 102 orang melalui beberapa program iaitu Kelas Harian EIP, Kelas Harian LPV, Kelas Harian Pemulihan Perubatan (Pemulihan Anggota, Pemulihan Pertuturan dan Pemulihan Carakerja), Lawatan ke Rumah dan Program Rumah Kelompok (lelaki).

Kumpulan Sasar Utama: OKU (Orang Kurang Upaya)

Kumpulan Sasar Tambahan: Anak-Anak Yatim, Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik, Ibu Tunggal/Ibu Tinggal, Warga Emas dan Keluarga Miskin (dari lingkungan kumpulan sasar utama)

Kelas Harian EIP: 5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 8:30am-12:30pm.

Kelas Harian LPV (Latihan Pemulihan Vokasional): 5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 9:00am- 5:00pm.

Kelas harian Pemulihan Perubatan pula dijalankan seperti berikut:

Pemulihan Anggota: 5 hari/minggu; 8:30-11:30am; untuk OKU dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah. Sabtu & Ahad pula dikhaskan kepada OKU yang keluarganya mampu bayar penuh kos pakar (OKU dari keluarga kaya).

Pemulihan Pertuturan: 3 hari/minggu 8:30am- 12:00pm; untuk OKU dari keluarga berpendapan rendah dan miskin dan hari 2 hari dalam seminggu dikhaskan untuk OKU dari keluarga kaya yang mampu membayar kos pakar.

Pemulihan Carakerja: 4 hari/minggu; Isnin-Jumaat kecuali Khamis; 8:30-11:30am; untuk pelatih kanak-kanak; 2:30-4:00pm untuk pelatih remaja PDK.

Program Lawatan ke Rumah: 2 kali/minggu; Selasa (2:00-4:00 petang) dan Sabtu (9:30am-12:30pm).

Program Rumah Kelompok (Lelaki): menempatkan seramai 4 OKU yang telah bekerja.

PDK Selayang yang ditadbir-urus oleh satu Jawatankuasa yang dilantik oleh ibubapa/penjaga OKU.

PDK Selayang dipengerusikan oleh Y. Bhg. Dato' Prof. Ir. Dr Haji Azhari Md Salleh, dengan kekuatan Jawatankuasa seramai 13 orang.

Seramai 15 kakitangan berkhidmat di PDK Selayang yang diketuai oleh Penyelia PDK iaitu Puan Noraini Othman, 8 orang Petugas PDK, 3 orang Pakar Pemulihan Perubatan, 1 orang Pemandu dan 3 orang Pembantu. 3 orang kakitangan PDK Selayang adalah dari kalangan OKU.

Tuesday, October 25, 2011

Cerita porter Gunung Kinabalu

KEGAGAHAN Amirin yang berat cuma 40kg tapi mampu mengangkat bebanan seberat 70kg sememangnya mengagumkan.


KETIKA menikmati panorama penuh pesona di kaki Gunung Kinabalu yang menjadi kemegahan penduduk Sabah, sesiapapun pasti mudah menemui sekumpulan lelaki yang sedang khusyuk menyusun sayur-sayuran dan kotak-kotak.

Riak wajah mereka amat serius. Entah apa yang melayang di fikiran salah seorang lelaki itu sehingga dia tidak sedar penulis menegurnya. Barangkali, dia tidak mahu diganggu.

Melihat senario itu, kami memutuskan untuk beredar ke destinasi seterusnya. Namun, langkah itu terhenti tatkala terserempak dengan seorang lelaki bertubuh kurus melakukan perkara yang sama berdekatan dengan kenderaan kami.

Reaksinya amat menyenangkan. Dia melemparkan senyuman kepada kami dan itulah isyarat jelas bahawa dia seorang yang mudah untuk didekati.

“Hai, saya porter Gunung Kinabalu di sini, sekarang ini saya sedang menyusun sayur-sayuran untuk dihantar ke restoran di Laban Rata,” katanya seolah-olah mengetahui soalan yang akan diajukan kepadanya.

Lelaki yang bernama Amirin Saidin, 25, itu, beratnya cuma 40 kilogram (kg). Hairannya, bagaimana dia berupaya memikul bebanan melebihi daripada beratnya? Bagaimanakah pula dia memiliki kekuatan yang sangat luar biasa itu?



KATA Amirin, pantang larang seorang porter ialah tidak boleh menghisap rokok kerana ia menjejaskan stamina.


Amirin yang berasal dari Ranau itu hanya tersenyum-simpul sahaja dengan pertanyaan bertalu-talu yang datang bukan hanya daripada penulis tetapi rakan-rakan yang lain juga.

Jaga makan

“Saya jaga makanan saya, saya makan nasi macam orang lain tapi saya tidak hisap rokok,” katanya yang hanya mengenakan baju-T hitam, seluar sukan dan kasut sport yang sesuai untuk mendaki gunung sejauh 6 kilometer (km) sebelum sampai ke Laban Rata yang mengambil masa kira-kira tiga jam.

Amirin memberitahu, bebanan yang berupa hanya sayur-sayuran seperti sawi, kangkung dan bayam pada hari itu sebenarnya tidak seberapa bagi dirinya. Dia sudah terbiasa.

“Ini biasa saja, saya pernah angkut set pemancar RTM seberat 70kg seorang diri,” katanya.

Demi sesuap nasi juga, Satimin Angat, 39, mencari rezeki dengan bekerja sebagai porter atau pengangkut barang di Gunung Kinabalu sejak lapan tahun lalu.

Cerita Satimin yang sudah lapan tahun berkecimpung dengan tugas itu, kebanyakan porter diupah sebanyak RM120.

“Biasanya upah itu merangkumi perjalanan pergi balik dan masa turun juga kita akan bawa barang,” kata Satimin yang kerap membawa barang seperti simen, pasir dan beras dengan berat antara 35 hingga 55kg.

Kebanyakan porter di gunung kelima tertinggi di Asia Tenggara ini memulakan kerja seawal pagi. Kepada yang mahukan wang ekstra, mereka akan mengambil upah membawa barangan dua atau tiga kali sehari.

Ada juga yang berkhidmat dengan para pendaki hingga ke puncak Kinabalu.

Seperti kata Amirin, Satimin juga mengakui, rahsia kekuatan fizikalnya adalah disebabkan dia tidak pernah merokok.

Tidak pernah cedera



Lazimnya, porter akan mengangkut barang seperti beras dan sayur-sayuran.


Sememangnya tugas sebagai porter diselimuti dengan cabaran dan rintangan. Kecederaan boleh menerjah mereka pada bila-bila masa. Amirin dan Satimin mengakui hakikat itu.

Bagaimanapun, bukan untuk membangga diri, kedua-dua lelaki itu memberitahu, mereka tidak pernah ditimpa ke cederaan.

“Benar dan syukur kerana selama menjadi porter, kami okey saja, tidak cedera, mungkin sejak dari kecil kami sudah tahu risiko dan semakin kebal,” kata Satimin berseloroh.

Bagi seorang porter lagi yang mahu dikenali sebagai Pitol, 39, pula berkata, dia seolah-olah mendapat kekuatan semula jadi sejak kecil.

“Saya jenis yang makan sayur setiap hari,” tambahnya yang tinggal di Kampung Wanj yang terletak berdekatan dengan Gunung Kinabalu.

Terlanjur berbicara, Pitol mendedahkan bahawa dia, Amirin dan Satimin mempunyai pertalian saudara.

“Untuk pengetahuan kamu, kebanyakan porter-porter di sini semuanya bersaudara,” katanya yang kadangkala mengambil upah menjadi pemandu pelancong dengan bayaran sekitar RM85 sehari.

Bagi penduduk yang tinggal sekitar Gunung Kinabalu, berkerja sebagai porter umpama sudah menjadi darah daging.

“Kerja ini memang tak popular, nampak susah tapi tidak bagi orang gunung seperti kami, ia sudah sebati. Rasanya mendengar bunyi cengkerik dan tiupan angin hutan lebih menarik daripada berdepan dengan kesesakan lalu lintas di bandar,” kata Pitol mengakhiri bicara.

No comments: