ALOR SETAR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih berusaha mengesan ibu bapa dua beradik berusia lima dan lapan tahun yang dipercayai menjadi mangsa dera oleh ibu tiri mereka, Sabtu lalu.
Jiran mangsa mendakwa tidak mengenali pasangan berkenaan kerana mereka dikatakan baru seminggu berpindah ke rumah itu. Justeru, kita sudah meminta ibu tiri kanak-kanak itu supaya tampil bagi membantu siasatan. - Jurucakap JKM, Daerah Kota Setar
Katanya, JKM berjaya menghubungi ibu tiri mangsa selepas mendapat maklumat daripada pihak sekolah, namun wanita berkenaan mendakwa berada di Kuala Lumpur selain menafikan mempunyai kaitan dengan kejadian terbabit.
“Selepas kes berkenaan terbongkar kami mengunjungi rumah mangsa, malangnya rumah itu sudah dikosongkan oleh pasangan berkenaan dipercayai pada petang hari kejadian.
“Malah, jiran mangsa mendakwa tidak mengenali pasangan berkenaan kerana mereka dikatakan baru seminggu berpindah ke rumah itu. Justeru, kita sudah meminta ibu tiri kanak-kanak-kanak itu supaya tampil bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Semalam akhbar ini melaporkan mengenai kes kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dan adik lelakinya berusia lima tahun terpaksa dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini selepas dipercayai didera oleh ibu tiri mereka berusia 21 tahun di rumahnya di Batu 3 1/4, Jalan Sungai Petani-Tandop di sini, Sabtu lalu.
Difahamkan, kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dan adik lelakinya berusia lima tahun itu sering didera termasuk ditampar, dicubit dan diconteng pada seluruh badan dengan pen oleh ibu tiri mereka, dipercayai mengalami trauma dan kini diletakkan di bawah jagaan JKM.
Jurucakap itu menambah, kanak-kanak berkenaan masih ditahan di HSB sementara usaha mengesan waris terdekat sedang di jalankan, termasuk menghubungi datuk dan nenek mangsa di Kuala Nerang.
Katanya, JKM juga ada menghubungi datuk dan nenek mangsa, tetapi mereka mendakwa jarang berhubung dengan anaknya itu, selain menjelaskan hubungan mereka tidak rapat kerana pasangan berkenaan jarang pulang ke rumah.
“Sekiranya usaha mengesan waris gagal, kita akan mendapatkan perintah mahkamah untuk menghantar kanak-kanak berkenaan di rumah kanak-kanak JKM di Pulau Pinang untuk jagaan sementara.
“Walaupun kes ini diklasifikasikan sebagai kes dera, ia bukan kes kritikal dan keadaan kanak-kanak itu tidak serius, selain boleh berinteraksi dengan baik,” katanya
No comments:
Post a Comment