Latar Belakang PDK Selayang

SEJARAH PENUBUHAN:

PDK Selayang (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Selayang) telah ditubuhkan pada 1hb Sept 1991, oleh sekumpulan ibubapa kepada kanak-kanak kurang upaya (pada masa tersebut dipanggil sebagai kanak-kanak istimewa) yang mana anak-anak mereka telah dinafikan hak untuk menerima pembelajaran wajib dari aliran perdana sekolah.

Pada 29 Oktober 2017, Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Selayang (Pertubuhan PDK Selayang) telah didaftarkan sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (Non-Gorvermental Asoociation-NGO) dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia Cawangan Selangor.

Bermula dengan 15 orang kanak-kanak kurang upaya kelas diadakan sekali seminggu pada setiap hari Sabtu dari jam 8:30 pagi hingga 1:00 tengahari, dengan dilatih oleh seorang Petugas PDK (panggilan Cikgu PDK pada masa tersebut) iaitu Puan Noraini Othman.

Hari ini PDK Selayang telah berkembang pesat dengan jumlah pelatih OKU PDK seramai 84 orang melalui beberapa program iaitu Kelas Harian EIP, Kelas Harian LPV, Kelas Harian Pemulihan Perubatan (Pemulihan Anggota, Pemulihan Pertuturan dan Pemulihan Carakerja), Lawatan ke Rumah dan Program Rumah Kelompok (lelaki).

Kumpulan Sasar Utama:
OKU (Orang Kurang Upaya)

Kumpulan Sasar Tambahan:
Anak-Anak Yatim, Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik, Ibu Tunggal/Ibu Tinggal, Warga Emas dan Keluarga Miskin (dari lingkungan kumpulan sasar utama)

Kelas Harian EIP:
5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 8:30am-12:30pm.

Kelas Harian LPV (Latihan Pemulihan Vokasional):
5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 9:00am- 4:00pm.

Kelas harian Pemulihan Perubatan pula dijalankan seperti berikut:

Pemulihan Anggota:
3 hari/minggu; Isnin, Rabu danJumaat; 8:30-11:30am; untuk OKU dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah.

Sabtu & Ahad pula dikhaskan kepada OKU yang keluarganya mampu bayar penuh kos pakar (OKU dari keluarga kaya).

Pemulihan Pertuturan:
2 hari/minggu, Rabu dan Jumaat 8:30am- 12:00pm; untuk OKU dari keluarga berpendapan rendah dan miskin dan hari 2 hari dalam seminggu dikhaskan untuk OKU dari keluarga kaya yang mampu membayar kos pakar.

Pemulihan Carakerja:
3 hari/minggu; Isnin, Rabu dan Jumaat; 8:30-11:30am; untuk pelatih kanak-kanak; 2:30-4:00pm untuk pelatih remaja PDK.

Program Lawatan ke Rumah:
2 kali/minggu; Selasa (2:00-4:00 petang) dan Sabtu (9:30am-12:30pm). Berdasarkan keperluan dan persetujuan dari ibubapa/penjaga untuk kehadiran Petugas PDK di kediaman mereka.

Program Rumah Kelompok (Lelaki):
Menempatkan seramai 4 OKU yang telah bekerja. (telah ditamatkan pada Januari 2015)

Pengurusan:
PDK Selayang yang ditadbir-urus oleh Jawatankuasa Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Selayang yang mana barisan Jawatankuasa terdiri dari ibubapa/penjaga OKU, Masyarakat Tempatan dan seorang OKU

Kakitangan:
Seramai 12 kakitangan berkhidmat di PDK Selayang yang diketuai oleh Penyelia PDK iaitu Puan Noraini Othman, (sila lihat
side menu).


Sunday, October 16, 2011

Bolasepak : Jangan cepat hukum pengadil

p/s 1: Pengadil = memang profesional, sebab itu memang profesion dia, dia tahu apa yang dia buat.

p/s 2: Pemain = tidak boleh jadi pengadil semasa mereka bergelar pemain, mereka tertakluk kepada undang-undang padang.

p/s 3: Pasukan (Jurulatih) = 85% pasti sentiasa akan menyalahkan sesiapa sahaja bila pasukan yang dilatihnya kalah termasuk pengadil, pemain, padang, rumput, lampu limpah, peminat, mercun, botol dan sampah, kekadang tuh, angin pun salah, angin dia tak pernahlah pulak salah. Tak pernah menyalahlan diri sendiri. Jadi kita boleh katakan ia juga profesional dalam mencari salah atau menyalahkan orang lain

p/s 4: Peminat? = memang profesional mengikut perasaan, rasa tidak puas hati bila pasukan yang disokong kalah walaupun tak bayar atau tak menyumbang satu senpun untuk kemajuan bolasepak, juga kan bertindak seperti jurulatih di atas, bahkan mungkin lebih teruk lagi (Al-Hamdulillah, peminat kita kadang-kadang berhemah juga, tak macam luar negara; harap-harap mereka tak follow)

p/s 5: Memang dah lumrah dan tradisi bolasepak kita begitu! Tak Gitu?

KAMUS Dewan Edisi Keempat cetakan terkini (2010) pada halaman 1,233 mengemukakan empat takrif profesional.

Pertamanya, individu atau golongan yang terlibat secara langsung dengan sesuatu bidang atau sesuatu profesion yang dipandang tinggi oleh masyara- kat.

Kedua, profesional berkait dengan perkara yang berasaskan kemampuan, kecekapan, atau kemahiran yang khusus untuk melaksanakan sesuatu tanggungjawab.

Seterusnya, profesional melibatkan sesuatu pembayaran yang dilakukan sebagai mata pencarian berlandaskan perjanjian yang berwibawa.

Akhir sekali, profesional dimafhumkan sebagai orang yang mengamalkan sesuatu bidang profesion setelah diperakukan memiliki pengetahuan, kemahiran dan kepakaran.

Perkataan profesional tiba-tiba menjadi sebutan popular peminat bola sepak tanah air setelah Mohd. Nafeez Abd. Wahab yang mengadili perlawanan Terengganu dengan Kelantan pada 11 Oktober lalu melayangkan lima kad merah dan 11 kad kuning kepada pemain.

Pemain Terengganu yang mendapat kad merah pada saingan Piala Malaysia pering- kat suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Selasa lalu ialah Ismail Faruqi dan Zubir Azmi.

Mohd. Shakir Shaari, Daudsu Jamaluddin dan Mohd. Aziz Ismail pula merupakan pe- main Kelantan yang turut diperintah meninggalkan padang oleh Mohd. Nafeez.

Setiausaha Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu (Peteh), Wan Mohd. Azmi Wan Ngah dan Pengurus Pasukan Kelantan, Azman Ibrahim dalam reaksi kepada Kosmo! pada malam itu tidak mengecualikan ulasan mereka berkaitan tindakan Mohd. Nafeez.

Ketika Azman Ibrahim memberikan komen yang agak sederhana iaitu hanya meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meneliti prestasi pengadil dengan sebaik-baiknya, Wan Mohd. Azmi tampil dengan vokal yang kritis iaitu menganggap lima kad merah malam itu suatu provokasi senyap kepada penyokong kedua-dua pasukan.

Tindakan pengadil dikatakan oleh Wan Mohd. Azmi sebagai menjejaskan rentak permainan kedua-dua pasukan dan membuatkan para pemain menjadi tertekan.

Beliau yang menganggap layangan lima kad merah itu sebagai cukup memalukan dan tidak pernah berlaku dalam sejarah bola sepak negara turut menyatakan bahawa Mohd. Nafeez sepatutnya mengawal permainan dengan tenang, bukannya mencari kesalahan pemain.

Wan Mohd. Azmi berpendapat bahawa sudah tiba masanya FAM meneliti sistem pengadilan bola sepak negara ini atas alasan banyak keputusan pengadil menimbulkan kontroversi dan pengadil seolah-olah mempunyai kuasa kebal untuk menghukum pemain.

Ketika membuat gesaan itu, beliau turut menyatakan bahawa sehingga kini, mana- mana jurulatih yang mengkritik sistem pengadilan akan menerima hukuman.

Laporan Kosmo! pada 12 Oktober lalu turut memuatkan kecaman peminat bola sepak (tidak dinyatakan siapa dan penyokong pasukan mana) ke atas Mohd. Nafeez dengan tudingan tidak profesional!

Mohd. Nafeez dikatakan sebagai mengadili perlawanan tersebut dengan emosi dan sewenang-wenangnya melayangkan kad kepada pemain.

Selama beberapa hari perkara ini diteliti dan perkara yang perlu didiskusikan sekarang ialah benarkah pengadil perlawanan ‘Gelora Pantai Timur’ itu tidak profesional sebagaimana dakwaan beberapa pihak tadi?

Dalam petikan berita radio THR Gegar Pantai Timur pukul 7 pagi 13 Oktober lalu (Khamis), pengadil bola sepak terkemuka tanah air, Subkhidin Salleh dengan tegas mempertahankan tindakan Mohd. Nafeez.

Menurutnya, tindakan Mohd. Nafeez tepat dengan situasi yang berlaku di padang pada malam itu, malah sepanjang pemantauannya, pengadil tersebut sangat komited, fokus, dan tekal dalam membuat keputusan.

Beliau meminta peminat bola sepak tidak menghukum Mohd. Nafeez kerana pengadil tersebut sudah melaksanakan tanggungjawab dengan cukup baik, sebaliknya, pemain harus mengawal emosi supaya perlawanan berjalan dengan lancar.

Pandangan beliau berhubung isu keupayaan pemain bola sepak negara kita mengawal emosi senada dengan reaksi Tan Sri Prof. Khoo Kay Kim.

Pemerhati bola sepak tanah air itu dalam banyak diskusi mengenai sukan berkenaan mahukan suatu perubahan cepat dilakukan pemain bola sepak dari aspek kawalan emosi dan fokus permainan jika mahu bertanding di ‘padang yang lebih luas’.

Bagi peminat bola sepak yang matang, yang menyaksikan perlawanan tersebut pada 11 Oktober lalu, gelora yang berlaku itu sememangnya dicetuskan oleh pemain, bukannya pengadil.

Mohd. Nafeez melayangkan kad kuning dan kad merah sejajar dengan apa-apa fakta yang terkandung dalam buku Undang-Undang Permainan dan Panduan Universal untuk Para Pengadil yang diterbitkan FAM.

Bab Undang-Undang XII Kesalahan-Kesalahan dan Kelakuan Tidak Bersopan bermula halaman 34, tersenarai sembilan peraturan iaitu Peraturan (a) hingga Peraturan (i) yang mewajarkan pengadil memberi amaran bertulis (kad kuning) kepada pemain.

Selain itu terdapat beberapa kesalahan lain yang turut memberi hak kepada pengadil untuk memberi amaran kepada pemain, antaranya melengah-lengahkan permainan dan keluar atau masuk ke padang secara tidak sah.

Dalam bab yang sama iaitu pada halaman 37, tersenarai tiga kesalahan berat iaitu Peraturan (n) hingga Peraturan (p) yang mewajarkan pengadil mengenakan kad merah atau perintah keluar dari padang permainan kepada pemain.

Apa-apa yang berlaku di SSINS pada malam itu jelas menunjukkan bahawa Mohd. Nafeez sudah melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik, selaras dengan peraturan yang difaktakan dalam buku peraturan tersebut.

Sebenarnya, luahan keras terhadap pengadil bola sepak bukan setakat dilakukan Wan Mohd. Azmi dan sasarannya pula bukan hanya Mohd. Nafeez, malah latar masa dan latar tempatnya bukan setakat 11 Oktober dan di SSINS sahaja.

Ujaran seumpama itu selalu sahaja kedengaran, malah konflik persepsi sedemikian seakan-akan sudah menjadi suatu tradisi dalam denyut nadi sukan bola sepak di negara ini.

Namun, dalam ruang lingkup yang lebih besar, perkara ini sukar diubah malah tidak keterlaluan kalau dikatakan, selepas ini insi- den mengeji pengadil akan berterusan walaupun dalam banyak keadaan, pengadil su- dah menjalankan tugasnya dengan mengikut peraturan.

Ketika kita meletakkan harapan kepada pasukan yang kita sokong, jangan pula kita melihat pengadil sebagai sasaran kecaman apatah lagi melabelkan mereka sebagai tidak profesional.

Semua pengadil bola sepak yang bertugas dalam kancah kejohanan utama di negara ini sudah mempunyai sijil kelayakan yang sepatutnya dan keupayaan mereka dari segi teori dan praktikalnya sudah pun diakui FAM.

Maka, mereka sudah menepati takrifan profesional sebagaimana yang terpapar dalam Kamus Dewan Edisi Empat sebagaimana yang dinyatakan pada bahagian awal tulisan ini.

Jika kita terus mempersoalkan kewibawaan pengadil, kita sukar mengorak langkah lebih jauh dan yang lebih buruk tentunya kita ketandusan pengadil kerana semakin ramai golongan pelapis gerun untuk memikul tanggungjawab tersebut. Pengadil yang ada sekarang harus diberi sokongan.

Akhir kata, marilah kita bertanya kepada diri sendiri dengan suatu ujaran yang ringkas iaitu: “Adilkah kita terhadap pengadil bola sepak di bumi sendiri?”

No comments: