Latar Belakang PDK Selayang

PDK Selayang (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Selayang) telah ditubuhkan pada 1hb Sept 1991, oleh sekumpulan ibubapa kepada kanak-kanak kurang upaya (pada masa tersebut dipanggil sebagai kanak-kanak istimewa) yang anak-anak mereka telah dikeluarkan dari pembelajaran wajib di sekolah-sekolah aliran perdana di Selayang, dengan alasan mereka (OKU tersebut) "tidak boleh belajar". Alasan sebenar Guru Besar sekolah-sekolah tersebut ialah mereka takut graf pencapaian sekolah akan menurun.

Bermula dengan 15 orang kanak-kanak kurang upaya kelas diadakan sekali seminggu pada setiap hari Sabtu dari jam 8:30 pagi hingga 1:00 tengahari, dengan dilatih oleh seorang Petugas PDK (panggilan Cikgu PDK pada masa tersebut) iaitu Puan Noraini Othman.

Hari ini PDK Selayang telah berkembang pesat dengan jumlah pelatih OKU PDK seramai 102 orang melalui beberapa program iaitu Kelas Harian EIP, Kelas Harian LPV, Kelas Harian Pemulihan Perubatan (Pemulihan Anggota, Pemulihan Pertuturan dan Pemulihan Carakerja), Lawatan ke Rumah dan Program Rumah Kelompok (lelaki).

Kumpulan Sasar Utama: OKU (Orang Kurang Upaya)

Kumpulan Sasar Tambahan: Anak-Anak Yatim, Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik, Ibu Tunggal/Ibu Tinggal, Warga Emas dan Keluarga Miskin (dari lingkungan kumpulan sasar utama)

Kelas Harian EIP: 5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 8:30am-12:30pm.

Kelas Harian LPV (Latihan Pemulihan Vokasional): 5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 9:00am- 5:00pm.

Kelas harian Pemulihan Perubatan pula dijalankan seperti berikut:

Pemulihan Anggota: 5 hari/minggu; 8:30-11:30am; untuk OKU dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah. Sabtu & Ahad pula dikhaskan kepada OKU yang keluarganya mampu bayar penuh kos pakar (OKU dari keluarga kaya).

Pemulihan Pertuturan: 3 hari/minggu 8:30am- 12:00pm; untuk OKU dari keluarga berpendapan rendah dan miskin dan hari 2 hari dalam seminggu dikhaskan untuk OKU dari keluarga kaya yang mampu membayar kos pakar.

Pemulihan Carakerja: 4 hari/minggu; Isnin-Jumaat kecuali Khamis; 8:30-11:30am; untuk pelatih kanak-kanak; 2:30-4:00pm untuk pelatih remaja PDK.

Program Lawatan ke Rumah: 2 kali/minggu; Selasa (2:00-4:00 petang) dan Sabtu (9:30am-12:30pm).

Program Rumah Kelompok (Lelaki): menempatkan seramai 4 OKU yang telah bekerja.

PDK Selayang yang ditadbir-urus oleh satu Jawatankuasa yang dilantik oleh ibubapa/penjaga OKU.

PDK Selayang dipengerusikan oleh Y. Bhg. Dato' Prof. Ir. Dr Haji Azhari Md Salleh, dengan kekuatan Jawatankuasa seramai 13 orang.

Seramai 15 kakitangan berkhidmat di PDK Selayang yang diketuai oleh Penyelia PDK iaitu Puan Noraini Othman, 8 orang Petugas PDK, 3 orang Pakar Pemulihan Perubatan, 1 orang Pemandu dan 3 orang Pembantu. 3 orang kakitangan PDK Selayang adalah dari kalangan OKU.

Saturday, June 4, 2011

Galeri Mustapha kamal : Dinding bercerita tentang kejayaan

“SELAMAT datang kepada semua anak-anak pak cik, maaf, pak cik tak berapa sihat hari ini tapi pak cik kuatkan diri juga untuk datang. Terima kasih kerana anak-anak pak cik membuat pilihan untuk melawat galeri ini.”

Pak cik. Begitulah kata ganti diri yang mesra dan merendah diri, telah diungkapkannya sepanjang pertemuan dengan kumpulan pengunjung bertuah.

Kata-kata itu sebenarnya adalah ucapan pembukaan daripada seorang tokoh perniagaan terulung iaitu Pengerusi Kumpulan Emkay Land, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar, 63, kepada 108 orang pelajar Kolej PTPL yang bertandang ke Galeri Emkay.

Seperti kata Pengurus Komunikasi Korporat Kumpulan Emkay, Sam Kamar Osman, sifat tersebut adalah pesona semula jadi seorang aristokrat yang unggul dalam dunia hartanah itu.

Kata Sam, majikannya itu seorang bersifat kebapaan dan suka mendekati serta memberi semangat kepada generasi muda.

Ternyata, sifat yang terbit daripada diri Mustapha telah menyimpulkan satu persepsi di luar kotak pemikiran kita. Meskipun beliau berada di puncak kejayaan, sikap kesederhanaannya menyentuh perasaan hadirin yang hadir.

Mustapha yang mengaku diri beliau ialah cucu seorang penjual sayur itu sangat menghormati pengunjung yang hadir ke galerinya. Ibarat rutin, organisasi yang membawa kumpulan pengunjung dalam jumlah besar akan dilayan olehnya. Mustapha yang sesekali menyelitkan humor dalam bicara tidak keberatan untuk menceritakan sendiri kisah di sebalik galeri itu.

Galeri Emkay adalah galeri yang mengisahkan titian perjalanan Mustapha bermula pada zaman kanak-kanak sehingga ke hari ini. Ilham, reka bentuk dan konsep galeri yang dibuka pada tahun lalu itu adalah ilham beliau sendiri.

Perasaan kagum dan teruja dapat dirasakan saat seseorang melangkah masuk ke galeri seluas 284.6 meter persegi yang terletak di Menara Mustapha Kamal di PJ Trade Centre, Damansara Perdana, Petaling Jaya.

Aura galeri yang memiliki seni reka sofistikated itu berupaya menyalakan ghairah pengunjung untuk mendalami historiografi di sebalik kisah hidup seorang tokoh yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara.

INSPIRASI NEGARA. Mustapha Kamal kini menjadi idola dan pembakar
semangat kepada generasi muda untuk mencipta kejayaan seperti dirinya.
Ispirasi boleh ditemui di setiap sudut galeri tersebut. Itu termasuklah serangkap puisi yang bertajuk Meniti Perjalanan Ke Puncak yang dibingkaikan bersebelahan potret Mustapha dan isteri beliau, Puan Sri Wan Nong Wan Ibrahim, 60.

Antara bait-bait puisi itu berbunyi: “Emkay, lahir bukan atas nasib, lahir bukan atas tuah, tapi lahir atas keinsafan, atas keyakinan.”

Baris ayat itu sesungguhnya memberi satu ilustrasi jelas kepada pengunjung bahawa kejayaan yang dirangkulnya kini bukan datang bergolek.

Barangkali kunjungan pengunjung ke situ akan memberi jawapan mengenai Mustapha yang begitu lancar bermain bahasa dan puisi. Beliau sebenarnya ialah graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sejarah) di Universiti Malaya (UM).

Galeri biografi Mustapha diatur secara sistematik iaitu bermula dengan pembahagian panel penceritaan mengikut tema seperti Perjalanan Kisah Kehidupan, Misi Kerjaya, Kasih Sayang dan Kekeluargaan, Semangat Kesungguhan dan Kemasyarakatan, serta Suatu Warisan:Doa dan Harapan.

Di sebalik Emkay

Lorong galeri pada ruang Perjalanan Kisah Kehidupan disifatkan paling sentimental. Iringan muzik First Love daripada Utada Hikaru menjadikan pengunjung lebih fokus dan terkesan tatkala membaca keterangan diri mengenai Mustapha Kamal.

Foto hitam putih yang membezakan warna kehidupan Mustapha ketika kecil, remaja dan dewasa boleh meninggalkan visual nostalgia yang tidak kehabisan dalam minda pelawat. Pada bahagian tersebut, pengunjung akan melihat sisi lain diri Mustapha. Beliau digambarkan sebagai seorang yang berdikari dan gemar aktiviti lasak termasuk menyertai pasukan pengakap.

Dari Kampung Changkat, beliau berhijrah ke Banting, Selangor dan melalui zaman persekolahan rendah dan menengah di Methodist English School. Kemudian pada tahun 1956, lelaki itu berpindah ke Kuala Lumpur dan menginap di kediaman bapa saudaranya untuk menyambung pengajian di tingkatan enam seterusnya di UM.
BIOGRAFI lengkap tokoh korporat ini diterjemahkan dalam sebuah buku
dinamakan Building Passion With Mustapha Kamal.
Di situ juga, pengunjung dapat mengetahui bahawa kerjaya Mustapha bukanlah bermula sebagai seorang ahli perniagaan. Pada peringkat awal, beliau hanyalah seorang Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Daerah Kuala Kubu Baru dan Kuala Langat.

Tahun 1979 menyaksikan langkah awal Mustapha menjengah dunia korporat sebagai Pengurus Besar Shah Alam Properties Sdn. Bhd. sehingga dinaikkan pangkat menjadi Pengarah Urusan.

Dari detik itu, Galeri Mustapha Kamal menyuntik rasa ingin tahu kepada pengunjung terhadap pengasasan Kumpulan Emkay dan pencapaian syarikat gergasi itu mengikut tahun perkembangannya.

Gitar klasik

Dinding-dinding di galeri itu terus bercerita. Mustapha juga ialah seorang penggemar muzik dan mahir bermain gitar. Bangga mempamerkan instrumen tersebut di satu sudut, Mustapha sebenarnya tidak mempelajari secara formal alat muzik itu tetapi menyerap skil melalui pendengaran.

Sam Kamar memberitahu, majikannya secara berseloroh pernah berkata, bahawa sekiranya beliau tidak menjadi usahawan, kemungkinan beliau kini adalah seorang pemuzik.

Beberapa keping gambar pada galeri itu juga membuktikan kecintaannya dalam bidang seni. Antara yang mencuri tumpuan ialah foto Mustapha mengiringi Tan Sri P. Ramlee dan Puan Sri Saloma pada satu persembahan pada tahun 1964.

“Ia satu penghargaan kepada saya,” kata beliau.

Sementara itu, di ruang pameran bertema Kasih Sayang dan Kekeluargaan, pengunjung didedahkan mengenai sisi beliau sebagai seorang bapa. Ternyata, bapa kepada empat anak dan 10 cucu itu tetap meletakkan institusi keluarga sebagai keutamaan hidup seiring dengan usaha peluasan empayar beliau.

Soal kebajikan, tokoh korporat itu memang tiada tandingan. Penubuhan Yayasan Emkay telah banyak berbakti kepada komuniti luar bandar. Yayasan tersebut telah bertindak membantu kumpulan itu daripada segi kesihatan, pendidikan, keagamaan, sukan, bantuan pembangunan kemasyarakatan serta peningkatan kesedaran terhadap perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar.

KUMPULAN EMKAY merupakan antara organisasi korporat yang
aktif menjalankan tanggungjawab sosial korporat kepada orang ramai
terutama masyarakat luar bandar.
Bercakap tentang sektor pelancongan, Pulau Banding dan Mustapha sangat signifikan. Usaha membangunkan pulau itu sebagai destinasi bertaraf dunia disifatkan sangat bernas. Ramai pihak berterima kasih kepadanya kerana pulau itu kini menjadi pintu masuk penting buat para pencinta alam.

Mustapha memberitahu: “Saya telah mendapat banyak manfaat daripada perjalanan hidup. Alhamdullillah, kini tiba masanya saya memberikan sesuatu kembali kepada masyarakat”.

Pengunjung juga berpeluang membaca beberapa kenyataan tokoh ternama negara seperti mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan isteri beliau, Tun Siti Hasmah Ali serta Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim, tentang Mustapha.

Mengambil sebaris petikan kata-kata Tun Mahathir: “MK adalah satu kebanggaan kepada orang Melayu dan Malaysia.”

Secara kolektif, falsafah kunjungan ke Galeri Mustapha Kamal pasti tidak akan sia-sia kerana sikap, semangat, pilihan, keberanian dan kecekalan tokoh berkarisma itu akan terpahat di minda selama-lamanya.

Begitupun, Mustapha berpesan, sehebat manapun seseorang itu, ibu bapa jangan sesekali dilupakan.

“Di mana saya berada pada hari ini, adalah daripada pengaruh, tunjuk ajar dan pengorbanan orang tua saya.”

No comments: