Latar Belakang PDK Selayang

PDK Selayang (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Selayang) telah ditubuhkan pada 1hb Sept 1991, oleh sekumpulan ibubapa kepada kanak-kanak kurang upaya (pada masa tersebut dipanggil sebagai kanak-kanak istimewa) yang anak-anak mereka telah dikeluarkan dari pembelajaran wajib di sekolah-sekolah aliran perdana di Selayang, dengan alasan mereka (OKU tersebut) "tidak boleh belajar". Alasan sebenar Guru Besar sekolah-sekolah tersebut ialah mereka takut graf pencapaian sekolah akan menurun.

Bermula dengan 15 orang kanak-kanak kurang upaya kelas diadakan sekali seminggu pada setiap hari Sabtu dari jam 8:30 pagi hingga 1:00 tengahari, dengan dilatih oleh seorang Petugas PDK (panggilan Cikgu PDK pada masa tersebut) iaitu Puan Noraini Othman.

Hari ini PDK Selayang telah berkembang pesat dengan jumlah pelatih OKU PDK seramai 102 orang melalui beberapa program iaitu Kelas Harian EIP, Kelas Harian LPV, Kelas Harian Pemulihan Perubatan (Pemulihan Anggota, Pemulihan Pertuturan dan Pemulihan Carakerja), Lawatan ke Rumah dan Program Rumah Kelompok (lelaki).

Kumpulan Sasar Utama: OKU (Orang Kurang Upaya)

Kumpulan Sasar Tambahan: Anak-Anak Yatim, Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik, Ibu Tunggal/Ibu Tinggal, Warga Emas dan Keluarga Miskin (dari lingkungan kumpulan sasar utama)

Kelas Harian EIP: 5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 8:30am-12:30pm.

Kelas Harian LPV (Latihan Pemulihan Vokasional): 5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 9:00am- 5:00pm.

Kelas harian Pemulihan Perubatan pula dijalankan seperti berikut:

Pemulihan Anggota: 5 hari/minggu; 8:30-11:30am; untuk OKU dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah. Sabtu & Ahad pula dikhaskan kepada OKU yang keluarganya mampu bayar penuh kos pakar (OKU dari keluarga kaya).

Pemulihan Pertuturan: 3 hari/minggu 8:30am- 12:00pm; untuk OKU dari keluarga berpendapan rendah dan miskin dan hari 2 hari dalam seminggu dikhaskan untuk OKU dari keluarga kaya yang mampu membayar kos pakar.

Pemulihan Carakerja: 4 hari/minggu; Isnin-Jumaat kecuali Khamis; 8:30-11:30am; untuk pelatih kanak-kanak; 2:30-4:00pm untuk pelatih remaja PDK.

Program Lawatan ke Rumah: 2 kali/minggu; Selasa (2:00-4:00 petang) dan Sabtu (9:30am-12:30pm).

Program Rumah Kelompok (Lelaki): menempatkan seramai 4 OKU yang telah bekerja.

PDK Selayang yang ditadbir-urus oleh satu Jawatankuasa yang dilantik oleh ibubapa/penjaga OKU.

PDK Selayang dipengerusikan oleh Y. Bhg. Dato' Prof. Ir. Dr Haji Azhari Md Salleh, dengan kekuatan Jawatankuasa seramai 13 orang.

Seramai 15 kakitangan berkhidmat di PDK Selayang yang diketuai oleh Penyelia PDK iaitu Puan Noraini Othman, 8 orang Petugas PDK, 3 orang Pakar Pemulihan Perubatan, 1 orang Pemandu dan 3 orang Pembantu. 3 orang kakitangan PDK Selayang adalah dari kalangan OKU.

Friday, July 1, 2011

Sindrom keluarga "sandwich"

KUALA LUMPUR: Kewangan keluarga tidak mencukupi dan kos sara hidup yang tinggi di Kuala Lumpur menyebabkan satu daripada empat keluarga (111,401 keluarga) di bandar raya ini mengalami sindrom keluarga ‘sandwich’.

Sindrom ini berlaku apabila pasangan perlu menanggung anak dan menjaga kedua-dua ibu bapa yang tinggal bersama dalam satu rumah.

Berasaskan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keempat dan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), sindrom keluarga sandwich di bandaraya Kuala Lumpur adalah yang tertinggi di kalangan negeri lain, iaitu 25.5 peratus daripada 436,865 keluarga.

Ketua Pengarah LPPKN, Datuk Aminah Abdul Rahman berkata, negeri kedua yang tertinggi mengalami sindrom ini ialah Selangor, iaitu 20.1 peratus daripada 1,375,869 keluarga, diikuti Perak 22.5 peratus dan Terengganu 22.6 peratus.

Katanya, mengikut kajian Sabah (24.5 peratus) dan Sarawak (28.1 peratus) adalah yang tertinggi mengamalkan keluarga sandwich, tetapi ia tidak termasuk dalam penilaian kerana sudah menjadi budaya masyarakat di negeri berkenaan tinggal bersama keluarga dalam satu rumah.

“Daripada aspek moral, pasangan yang menjaga ibu bapa dan membawa tinggal dalam satu rumah yang sama adalah perkara baik sekiranya mereka berkemampuan kerana tidak akan timbul konflik di kemudian hari. Namun, ia berbeza bagi pasangan muda dwi kerja (hampir 31.4 peratus keluarga di Kuala Lumpur adalah keluarga muda) yang tidak ada sumber mencukupi untuk mengurus keperluan anak dan ibu bapa mereka serentak,” katanya ketika bual bicara Dasar Keluarga Negara (DKN) di sini, semalam.

Bual bicara DKN adalah siri taklimat kepada semua kerajaan negeri mengenai dasar yang sudah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 17 Disember tahun lalu dan Kuala Lumpur adalah negeri kesembilan yang menganjurkan taklimat. Aminah berkata, cabaran keluarga sandwich tidak boleh diambil ringan kerana tuntutan keluarga dan kerjaya boleh memberi tekanan emosi dan mental sekiranya khidmat sokongan keluarga tidak disediakan oleh pihak berwajib.

“Bagi mengatasi masalah ini, khidmat sokongan keluarga yang lebih komprehensif perlu diberi kepada penduduk seperti mempermudahkan peraturan bagi pusat jagaan kanak-kanak dan penyediaan pusat harian warga emas serta mengkaji semula dasar dan peraturan yang tidak mesra keluarga di tempat kerja,” katanya.

No comments: