Latar Belakang PDK Selayang

PDK Selayang (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Selayang) telah ditubuhkan pada 1hb Sept 1991, oleh sekumpulan ibubapa kepada kanak-kanak kurang upaya (pada masa tersebut dipanggil sebagai kanak-kanak istimewa) yang anak-anak mereka telah dikeluarkan dari pembelajaran wajib di sekolah-sekolah aliran perdana di Selayang, dengan alasan mereka (OKU tersebut) "tidak boleh belajar". Alasan sebenar Guru Besar sekolah-sekolah tersebut ialah mereka takut graf pencapaian sekolah akan menurun.

Bermula dengan 15 orang kanak-kanak kurang upaya kelas diadakan sekali seminggu pada setiap hari Sabtu dari jam 8:30 pagi hingga 1:00 tengahari, dengan dilatih oleh seorang Petugas PDK (panggilan Cikgu PDK pada masa tersebut) iaitu Puan Noraini Othman.

Hari ini PDK Selayang telah berkembang pesat dengan jumlah pelatih OKU PDK seramai 102 orang melalui beberapa program iaitu Kelas Harian EIP, Kelas Harian LPV, Kelas Harian Pemulihan Perubatan (Pemulihan Anggota, Pemulihan Pertuturan dan Pemulihan Carakerja), Lawatan ke Rumah dan Program Rumah Kelompok (lelaki).

Kumpulan Sasar Utama: OKU (Orang Kurang Upaya)

Kumpulan Sasar Tambahan: Anak-Anak Yatim, Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik, Ibu Tunggal/Ibu Tinggal, Warga Emas dan Keluarga Miskin (dari lingkungan kumpulan sasar utama)

Kelas Harian EIP: 5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 8:30am-12:30pm.

Kelas Harian LPV (Latihan Pemulihan Vokasional): 5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 9:00am- 5:00pm.

Kelas harian Pemulihan Perubatan pula dijalankan seperti berikut:

Pemulihan Anggota: 5 hari/minggu; 8:30-11:30am; untuk OKU dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah. Sabtu & Ahad pula dikhaskan kepada OKU yang keluarganya mampu bayar penuh kos pakar (OKU dari keluarga kaya).

Pemulihan Pertuturan: 3 hari/minggu 8:30am- 12:00pm; untuk OKU dari keluarga berpendapan rendah dan miskin dan hari 2 hari dalam seminggu dikhaskan untuk OKU dari keluarga kaya yang mampu membayar kos pakar.

Pemulihan Carakerja: 4 hari/minggu; Isnin-Jumaat kecuali Khamis; 8:30-11:30am; untuk pelatih kanak-kanak; 2:30-4:00pm untuk pelatih remaja PDK.

Program Lawatan ke Rumah: 2 kali/minggu; Selasa (2:00-4:00 petang) dan Sabtu (9:30am-12:30pm).

Program Rumah Kelompok (Lelaki): menempatkan seramai 4 OKU yang telah bekerja.

PDK Selayang yang ditadbir-urus oleh satu Jawatankuasa yang dilantik oleh ibubapa/penjaga OKU.

PDK Selayang dipengerusikan oleh Y. Bhg. Dato' Prof. Ir. Dr Haji Azhari Md Salleh, dengan kekuatan Jawatankuasa seramai 13 orang.

Seramai 15 kakitangan berkhidmat di PDK Selayang yang diketuai oleh Penyelia PDK iaitu Puan Noraini Othman, 8 orang Petugas PDK, 3 orang Pakar Pemulihan Perubatan, 1 orang Pemandu dan 3 orang Pembantu. 3 orang kakitangan PDK Selayang adalah dari kalangan OKU.

Tuesday, July 26, 2011

Pulau Kucing Kampung Toshiro

KUCING boleh ditemui di mana-mana di pulau ini.

DI sebalik populariti Kampung Tashiro sebagai 'Pulau Kucing', kebanyakan warga pulau ini yang sudah lanjut usia mengharapkan perkara lain iaitu kedatangan warga baru.

Dihuni oleh kira-kira 100 orang yang purata usia mereka 70 tahun ke atas, komuniti Tashiro berharap kucing-kucing dapat menjadi magnet yang menarik pelancong sekali gus menambah jumlah penghuni desa.

"Kalau diperhatikan, kampung ini begitu damai. Tapi kalau berlaku bencana seperti kebakaran, tiada siapa yang boleh menolong kami.

"Saya berharap ramai anak muda akan berpindah ke sini. Di Tashiro banyak orang yang mahu mengajar mereka cara menangkap ikan," kata Yutaka Hama, 49, ketua perbadanan pelancongan Tashiro.

Di Tashiro, para nelayan sering memberi ikan kepada
beribu-ribu ekor kucing yang ada.
Hama berpindah ke Tashiro beberapa tahun lalu dan kini dia mencari rezeki sebagai pengendali penginapan dan nelayan.

Isterinya, Aiko, 37, setakat ini merupakan perempuan termuda di kampung itu. Selain Aiko, kebanyakan perempuan Tashiro sudah berusia lebih 60 tahun.

Tashiro tidak didiami seekor anjing pun. Selain itu, pemandangan yang biasa dilihat di kota-kota moden Jepun tiada di sini. Tiada pasar raya atau lampu trafik.

Populasinya telah menurun 10 kali ganda sejak tahun 1960 kerana banyak warga berpindah ke bandar lain.

Namun beberapa tahun lalu, Tashiro mula terkenal sebagai Pulau Kucing. Pada masa itu, sebuah stesen televisyen membuat siaran langsung tentang Jack the Lop Ear, seekor kucing jantan berbelang hitam putih.
BANGUNAN berbentuk kepala kucing popular di sini.

Sekarang Jack adalah tarikan utama bandar itu. Gerak-gerinya yang comel berbanding kucing lain menyebabkan popularitinya memuncak.

"Saya begitu senang melihat Jack. Setelah pencen nanti, saya mahu tinggal di sini saja," tutur Shiho Amano, 18, yang menyukai kucing.

Amano datang dari Nagoya ke Tashiro untuk menyaksikan pameran foto di situ. Telefon bimbitnya penuh dengan foto kucing terkenal itu.

Jack bukan kucing pertama yang menjadi idola nasional di Jepun. Tahun lalu, seekor kucing bernama Tama diangkat sebagai 'ketua' stesen kereta api Kinokawa di wilayah Wakayama.

Sebuah topi ketua stesen turut diberikan kepadanya. Kehadiran Tama turut mengundang kedatangan pelancong ke pekan kecil itu.

Di Tashiro, para nelayan sering memberi ikan kepada beribu-ribu ekor kucing yang ada. Haiwan itu sangat mudah dilihat di pulau seluas 314 kilometer persegi yang terletak 20 kilometer dari pelabuhan Ishinomaki di utara Jepun itu.

No comments: