Latar Belakang PDK Selayang

PDK Selayang (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Selayang) telah ditubuhkan pada 1hb Sept 1991, oleh sekumpulan ibubapa kepada kanak-kanak kurang upaya (pada masa tersebut dipanggil sebagai kanak-kanak istimewa) yang anak-anak mereka telah dikeluarkan dari pembelajaran wajib di sekolah-sekolah aliran perdana di Selayang, dengan alasan mereka (OKU tersebut) "tidak boleh belajar". Alasan sebenar Guru Besar sekolah-sekolah tersebut ialah mereka takut graf pencapaian sekolah akan menurun.

Bermula dengan 15 orang kanak-kanak kurang upaya kelas diadakan sekali seminggu pada setiap hari Sabtu dari jam 8:30 pagi hingga 1:00 tengahari, dengan dilatih oleh seorang Petugas PDK (panggilan Cikgu PDK pada masa tersebut) iaitu Puan Noraini Othman.

Hari ini PDK Selayang telah berkembang pesat dengan jumlah pelatih OKU PDK seramai 102 orang melalui beberapa program iaitu Kelas Harian EIP, Kelas Harian LPV, Kelas Harian Pemulihan Perubatan (Pemulihan Anggota, Pemulihan Pertuturan dan Pemulihan Carakerja), Lawatan ke Rumah dan Program Rumah Kelompok (lelaki).

Kumpulan Sasar Utama: OKU (Orang Kurang Upaya)

Kumpulan Sasar Tambahan: Anak-Anak Yatim, Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik, Ibu Tunggal/Ibu Tinggal, Warga Emas dan Keluarga Miskin (dari lingkungan kumpulan sasar utama)

Kelas Harian EIP: 5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 8:30am-12:30pm.

Kelas Harian LPV (Latihan Pemulihan Vokasional): 5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 9:00am- 5:00pm.

Kelas harian Pemulihan Perubatan pula dijalankan seperti berikut:

Pemulihan Anggota: 5 hari/minggu; 8:30-11:30am; untuk OKU dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah. Sabtu & Ahad pula dikhaskan kepada OKU yang keluarganya mampu bayar penuh kos pakar (OKU dari keluarga kaya).

Pemulihan Pertuturan: 3 hari/minggu 8:30am- 12:00pm; untuk OKU dari keluarga berpendapan rendah dan miskin dan hari 2 hari dalam seminggu dikhaskan untuk OKU dari keluarga kaya yang mampu membayar kos pakar.

Pemulihan Carakerja: 4 hari/minggu; Isnin-Jumaat kecuali Khamis; 8:30-11:30am; untuk pelatih kanak-kanak; 2:30-4:00pm untuk pelatih remaja PDK.

Program Lawatan ke Rumah: 2 kali/minggu; Selasa (2:00-4:00 petang) dan Sabtu (9:30am-12:30pm).

Program Rumah Kelompok (Lelaki): menempatkan seramai 4 OKU yang telah bekerja.

PDK Selayang yang ditadbir-urus oleh satu Jawatankuasa yang dilantik oleh ibubapa/penjaga OKU.

PDK Selayang dipengerusikan oleh Y. Bhg. Dato' Prof. Ir. Dr Haji Azhari Md Salleh, dengan kekuatan Jawatankuasa seramai 13 orang.

Seramai 15 kakitangan berkhidmat di PDK Selayang yang diketuai oleh Penyelia PDK iaitu Puan Noraini Othman, 8 orang Petugas PDK, 3 orang Pakar Pemulihan Perubatan, 1 orang Pemandu dan 3 orang Pembantu. 3 orang kakitangan PDK Selayang adalah dari kalangan OKU.

Sunday, April 1, 2012

Sokongan untuk Special Olympics

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
KANAK-KANAK ini gembira apabila dapat bergambar dengan badut ketika majlis
 pelancaran kempen meraih dana di Taman Jaya, Petaling Jaya baru-baru ini.


KADANGKALA satu-satunya perkara yang diperlukan oleh seseorang itu adalah peluang. Peluang yang boleh meningkatkan keyakinan diri yang membawa kepada kejayaan. Bagi mereka yang kurang upaya intelektual, Special Olympics amat dihargai oleh mereka kerana ia adalah tempat untuk mereka menemui kejayaan, kebahagiaan dan persahabatan melalui sukan.

Cerita-cerita yang menyentuh jiwa mengenai transformasi positif kanak-kanak kurang upaya telah memberi inspirasi kepada dua syarikat prihatin, Procter & Gamble (P&G) dan Tesco untuk melancarkan kempen meraih dana bagi membantu badan bukan kerajaan tersebut baru-baru ini.

Matlamat kempen tersebut adalah untuk mengumpulkan RM100,000 untuk Special Olympics dalam kempen yang berlangsung selama dua bulan.

Pelanggan yang berhasrat untuk membantu boleh membeli produk P&G yang mengambil bahagian di semua pasar raya Tesco di seluruh negara, termasuk jenama harian seperti Pantene, Head & Shoulders, Rejoice, Olay, Gillette, Oral-B, Downy, Ambi Pur, Febreze, Dynamo dan Fab.

"Sepanjang usaha kami membantu kanak-kanak istimewa sejak saban tahun, P&G percaya apa yang amat mereka perlukan adalah sokongan dan galakan untuk hidup, belajar dan berjaya.

"Kami amat berterima kasih kepada Tesco kerana sudi menjadi rakan kami dalam menyebarkan mesej penerimaan, penyertaan dan hormat terhadap golongan kurang upaya intelektual kepada pelanggan di seluruh negara," kata Ellie Xie, Ketua Pegawai Eksekutif P&G Malaysia dan Singapura.
Capai impian

Tambahnya, dengan membantu Special Olympics menyediakan latihan dan peluang untuk bertanding, pihaknya juga membuka jalan kepada ibu bapa yang mahu melihat anak-anak mereka membesar menjadi individu yang berkeyakinan dan mencapai impian mereka.

"Sebagai seorang ibu, saya faham hal yang dilalui oleh setiap ibu untuk mencorakkan masa depan anak-anak mereka. Kempen ini juga untuk menghargai usaha ibu-ibu yang merupakan wira sebenar," tambah Ellie.

P&G, melalui program tanggungjawab sosial korporatnya, Open Minds telah menyentuh kehidupan lebih daripada 9,000 kanak-kanak kurang upaya setakat ini.

Bersempena pelancaran kempen tersebut baru-baru ini, sebuah sesi senaman amal telah diadakan di Taman Jaya, Petaling Jaya, Selangor disertai oleh lebih daripada 200 orang peserta.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah selebriti Fauziah Latiff dan juga wakil media yang datang untuk memberi sokongan.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, SungHwan Do yang turut hadir ketika majlis pelancaran tersebut berbangga kerana menjadi sebahagian daripada usaha murni itu untuk menyatukan masyarakat, tanpa mengira kekurangan atau kelebihan yang ada pada diri mereka.

"Kami berharap agar kami dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai lagi tatkala kami meneruskan usaha ini.

"Bagi menggalakkan lebih banyak sokongan, dengan setiap pembelian barangan P&G yang mengambil bahagian, pelanggan juga akan menikmati dua mata ganjaran ClubCard," ujarnya.
Perubahan hidup



P&G MALAYSIA dan Tesco Malaysia baru-baru ini melancarkan kempen kutipan dana seluruh negara bagi membantu atlet Special Olympics Malaysia bagi merealisasikan impian mereka.  Bergambar bersama-sama ia;ah atlet-atlet Special Olympics dari PDK Selayang, PDK Hulu Kelang dan PDK Rawang


Sementara itu, Pengerusi Special Olympics Malaysia, Datuk Muhammad Feisol Hassan menyanjung usaha P&G dan Tesco kerana menganjurkan kempen itu.

"Setiap atlet yang kami uruskan mengalami perubahan dalam kehidupan mereka hanya dengan kuasa sukan.

"Matlamat kami di Special Olympics adalah untuk menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik, lebih sihat dan lebih menyeronokkan. Satu atlet, satu sukarelawan dan satu ahli keluarga pada satu-satu masa," katanya.

Muhammad Feisol menjelaskan, atlet Special Olympics adalah unik kerana mereka terdiri daripada kanak-kanak dan orang dewasa yang kurang upaya intelektual.

"Mereka berbeza kerana mereka mungkin belajar kemahiran baharu dengan perlahan atau mungkin tidak dapat memahami idea yang boleh difahami dengan mudah oleh orang lain. Tetapi, mesej kami sejak lebih 43 tahun lalu adalah golongan kurang upaya intelektual ini boleh berjaya dan akan berjaya jika diberi peluang," tegasnya.

No comments: