Latar Belakang PDK Selayang

PDK Selayang (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Selayang) telah ditubuhkan pada 1hb Sept 1991, oleh sekumpulan ibubapa kepada kanak-kanak kurang upaya (pada masa tersebut dipanggil sebagai kanak-kanak istimewa) yang anak-anak mereka telah dikeluarkan dari pembelajaran wajib di sekolah-sekolah aliran perdana di Selayang, dengan alasan mereka (OKU tersebut) "tidak boleh belajar". Alasan sebenar Guru Besar sekolah-sekolah tersebut ialah mereka takut graf pencapaian sekolah akan menurun.

Bermula dengan 15 orang kanak-kanak kurang upaya kelas diadakan sekali seminggu pada setiap hari Sabtu dari jam 8:30 pagi hingga 1:00 tengahari, dengan dilatih oleh seorang Petugas PDK (panggilan Cikgu PDK pada masa tersebut) iaitu Puan Noraini Othman.

Hari ini PDK Selayang telah berkembang pesat dengan jumlah pelatih OKU PDK seramai 102 orang melalui beberapa program iaitu Kelas Harian EIP, Kelas Harian LPV, Kelas Harian Pemulihan Perubatan (Pemulihan Anggota, Pemulihan Pertuturan dan Pemulihan Carakerja), Lawatan ke Rumah dan Program Rumah Kelompok (lelaki).

Kumpulan Sasar Utama: OKU (Orang Kurang Upaya)

Kumpulan Sasar Tambahan: Anak-Anak Yatim, Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik, Ibu Tunggal/Ibu Tinggal, Warga Emas dan Keluarga Miskin (dari lingkungan kumpulan sasar utama)

Kelas Harian EIP: 5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 8:30am-12:30pm.

Kelas Harian LPV (Latihan Pemulihan Vokasional): 5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 9:00am- 5:00pm.

Kelas harian Pemulihan Perubatan pula dijalankan seperti berikut:

Pemulihan Anggota: 5 hari/minggu; 8:30-11:30am; untuk OKU dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah. Sabtu & Ahad pula dikhaskan kepada OKU yang keluarganya mampu bayar penuh kos pakar (OKU dari keluarga kaya).

Pemulihan Pertuturan: 3 hari/minggu 8:30am- 12:00pm; untuk OKU dari keluarga berpendapan rendah dan miskin dan hari 2 hari dalam seminggu dikhaskan untuk OKU dari keluarga kaya yang mampu membayar kos pakar.

Pemulihan Carakerja: 4 hari/minggu; Isnin-Jumaat kecuali Khamis; 8:30-11:30am; untuk pelatih kanak-kanak; 2:30-4:00pm untuk pelatih remaja PDK.

Program Lawatan ke Rumah: 2 kali/minggu; Selasa (2:00-4:00 petang) dan Sabtu (9:30am-12:30pm).

Program Rumah Kelompok (Lelaki): menempatkan seramai 4 OKU yang telah bekerja.

PDK Selayang yang ditadbir-urus oleh satu Jawatankuasa yang dilantik oleh ibubapa/penjaga OKU.

PDK Selayang dipengerusikan oleh Y. Bhg. Dato' Prof. Ir. Dr Haji Azhari Md Salleh, dengan kekuatan Jawatankuasa seramai 13 orang.

Seramai 15 kakitangan berkhidmat di PDK Selayang yang diketuai oleh Penyelia PDK iaitu Puan Noraini Othman, 8 orang Petugas PDK, 3 orang Pakar Pemulihan Perubatan, 1 orang Pemandu dan 3 orang Pembantu. 3 orang kakitangan PDK Selayang adalah dari kalangan OKU.

Saturday, August 10, 2013

Ishtiaq Mobarak (Mubarak) : Perginya seorang legenda Olahraga

Allahyarham Iastiaq Mobarak
Kuala Lumpur: Pemergian legenda sukan olahraga negara Ishtiaq Mobarak (gambar) satu kehilangan besar dalam dunia sukan tanah air kerana beliau telah banyak menabur jasa dalam mengharumkan negara di pentas dunia.
Sumbangan yang diberikan Ishtiaq semasa hayatnya bukan sekadar membawa pulang pingat dalam acara 110meter lompat pagar di Sukan Asia, Kejohanan Asia dan Sukan SEA, malah Allahyarham menyambung keringat sebagai jurulatih kebangsaan sehingga tahun lalu. 
Beliau pernah mewakili negara dalam tiga Sukan Olimpik iaitu pada edisi 1968 di Mexico, 1972 di Munich, Jerman dan diberi penghormatan pembawa bendera kontinjen negara pada Sukan Olimpik 1976 di Montreal, Kanada.

Ishtiaq, 65, atau nama sebenar Ishtiaq Ahmad Mobarak Ahmad, meninggal dunia di rumahnya di Taman Zooview, Hulu Kelang, di sini pada jam 9.55 pagi semalam selepas terjatuh di bilik air dan mengalami kecederaan di bahagian kepala.
Foto

Sebelum ini, Allahyarham tidak dalam keadaan sihat sejak mengalami serangan angin ahmar tiga tahun lalu.

Allahyarham mula mewakili negara pada Sukan Asia di Bangkok pada 1966 yang menyaksikannya memenangi gangsa acara 110m lompat berpagar sebelum lapan tahun kemudian merangkul perak Sukan Asia 1974.

Allahyarham turut merangkul perak Kejohanan Trek dan Balapan Asia pada 1973 dan 1975.

Pada Sukan Olimpik 1976, Ishtiaq menjadi wakil tunggal negara layak ke separuh akhir, iaitu atlet kedua negara selepas M Jegathesan pada Sukan Olimpik 1964 di Tokyo, Jepun.

Ishtiaq juga memenangi emas 110m lompat berpagar Sukan SEA 1969, 1971 (rekod baru Sukan SEA 14.4s), 1973 dan 1977.

Rekod kebangsaan 14.08s yang diciptanya kekal selama 15 tahun sebelum dipecahkan Nur Herman Majid.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi yang juga berkawan rapat dengan bekas jurulatih atlet pelapis olahraga kebangsaan itu, berkata perkenalan lama dan akrab itu memberikan satu kesan kehilangan besar dalam hidupnya serta ahli sukan yang lain.

“Sebaik saja mendapat tahu mengenai pemergian beliau, saya terkejut kerana tidak menyangka beliau akan pergi dulu. Setahu saya dia masih sihat dan tidak ada sakit teruk namun ajalnya sampai dulu,” katanya.

Kok Chi berkata arwah Ishtiaq seorang jurulatih yang tegas dan memberikan fokus sepenuhnya dalam mendidik anak buahnya namun beliau sangat peramah, suka bergaul dan tidak pernah sombong dalam pergaulan.

Menurutnya, perkenalan pertama mereka pada tahun 70-an ketika sama-sama mengikuti temasya Sukan SEA dengan Ishtiaq menunjukkan prestasi cemerlangnya sebagai seorang atlet.

Kok Chi berkata kali terakhir beliau berjumpa dengan arwah pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia tahun lalu.

Menurut kawan rapat Allahyarham, Hanafiah Nasir, yang juga bekas jurulatih olahraga negara, arwah bukan saja seorang jurulatih malah dianggap ayah kerana berjaya melahirkan ramai atlet olahraga muda.

“Saya mula mengenali arwah sekitar 1977. Dari situ kami memulakan karier olahraga bersama-sama. Beliau memperkenalkan acara dekatlon kepada saya.Bagi saya arwah seorang yang berdedikasi dan selalu memberikan inspirasi kepada atlet selain memberikan khidmat nasihat kepada atlet yang baru berjinak dalam dunia olahraga,” katanya.

“Saya masih teringat lagi kenangan ketika saya menggantikan tempat arwah dalam acara 110m lari berpagar pada Piala Suharto 1980 di Kuala Lumpur yang mana saya meraih pingat emas dan kenangan itu masih segar dalam ingatan sehingga kini," katanya sedih selepas memberi penghormatan terakhir di rumah Allahyarham. - BERNAMA

No comments: