PUCHONG: Setiap rakyat Malaysia disaran menghulurkan sumbangan dan bantuan sewajarnya sama ada berbentuk kewangan ataupun kemudahan kepada pertubuhan dan rumah kebajikan bagi memastikan golongan memerlukan mampu menikmati kehidupan lebih baik.
Isteri Perdana Menteri yang juga Yang Dipertua Badan Amal Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), Datin Seri Rosmah Mansor berkata, kerjasama semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) serta korporat dapat memperkasakan konsep 1Malaysia, seterusnya melahirkan masyarakat lebih prihatin dan mempunyai kesedaran sosial tinggi.
Beliau berkata, rakyat yang prihatin tidak seharusnya memejamkan mata serta menutup telinga apabila mengetahui mengenai penderitaan serta keperitan hidup orang lain yang menagih simpati dan belas ihsan daripada mereka yang lebih berkemampuan.
“Amal jariah dilakukan sebenarnya mencerminkan sikap serta peribadi masyarakat itu sendiri kerana perbuatan bersedekah bukan saja mulia di sisi masyarakat malah di sisi Tuhan,” katanya ketika berucap pada lawatan Bakti ke Yayasan Kebajikan Sau Seng Lum (SSL) Haemodialisis dan Yayasan Kebajikan SSL Strok dan Pembangunan Masyarakat, di sini, semalam.
Turut hadir, Mantan Yang Dipertua Bakti, Tun Dr Siti Hasmah Ali dan Pengerusi SSL Haemodialisis dan Yayasan Kebajikan SSL Strok dan Pembangunan Masyarakat, Sze Chang Heng.
No comments:
Post a Comment