Latar Belakang PDK Selayang

PDK Selayang (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Selayang) telah ditubuhkan pada 1hb Sept 1991, oleh sekumpulan ibubapa kepada kanak-kanak kurang upaya (pada masa tersebut dipanggil sebagai kanak-kanak istimewa) yang anak-anak mereka telah dikeluarkan dari pembelajaran wajib di sekolah-sekolah aliran perdana di Selayang, dengan alasan mereka (OKU tersebut) "tidak boleh belajar". Alasan sebenar Guru Besar sekolah-sekolah tersebut ialah mereka takut graf pencapaian sekolah akan menurun.

Bermula dengan 15 orang kanak-kanak kurang upaya kelas diadakan sekali seminggu pada setiap hari Sabtu dari jam 8:30 pagi hingga 1:00 tengahari, dengan dilatih oleh seorang Petugas PDK (panggilan Cikgu PDK pada masa tersebut) iaitu Puan Noraini Othman.

Hari ini PDK Selayang telah berkembang pesat dengan jumlah pelatih OKU PDK seramai 102 orang melalui beberapa program iaitu Kelas Harian EIP, Kelas Harian LPV, Kelas Harian Pemulihan Perubatan (Pemulihan Anggota, Pemulihan Pertuturan dan Pemulihan Carakerja), Lawatan ke Rumah dan Program Rumah Kelompok (lelaki).

Kumpulan Sasar Utama: OKU (Orang Kurang Upaya)

Kumpulan Sasar Tambahan: Anak-Anak Yatim, Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik, Ibu Tunggal/Ibu Tinggal, Warga Emas dan Keluarga Miskin (dari lingkungan kumpulan sasar utama)

Kelas Harian EIP: 5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 8:30am-12:30pm.

Kelas Harian LPV (Latihan Pemulihan Vokasional): 5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 9:00am- 5:00pm.

Kelas harian Pemulihan Perubatan pula dijalankan seperti berikut:

Pemulihan Anggota: 5 hari/minggu; 8:30-11:30am; untuk OKU dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah. Sabtu & Ahad pula dikhaskan kepada OKU yang keluarganya mampu bayar penuh kos pakar (OKU dari keluarga kaya).

Pemulihan Pertuturan: 3 hari/minggu 8:30am- 12:00pm; untuk OKU dari keluarga berpendapan rendah dan miskin dan hari 2 hari dalam seminggu dikhaskan untuk OKU dari keluarga kaya yang mampu membayar kos pakar.

Pemulihan Carakerja: 4 hari/minggu; Isnin-Jumaat kecuali Khamis; 8:30-11:30am; untuk pelatih kanak-kanak; 2:30-4:00pm untuk pelatih remaja PDK.

Program Lawatan ke Rumah: 2 kali/minggu; Selasa (2:00-4:00 petang) dan Sabtu (9:30am-12:30pm).

Program Rumah Kelompok (Lelaki): menempatkan seramai 4 OKU yang telah bekerja.

PDK Selayang yang ditadbir-urus oleh satu Jawatankuasa yang dilantik oleh ibubapa/penjaga OKU.

PDK Selayang dipengerusikan oleh Y. Bhg. Dato' Prof. Ir. Dr Haji Azhari Md Salleh, dengan kekuatan Jawatankuasa seramai 13 orang.

Seramai 15 kakitangan berkhidmat di PDK Selayang yang diketuai oleh Penyelia PDK iaitu Puan Noraini Othman, 8 orang Petugas PDK, 3 orang Pakar Pemulihan Perubatan, 1 orang Pemandu dan 3 orang Pembantu. 3 orang kakitangan PDK Selayang adalah dari kalangan OKU.

Tuesday, July 9, 2013

Khidmat masyarakat oleh Pelajar IPT : Program bernilai dalam jangka panjang

Sikap mahasiswa institusi pengajian tinggi yang kurang berminat membabitkan diri ketika menjalankan program berbentuk kemasyarakatan bukan isu baru.
Lebih dukacita, apabila program yang bermatlamat membentuk pengukuhan jati diri dalam aspek kemasyarakatan itu dilakukan sambil lewa semata-mata bagi memenuhi piawaian memperoleh kredit pengajian.
Penekanan program yang dikatakan sentiasa sama selain menuntut banyak komitmen juga dijadikan alasan mahasiswa kurang aktif atau melakukannya kerana terpaksa.

Jika begitulah hasilnya, apakah masih relevan program sedemikian dilaksanakan atau diberi suntikan baru bagi menarik minat mahasiswa lebih bertanggungjawab?
Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Hazita Azman berkata, program kemasyarakatan tetap mempunyai nilai komersial untuk memberi kelebihan kepada mahasiswa dalam jangka panjang.
Beliau berkata, meskipun wujud tang­gapan program itu hanya bagi memenuhi ‘kredit’, dari sudut berbeza, ia banyak membantu mencorakkan sikap mahasiswa ke arah lebih positif.

“Setiap program diperkenalkan bukan secara semberono. Ia direncana melalui perbincangan, frasa, tapisan dan penolakan.

“Selepas kata sepakat dicapai, barulah diimplementasi. Proses tidak mudah biarpun program berkenaan hanya bernilai ‘percuma’ atau ‘tiga kredit’.

“Lebih penting, program seperti itu juga adalah sebahagian proses pembelajaran. Ilmu yang dikutip mesti ada nilainya,” katanya.

Impaknya juga tidak boleh dilihat sekelip mata kerana perlu dinilai tambah dengan konsep kendiri lain.

“Kebanyakan aktiviti program kema­syarakatan berbentuk fizikal dengan kesannya subjektif kepada setiap individu. Pentafsiran boleh ditafsirkan secara berbeza.

“Namun, dasarnya program ini mempunyai nilai sentuhan yang halus menerusi aspek kemanusiaan, kematangan serta kesedaran yang wujud dalam kalangan mahasiswa,” katanya menambah, mekanisme sesuai perlu ditekankan bagi menarik minat mahasiswa supaya dapat menghayati kepentingan program dijalankan.

“Program seperti ini selalunya hanya menyasarkan aktiviti memberi bantuan fizikal atau sumbangan kepada penduduk selain tinggal bersama keluarga angkat saja.

“Mekanisme serupa dalam setiap penganjuran boleh mendatangkan kebosanan. Sebaliknya, pendekatan mekanisme baru boleh memberi kelainan.

“Perlunya daya kreatif dalam penganjuran program sebegini bagi menjadikan mahasiswa lebih menghayati dan ‘terpesona’,” kata­nya.

Bagi tujuan itu, UKM melalui fakulti berkenaan mengambil pendekatan berbeza menerusi program Green Rose.

Program kemasyarakatan berbentuk akademik ini memberi sentuhan berlainan dengan menekankan konsep Sayangi Alam Sekitar kepada pelajar sekolah, sekali gus memberi peluang kepada kedua-dua pihak berinteraksi, berkongsi maklumat dan mendidik pada satu masa.

Melalui program ini, pelajar diperkenalkan dengan konsep ROSE iaitu R untuk Reduce (mengurangkan), O untuk Offset (mengimbangi), S untuk Substitute (menggantikan) dan E untuk Enhance (mempertingkatkan).

Menurutnya, masyarakat juga harus menukar persepsi bahawa program khidmat masyarakat bukan hanya tertakluk pada konsep tradisional.

“Makna kemasyarakatan itu sendiri luas dan mencakupi pelbagai maksud. Apa saja yang boleh dibuat atau dimanfaatkan menerusi program itu adalah khidmat masyarakat.

“Selalunya, masyarakat sendiri yang menyempitkan penafsiran menjadikan mereka tidak jelas me­ngenai sumbangan mahasiswa dan institusi kepada golongan sasaran.

“Pada alaf baru, seharus­nya konsep khidmat masyarakat dikembangkan ke tahap lebih tinggi dan mempunyai suntikan intelektual sejajar peranan mahasiswa sendiri sebagai pewaris pemimpin,” katanya menambah, program sedemikian sebenarnya cukup diminati dan dekat di hati kedua-dua pihak.

“Objektif khidmat ma­syarakat adalah untuk memberi pelbagai nilai yang baik. Sebab itu perlu kreatif agar nilai yang ingin disampaikan itu boleh diterima.

“Dalam konsep kemasyarakatan, memupuk nilai positif adalah inti pati terhadap pengukuhan jati diri.

“Justeru, jika semakin berjaya dan nilai itu meninggalkan kesan di hati pelaksana atau penerima, semakin kuatlah jati diri. Begitu sebaliknya,” katanya.

Program yang berjaya, akuinya, bukan saja mampu meninggalkan impak pada golongan sasaran, malah mahasiswa turut mempraktikkannya sebagai satu tindakan relevan dalam kehidupan.

“Sebab itu mereka diseru me­nyertai dan menjadikan program ini landasan mempersiapkan diri sebagai anggota masyarakat prihatin.

“Dalam konsep pendidikan hari ini, bukan hanya kelayakan akademik saja dijadikan perbandingan, malah pembawaan diri dan pengukuhan jiwa juga diberi penilaian.

“Rugi jika ia tidak dipergunakan dengan sebaiknya. Akibatnya, tentulah mahasiswa akan terus dilabel dan kekal dengan tanggapan lama,” kata­nya

No comments: