Latar Belakang PDK Selayang

PDK Selayang (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Selayang) telah ditubuhkan pada 1hb Sept 1991, oleh sekumpulan ibubapa kepada kanak-kanak kurang upaya (pada masa tersebut dipanggil sebagai kanak-kanak istimewa) yang anak-anak mereka telah dikeluarkan dari pembelajaran wajib di sekolah-sekolah aliran perdana di Selayang, dengan alasan mereka (OKU tersebut) "tidak boleh belajar". Alasan sebenar Guru Besar sekolah-sekolah tersebut ialah mereka takut graf pencapaian sekolah akan menurun.

Bermula dengan 15 orang kanak-kanak kurang upaya kelas diadakan sekali seminggu pada setiap hari Sabtu dari jam 8:30 pagi hingga 1:00 tengahari, dengan dilatih oleh seorang Petugas PDK (panggilan Cikgu PDK pada masa tersebut) iaitu Puan Noraini Othman.

Hari ini PDK Selayang telah berkembang pesat dengan jumlah pelatih OKU PDK seramai 102 orang melalui beberapa program iaitu Kelas Harian EIP, Kelas Harian LPV, Kelas Harian Pemulihan Perubatan (Pemulihan Anggota, Pemulihan Pertuturan dan Pemulihan Carakerja), Lawatan ke Rumah dan Program Rumah Kelompok (lelaki).

Kumpulan Sasar Utama: OKU (Orang Kurang Upaya)

Kumpulan Sasar Tambahan: Anak-Anak Yatim, Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik, Ibu Tunggal/Ibu Tinggal, Warga Emas dan Keluarga Miskin (dari lingkungan kumpulan sasar utama)

Kelas Harian EIP: 5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 8:30am-12:30pm.

Kelas Harian LPV (Latihan Pemulihan Vokasional): 5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 9:00am- 5:00pm.

Kelas harian Pemulihan Perubatan pula dijalankan seperti berikut:

Pemulihan Anggota: 5 hari/minggu; 8:30-11:30am; untuk OKU dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah. Sabtu & Ahad pula dikhaskan kepada OKU yang keluarganya mampu bayar penuh kos pakar (OKU dari keluarga kaya).

Pemulihan Pertuturan: 3 hari/minggu 8:30am- 12:00pm; untuk OKU dari keluarga berpendapan rendah dan miskin dan hari 2 hari dalam seminggu dikhaskan untuk OKU dari keluarga kaya yang mampu membayar kos pakar.

Pemulihan Carakerja: 4 hari/minggu; Isnin-Jumaat kecuali Khamis; 8:30-11:30am; untuk pelatih kanak-kanak; 2:30-4:00pm untuk pelatih remaja PDK.

Program Lawatan ke Rumah: 2 kali/minggu; Selasa (2:00-4:00 petang) dan Sabtu (9:30am-12:30pm).

Program Rumah Kelompok (Lelaki): menempatkan seramai 4 OKU yang telah bekerja.

PDK Selayang yang ditadbir-urus oleh satu Jawatankuasa yang dilantik oleh ibubapa/penjaga OKU.

PDK Selayang dipengerusikan oleh Y. Bhg. Dato' Prof. Ir. Dr Haji Azhari Md Salleh, dengan kekuatan Jawatankuasa seramai 13 orang.

Seramai 15 kakitangan berkhidmat di PDK Selayang yang diketuai oleh Penyelia PDK iaitu Puan Noraini Othman, 8 orang Petugas PDK, 3 orang Pakar Pemulihan Perubatan, 1 orang Pemandu dan 3 orang Pembantu. 3 orang kakitangan PDK Selayang adalah dari kalangan OKU.

Friday, December 30, 2011

Perkasakan sijil HALAL


KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan melantik kira-kira 62 pegawainya serta pegawai dari Jabatan Agama Islam Negeri bagi membantu dalam tindakan dan penguatkuasaan berkaitan Akta Perihal Dagangan 2011 dan Persijilan Halal.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd Yusoff berkata, pelantikan itu selaras usaha memantapkan lagi penguatkuasaan terhadap syarikat yang menggunakan sijil halal tidak sah.

“Selain itu, kita juga akan melantik 45 pegawai kontrak di kalangan pegawai Jakim sebagai tenaga tambahan dalam melaksanakan penguatkuasaan menyeluruh. “Selain kerjasama antara kedua-dua pihak, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga sudah melantik Jakim sebagai Penolong Pengawal Perihal Dagangan di bawah kementerian itu bagi tindakan penguatkuasaan,” katanya, semalam.

Hakimah berkata, Jakim juga dalam proses menyeragamkan persijilan halal bersama Jain dan tujuh negeri sudah memberikan kerjasama iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Sabah, Melaka, Johor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor.

“Manakala negeri selebihnya masih dalam persediaan dan sedang mengikuti latihan khususnya berkaitan pembangunan sistem e-halal. Dengan penyeragaman itu nanti, kita akan menggunakan satu sistem, logo serta sijil yang sama di seluruh negara,” katanya.

Katanya, di pihak industri pula, Jakim dalam perancangan untuk memberi taklimat dengan persatuan pengguna seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) serta Persatuan Pengilang Malaysia (FMM) berkaitan akta berkenaan.

“Tujuan taklimat itu supaya pihak industri terbabit dapat menyampaikan maklumat akta berkenaan kepada ahli,” katanya.

Selain itu, katanya, pengguna Islam disarankan menghubungi pejabat Jakim atau melayari www.halal.gov.my  dan www.halalpages.com  untuk mendapatkan maklumat berkaitan persijilan halal.

“Selepas kita menguatkuasakan akta ini, pengguna memainkan peranan untuk menyalurkan maklumat sekiranya mereka ada keraguan berkaitan produk atau premis yang menggunakan sijil halal,” katanya.

“Agak mustahil kita dapat menjalankan tindakan penguatkuasaan serentak di seluruh negara, justeru kita amat mengalu-alukan kerjasama pengguna untuk membantu kita,” katanya.

Harian Metro, semalam melaporkan, walaupun tinggal beberapa hari lagi sebelum tamat tempoh ‘amaran’, namun ratusan pengusaha restoran dan syarikat pengeluar makanan dikesan masih berdegil menggunakan sijil halal palsu tidak diiktiraf Jakim.

Kebanyakan pengusaha terbabit sebelum ini sudah diberi peringatan supaya tidak lagi menggunakan sijil halal tidak sah apabila hanya sijil dan logo halal Jakim saja yang boleh diguna pakai dan diiktiraf berkuat kuasa 1 Januari 2012.

No comments: