Latar Belakang PDK Selayang

PDK Selayang (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Selayang) telah ditubuhkan pada 1hb Sept 1991, oleh sekumpulan ibubapa kepada kanak-kanak kurang upaya (pada masa tersebut dipanggil sebagai kanak-kanak istimewa) yang anak-anak mereka telah dikeluarkan dari pembelajaran wajib di sekolah-sekolah aliran perdana di Selayang, dengan alasan mereka (OKU tersebut) "tidak boleh belajar". Alasan sebenar Guru Besar sekolah-sekolah tersebut ialah mereka takut graf pencapaian sekolah akan menurun.

Bermula dengan 15 orang kanak-kanak kurang upaya kelas diadakan sekali seminggu pada setiap hari Sabtu dari jam 8:30 pagi hingga 1:00 tengahari, dengan dilatih oleh seorang Petugas PDK (panggilan Cikgu PDK pada masa tersebut) iaitu Puan Noraini Othman.

Hari ini PDK Selayang telah berkembang pesat dengan jumlah pelatih OKU PDK seramai 102 orang melalui beberapa program iaitu Kelas Harian EIP, Kelas Harian LPV, Kelas Harian Pemulihan Perubatan (Pemulihan Anggota, Pemulihan Pertuturan dan Pemulihan Carakerja), Lawatan ke Rumah dan Program Rumah Kelompok (lelaki).

Kumpulan Sasar Utama: OKU (Orang Kurang Upaya)

Kumpulan Sasar Tambahan: Anak-Anak Yatim, Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik, Ibu Tunggal/Ibu Tinggal, Warga Emas dan Keluarga Miskin (dari lingkungan kumpulan sasar utama)

Kelas Harian EIP: 5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 8:30am-12:30pm.

Kelas Harian LPV (Latihan Pemulihan Vokasional): 5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 9:00am- 5:00pm.

Kelas harian Pemulihan Perubatan pula dijalankan seperti berikut:

Pemulihan Anggota: 5 hari/minggu; 8:30-11:30am; untuk OKU dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah. Sabtu & Ahad pula dikhaskan kepada OKU yang keluarganya mampu bayar penuh kos pakar (OKU dari keluarga kaya).

Pemulihan Pertuturan: 3 hari/minggu 8:30am- 12:00pm; untuk OKU dari keluarga berpendapan rendah dan miskin dan hari 2 hari dalam seminggu dikhaskan untuk OKU dari keluarga kaya yang mampu membayar kos pakar.

Pemulihan Carakerja: 4 hari/minggu; Isnin-Jumaat kecuali Khamis; 8:30-11:30am; untuk pelatih kanak-kanak; 2:30-4:00pm untuk pelatih remaja PDK.

Program Lawatan ke Rumah: 2 kali/minggu; Selasa (2:00-4:00 petang) dan Sabtu (9:30am-12:30pm).

Program Rumah Kelompok (Lelaki): menempatkan seramai 4 OKU yang telah bekerja.

PDK Selayang yang ditadbir-urus oleh satu Jawatankuasa yang dilantik oleh ibubapa/penjaga OKU.

PDK Selayang dipengerusikan oleh Y. Bhg. Dato' Prof. Ir. Dr Haji Azhari Md Salleh, dengan kekuatan Jawatankuasa seramai 13 orang.

Seramai 15 kakitangan berkhidmat di PDK Selayang yang diketuai oleh Penyelia PDK iaitu Puan Noraini Othman, 8 orang Petugas PDK, 3 orang Pakar Pemulihan Perubatan, 1 orang Pemandu dan 3 orang Pembantu. 3 orang kakitangan PDK Selayang adalah dari kalangan OKU.

Friday, December 30, 2011

Orang Kurang Upaya : Baik mengurut daripada mengemis

 



SELAMA ini tidak pernah terlintas di fikiran Suhaida Abdul Kadir, 25, dia akan menjadi seorang tukang urut refleksologi. Sejak kecil dia bercita-cita mahu menjadi seorang akauntan. Namun, kita hanya mampu merancang tetapi, Allah yang menentukan.

Suhaida yang lebih mesra dipanggil Su menghadapi masalah penglihatan kabur sejak dilahirkan.

Doktor mengesahkan dia menghidap katarak kongenital iaitu sejenis penyakit mata yang menyerang bahagian katarak sejak dilahirkan.

Bertitik tolak daripada situ, kedua ibu bapanya tidak pernah berputus asa berulang-alik dari hospital Pekan, Pahang untuk mendapatkan rawatan anak mereka.

Malah, usaha mereka tidak terhenti di situ sahaja sebaliknya kedua orang tuanya itu turut mendapatkan rawatan secara kampung. Dengan usaha mereka berbulan-bulan akhirnya membuahkan hasil yang menggembirakan.

Biarpun bergantung kepada rawatan dan memakai cermin sejak berusia tujuh tahun, gadis yang tidak lekang dengan senyuman berterima kasih kepada ibu bapanya yang tidak pernah berputus asa.

Bahkan, kedua orang tuanya itu tidak pernah membiarkan dia berasa tersisih dengan menyediakan segala kemudahan untuk anak kesayangan mereka.

Dia yang dihantar ke sekolah biasa masih mampu melihat dan membaca walaupun penglihatannya kabur. Namun, disangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Sewaktu berusia 14 tahun masalah mata kabur Su semakin teruk.

“Ekoran masalah itu, saya tidak dapat belajar dengan baik malah, sering kali dimarahi guru kerana gagal menyiapkan tugasan kerja sekolah,” ujarnya. Akhirnya dia terpaksa membuat keputusan berhenti sekolah.



SUHAIDA mengurut salah seorang pelanggan wanita di Giant Kota Damansara.


Kemudian pada tahun 2004, dia berhijrah ke Batu Pahat, Johor Bahru bersama keluarga.

Bosan kerana terlalu lama duduk di rumah akhirnya dia cuba bekerja di sebuah kedai serbaneka yang terletak berhampiran dengan rumahnya.

Dia dapat bertahan sehingga empat tahun di situ sebelum pada tahun 2008 mula bekerja di sebuah kedai bundle memandangkan gaji yang ditawarkan agak lumayan. Namun, kehidupan Su semakin tertekan apabila mata kanannya semakin kabur sehingga menyukarkannya untuk bekerja.

“Disebabkan keadaan itu, kakak membawa saya ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Ketika itu, doktor memberitahu walaupun menjalani pembedahan mata, ia masih tidak dapat menjanjikan harapan yang cerah,” katanya yang sentiasa mendapatkan rawatan susulan setiap enam bulan dalam tempoh setahun.

Sejak itu, dia yang merupakan satu-satunya menghidap penyakit itu daripada sembilan adik beradiknya menerima takdirnya itu dengan hati terbuka. Namun, dia tidak menjadikan kekurangan itu sebagai penghalang mencari pekerjaan.

Tiga punca rezeki

Ketika mendapatkan rawatan di hospital Batu Pahat, doktor yang merawat Su memberi pilihan sama ada dia mahu bekerja atau belajar.

“Saya membuat pilihan untuk bekerja namun, saya hanya mempunyai tiga pilihan yang ditawarkan iaitu bidang komputer, pentadbiran dan urut. Saya memilih bidang urut kerana bidang itu tidak terdedah dengan pencahayaan yang banyak kerana kedua-dua mata saya mudah berasa pedih apabila terkena cahaya matahari.

“Seterusnya, doktor berkenaan berbincang dengan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) di Brickfields mengenai perkara itu memandangkan terdapat pusat latihan di MAB yang mengajar kaedah urutan refleksologi,” ujarnya.

Sekitar tahun 2009, dia berhijrah ke Kuala Lumpur untuk belajar kaedah mengurut dengan pihak MAB meskipun pada dasarnya dia tidak berminat dengan bidang itu.

Lima bulan pertama belajar di Pusat Ainur, gadis bertudung itu mengakui minat untuk mengurut tidak pernah timbul.

Namun, tanpa disedari setelah dia mengurut pelanggan pertamanya bibit minat itu tiba-tiab datang.

“Ketika itu, kawan saya menyuruh agar mencuba mengurut salah seorang pelanggannya. Pada permulaan disebabkan masih belajar saya agak gementar kerana khuatir pelanggan tidak berpuas hati.

“Alhamdullillah, saya tidak sangka pelanggan perempuan itu sangat berpuas hati dengan hasil urutan saya. Apabila mendapat pujian, terus-terang saya katakan akhirnya saya sudah jatuh hati dengan bidang ini,” jelasnya yang mahu belajar bersungguh-sungguh agar dapat mempelajari pelbagai teknik.

Setelah selesai tamat belajar di Pusat Ainur selama 10 bulan dia mendapat sijil dari Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang urutan.

Untuk mendapatkan kaedah baru dalam bidang tersebut, dia sendiri turun ke kampungnya untuk berurut tradisonal.

“Cara saya belajar di sini dan cara kampung berbeza. Kebiasaan, jika badan rasa sedap setelah diurut selalunya saya akan mengingati cara-cara tukang urut itu mengurut,” katanya sambil memberitahu dia kini menerima gaji RM1,000 biarpun bergantung kepada komisen.

Pengalaman

Ditanya mengenai kerenah pelanggan yang terpaksa dihadapi ujarnya, dia berhadapan dengan bermacam-macam jenis pelanggan. Pada masa yang sama, dia mengakui berpeluang belajar bermacam-macam bahasa dengan pelanggan.



SUHAIDA (kiri) bersama seorang rakan sekerjanya di Pusat Terapi Ainur yang beroperasi di Giant Kota Damansara.


“Walaupun baru sahaja memulakan kerjaya ini, sudah banyak pengalaman yang sudah dilalui. Ada yang cerewet lebih teruk lagi ada yang penipu.

Diajak mengimbau kembali pengalamannya itu, Su memberitahu, kebiasaan dia akan mengurut kaki setiap pelanggan yang berkunjung ke kedainya yang terletak di Giant, Kota Damansara tanpa banyak masalah.

“Namun, pada suatu hari, datang seorang pelanggan yang begitu cerewet dan mahu mendapatkan urutan yang terbaik. Setelah selesai mengurut pelanggan itu, saya ingat dia akan membuat pembayaran tetapi, sebaliknya dia tidak mempunyai wang yang secukupnya dan meminta saya agar memberinya masa 10 minit untuk mengambil wang dari kereta.

“Hampir tiga jam saya tunggu pelanggan itu namun, dia tidak muncul-muncul. Sejak hari itu saya sudah tidak mempercayai pelanggan yang memberi alasan sedemikian,” katanya sambil memberitahu akan mengikut pelanggan sehingga ke kereta setiap kali mereka memberi alasan seumpama itu.

Ketika ditanya mengenai sikap segelintir OKU yang meminta sedekah, dia berkata:
“Nasihat saya kepada OKU yang masih meraih simpati orang ramai dengan mengemis, carilah alternatif lain dan usaha sendiri. Tiada siapa yang dapat mengubah nasib kita melainkan kita sendiri,” ujarnya sambil melemparkan senyuman.

No comments: