Latar Belakang PDK Selayang

PDK Selayang (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Selayang) telah ditubuhkan pada 1hb Sept 1991, oleh sekumpulan ibubapa kepada kanak-kanak kurang upaya (pada masa tersebut dipanggil sebagai kanak-kanak istimewa) yang anak-anak mereka telah dikeluarkan dari pembelajaran wajib di sekolah-sekolah aliran perdana di Selayang, dengan alasan mereka (OKU tersebut) "tidak boleh belajar". Alasan sebenar Guru Besar sekolah-sekolah tersebut ialah mereka takut graf pencapaian sekolah akan menurun.

Bermula dengan 15 orang kanak-kanak kurang upaya kelas diadakan sekali seminggu pada setiap hari Sabtu dari jam 8:30 pagi hingga 1:00 tengahari, dengan dilatih oleh seorang Petugas PDK (panggilan Cikgu PDK pada masa tersebut) iaitu Puan Noraini Othman.

Hari ini PDK Selayang telah berkembang pesat dengan jumlah pelatih OKU PDK seramai 102 orang melalui beberapa program iaitu Kelas Harian EIP, Kelas Harian LPV, Kelas Harian Pemulihan Perubatan (Pemulihan Anggota, Pemulihan Pertuturan dan Pemulihan Carakerja), Lawatan ke Rumah dan Program Rumah Kelompok (lelaki).

Kumpulan Sasar Utama: OKU (Orang Kurang Upaya)

Kumpulan Sasar Tambahan: Anak-Anak Yatim, Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik, Ibu Tunggal/Ibu Tinggal, Warga Emas dan Keluarga Miskin (dari lingkungan kumpulan sasar utama)

Kelas Harian EIP: 5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 8:30am-12:30pm.

Kelas Harian LPV (Latihan Pemulihan Vokasional): 5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 9:00am- 5:00pm.

Kelas harian Pemulihan Perubatan pula dijalankan seperti berikut:

Pemulihan Anggota: 5 hari/minggu; 8:30-11:30am; untuk OKU dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah. Sabtu & Ahad pula dikhaskan kepada OKU yang keluarganya mampu bayar penuh kos pakar (OKU dari keluarga kaya).

Pemulihan Pertuturan: 3 hari/minggu 8:30am- 12:00pm; untuk OKU dari keluarga berpendapan rendah dan miskin dan hari 2 hari dalam seminggu dikhaskan untuk OKU dari keluarga kaya yang mampu membayar kos pakar.

Pemulihan Carakerja: 4 hari/minggu; Isnin-Jumaat kecuali Khamis; 8:30-11:30am; untuk pelatih kanak-kanak; 2:30-4:00pm untuk pelatih remaja PDK.

Program Lawatan ke Rumah: 2 kali/minggu; Selasa (2:00-4:00 petang) dan Sabtu (9:30am-12:30pm).

Program Rumah Kelompok (Lelaki): menempatkan seramai 4 OKU yang telah bekerja.

PDK Selayang yang ditadbir-urus oleh satu Jawatankuasa yang dilantik oleh ibubapa/penjaga OKU.

PDK Selayang dipengerusikan oleh Y. Bhg. Dato' Prof. Ir. Dr Haji Azhari Md Salleh, dengan kekuatan Jawatankuasa seramai 13 orang.

Seramai 15 kakitangan berkhidmat di PDK Selayang yang diketuai oleh Penyelia PDK iaitu Puan Noraini Othman, 8 orang Petugas PDK, 3 orang Pakar Pemulihan Perubatan, 1 orang Pemandu dan 3 orang Pembantu. 3 orang kakitangan PDK Selayang adalah dari kalangan OKU.

Monday, May 9, 2011

Kaum Rungus Bukan Termiskin

EMPAT wanita suku kaum Rungus (dari kanan) Yuzok Pukuk, Montel Mosubal,
Nokoling Amoi dan Yangamat Jamanji menunjukkan pakaian tradisi yang dipakai
oleh nenek moyang mereka.

SEBUT saja orang Rungus, ia sinonim dengan Kudat yang terkenal dengan gelaran The Tip Of Borneo atau hujung tanduk Sabah. Di sinilah letaknya Tanjung Simpang Mengayau iaitu salah satu daripada pusat pelancongan popular di barat Laut Kepulauan Borneo yang menyaksikan pertemuan arus laut Sulu dan Laut China Selatan.

Sambil menyaksikan lautan lepas, badai ombak memukul pantai serta menikmati tiupan angin Negeri di Bawah Bayu, Simpang Mengayau memang sesuai sekali untuk dikunjungi bagi menyegarkan fikiran atau memupuk rasa kasih sayang sesama manusia dengan alam semula jadi.

Gadis Rungus
 Ribuan penduduk tempatan di Kudat terdiri daripada suku kaum Rungus yang kaya dengan adat tradisi, budaya dan sejarah. Pakaian tradisional Rungus memang unik dan rumah panjangnya mempunyai ukiran tersendiri.

Malangnya masyarakat Rungus di Kudat sering dikaitkan dengan persepsi bahawa kaum itu merupakan antara yang termiskin dan terkebelakang di negeri itu berbanding kaum lain.

Seorang Lelaki Rungus
 Mungkin persepsi negatif terhadap kaum berkenaan dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk hasil kajian Bank Dunia yang dikeluarkan baru-baru ini.

Mengikut Kajian Bank Dunia 2010 yang dibentangkan pada Forum Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) di The Hague, Sabah merupakan negeri termiskin di Malaysia dengan kira-kira 10 peratus penduduk berada di bawah paras kemiskinan iaitu pendapatan isi rumah RM700 sebulan.

Hasil kerjatangan Rungus
 Di peringkat nasional pula kajian itu mendapati 40 peratus rakyat termiskin datangnya dari Sabah termasuk kaum Rungus di Kudat.

Adakah hasil kajian itu menggambarkan keadaan sebenar?

Tidak seteruk seperti atas kertas

Menurut kebanyakan mereka, kedudukan kaum Rungus di Kudat tidaklah seteruk yang digambarkan.
SEBUAH rumah panjang Rungus yang dipanggil 'binatang' dalam bahasa
suku kaum Rungus dibina di Kampung Babangazo menjadi salah
satu tarikan pelancongan di Kudat.

"Saya berpendapat para pengkaji hanya melihat secara luaran dan tidak turun padang melihat sendiri kehidupan kaum Rungus yang jauh lebih maju jika dibandingkan dengan kaum lain yang tinggal di pesisir pantai," kata James Tahanji Sumbing, 54, yang berasal dari Kampung Kusilad, Kudat.

Beliau tidak bersetuju dengan hasil kajian itu kerana katanya 90 peratus tanah di daerah Kudat dimiliki kaum Rungus.

Mereka memiliki sekurang-kurangnya dua hektar tanah dan mendiami rumah sendiri.

James juga menyangkal dakwaan yang menyatakan bahawa minda kaum Rungus masih terkebelakang.

Salah sebuah rumah panjang Rungus
 Contohnya, majoriti jururawat yang berkhidmat di Hospital Kudat terdiri daripada kaum Rungus. Kebanyakan guru sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kudat dan SMK Lok Yuk Kudat adalah guru berijazah juga dari suku kaum Rungus.

Beliau turut memberi contoh kaum Rungus yang banyak memegang jawatan penting di Sabah. Antaranya pegawai kanan Jabatan Penerangan Sabah pegawai daerah di Tambunan dan Nabawan, penasihat undang-undang kanan Yayasan Sabah, pensyarah di Universiti Malaysia Sabah, doktor di Hospital Pitas, guru besar di sekolah-sekolah di Kudat dan peguam.

James berkata, majoriti penduduk di kampungnya mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia. Daripada 15 keluarga yang mendiami kampung itu, lebih 20 orang adalah graduan universiti tempatan.

Bryan Edwin, guru di Sekolah Menengah Teknik Kudat berkata, tidak adil untuk melabel kaum Rungus sebagai yang termiskin dan terkebelakang.

"Bagi meneliti masyarakat sesuatu kawasan itu, tiga perkara asas iaitu sosial, ekonomi dan juga pendidikan harus dijadikan landasan kepada pengukuran miskin dan minda terkebelakang," katanya.

Bryan berkata: "Jika dilihat secara mata kasar dan luaran memang seolah-olah kaum Rungus agak terkebelakang tetapi hakikatnya kehidupan mereka sebenarnya jauh lebih baik daripada beberapa kaum lain kerana mereka memiliki harta sendiri dan tidak menumpang tanah orang lain."

Anak watan Kudat dari kaum Rungus Jabilin Garim yang bersetuju dengan pandangan James dan Bryan berkata, persepsi begini dianggapnya sebagai satu cabaran.

DAKWAAN bahawa kaum Rungus sebagai ketinggalan adalah tidak benar apabila ramai masyarakatnya adalah lulusan institusi pengajian tinggi dan memiliki kerjaya profesional.

"Kami mempunyai tempat tinggal, mempunyai makanan untuk dimakan serta hidup bermasyarakat di mana budaya dan sosial kami hampir sama. Bagaimana pula kami dilabel sebagai kaum termiskin dan terkebelakang?" soalnya.

Pengkisahan dan bantuan kerajaan

Bryan berkata, kerajaan melaksanakan banyak projek pembangunan di kawasan Kudat untuk keselesaan rakyat.

Katanya, persepsi tersebut boleh diubah dengan menggalakkan masyarakat Rungus menonjolkan diri dengan meningkatkan ilmu pengetahuan.

Jabatan Penerangan Negeri Sabah juga melihat pentingnya usaha bersepadu dilakukan bagi membetulkan keadaan.

Penganjuran Pertandingan Pengkisahan Kenegaraan 1Malaysia Peringkat Negeri Sabah pada 3 Mei lalu di Dataran Tomborungus Kudat adalah salah satu daripada usaha kerajaan membantu mengubah persepsi masyarakat luar terhadap kaum Rungus.

Melalui pertandingan itu, peserta dan masyarakat luar boleh melihat sendiri cara hidup dan kemajuan daerah Kudat, manakala masyarakat setempat terutama kaum Rungus boleh mengambil ruang itu bagi mengubah pandangan negatif masyarakat luar terhadap mereka.

Pengarah Penerangan Negeri Sabah Almain Ajirul berkata, objektif pertandingan itu adalah untuk menggalakkan masyarakat umum menyampaikan pendapat mengenai dasar-dasar kerajaan yang dicapai negara terutama melalui gagasan 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. - Bernama

No comments: