Selasa; 12.10.2021...
Sedikit perkongsian berkenaan PDK (Pusat/Program Pemulihan Dalam Komuniti)
PDK merupakan satu program yang dijalankan oleh Jawatankuasa Pertubuhan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
Ramai yang berpendapat PDK merupakan sebuah pertubuhan, ternyata pendapat tersebut adalah salah dan tidak tepat.
PDK merupakan satu program yang diuruskan oleh Jawatankuasa Pertubuhan PDK masing-masing. Oleh itu dipanggil dengan nama Program Pemulihan Dalam Komuniti atau Program PDK.
Jika program PDK tersebut mempunyai bangunan atau tempat untuk menjalankan aktiviti, maka ia akan dipanggil; sebagai Pusat Pemulihan Dalam Komuniti atau Pusat PDK.
Samada program PDK atau pusat PDK sebelum Julai 2017 ianya dijalankan oleh satu Jawatankuasa yang dilantik secara adhoc oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan ianya TIDAK berdaftar tidak perlu berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.
Selepas semua program/pusat PDK diarahkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk/mesti didaftarkan di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada Julai 2017, maka ianya dikenali sebagai Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dan sebahagian lagi Pertubuhan Kebajikan Pemulihan Dalam Komuniti (PKPDK) atau dipanggil dengan ringkasan Pertubuhan PDK.
Pertubuhan ini dijalankan oleh satu barisan Jawatankuasa yang dianggotai oleh Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha, Penolong Setiausaha, Bendahari dan beberapa orang Ahli Jawatankuasa (AJK) terdapat antara 2 ke 10 orang AJK bagi setiap Pertubuhan PDK bergantung kepada keperluan.
Sementara operasi kelas harian, program pemulihan, pembelajaran dan latihan untuk pelajar OKU atau dipanggil sebagai pelatih PDK dijalankan oleh tenaga pengajar yang dipanggil sebagai Petugas PDK dan diketuai oleh seorang ketua petugas dipilih kalangan petugas-petugas PDK dan dipanggil sebagai Penyelia PDK. Perlantikan Petugas PDK dan Penyelia PDK dilakukan oleh Jawatankuasa Pertubuhan PDK masing-masing.
....Dalam perkataan lain....
Pengurusan : adalah di bawah Pengerusi PPDK/Jawatankuasa PPDK /Pertubuhan.
Operasi : dijalankan oleh Penyelia PDK/Petugas PDK.
Walaubagaimanapun, ramai yang terkeliru dengan situasi ini, mencampur adukkan antara pengurusan dan operasi. Mereka yang terkeliru dan mengelirukan ini termasuklah di kalangan Jawatankuasa PPDK dan Petugas PDK itu sendiri.
Ada penyelia PDK yang bertindak seperti Pengerusi PPDK dan ada pula Pengerusi PPDK (dan Jawatankuasa PPDK) yang jadi seperti budak suruhan penyelia PDK. Bukan setakat mereka, Penyelaras PDK di daerah dan negeri juga masih ramai yang terkeliru sehinggakan surat atau arahan berkenaan pengurusan dihantar atau diberi kepada penyelia PDK sementara Pengerusi PPDK adalah orang yang terakhir mengetahui surat atau arahan tersebut dan lebih teruk lagi langsung tidak tahu menahu tentang surat atau arahan tersebut.
Dalam masalah ini, Pengerusi PPDK tidak boleh semata-mata menyalahkan orang lain, mereka patut mengkaji kenapa masalah ini berlaku. Bagaimanakah dan dimanakah tahap penglibatan mereka di Pertubuhan PDK... Kita fikir fikir kan....
No comments:
Post a Comment