Latar Belakang PDK Selayang

PDK Selayang (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Selayang) telah ditubuhkan pada 1hb Sept 1991, oleh sekumpulan ibubapa kepada kanak-kanak kurang upaya (pada masa tersebut dipanggil sebagai kanak-kanak istimewa) yang anak-anak mereka telah dikeluarkan dari pembelajaran wajib di sekolah-sekolah aliran perdana di Selayang, dengan alasan mereka (OKU tersebut) "tidak boleh belajar". Alasan sebenar Guru Besar sekolah-sekolah tersebut ialah mereka takut graf pencapaian sekolah akan menurun.

Bermula dengan 15 orang kanak-kanak kurang upaya kelas diadakan sekali seminggu pada setiap hari Sabtu dari jam 8:30 pagi hingga 1:00 tengahari, dengan dilatih oleh seorang Petugas PDK (panggilan Cikgu PDK pada masa tersebut) iaitu Puan Noraini Othman.

Hari ini PDK Selayang telah berkembang pesat dengan jumlah pelatih OKU PDK seramai 102 orang melalui beberapa program iaitu Kelas Harian EIP, Kelas Harian LPV, Kelas Harian Pemulihan Perubatan (Pemulihan Anggota, Pemulihan Pertuturan dan Pemulihan Carakerja), Lawatan ke Rumah dan Program Rumah Kelompok (lelaki).

Kumpulan Sasar Utama: OKU (Orang Kurang Upaya)

Kumpulan Sasar Tambahan: Anak-Anak Yatim, Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik, Ibu Tunggal/Ibu Tinggal, Warga Emas dan Keluarga Miskin (dari lingkungan kumpulan sasar utama)

Kelas Harian EIP: 5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 8:30am-12:30pm.

Kelas Harian LPV (Latihan Pemulihan Vokasional): 5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 9:00am- 5:00pm.

Kelas harian Pemulihan Perubatan pula dijalankan seperti berikut:

Pemulihan Anggota: 5 hari/minggu; 8:30-11:30am; untuk OKU dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah. Sabtu & Ahad pula dikhaskan kepada OKU yang keluarganya mampu bayar penuh kos pakar (OKU dari keluarga kaya).

Pemulihan Pertuturan: 3 hari/minggu 8:30am- 12:00pm; untuk OKU dari keluarga berpendapan rendah dan miskin dan hari 2 hari dalam seminggu dikhaskan untuk OKU dari keluarga kaya yang mampu membayar kos pakar.

Pemulihan Carakerja: 4 hari/minggu; Isnin-Jumaat kecuali Khamis; 8:30-11:30am; untuk pelatih kanak-kanak; 2:30-4:00pm untuk pelatih remaja PDK.

Program Lawatan ke Rumah: 2 kali/minggu; Selasa (2:00-4:00 petang) dan Sabtu (9:30am-12:30pm).

Program Rumah Kelompok (Lelaki): menempatkan seramai 4 OKU yang telah bekerja.

PDK Selayang yang ditadbir-urus oleh satu Jawatankuasa yang dilantik oleh ibubapa/penjaga OKU.

PDK Selayang dipengerusikan oleh Y. Bhg. Dato' Prof. Ir. Dr Haji Azhari Md Salleh, dengan kekuatan Jawatankuasa seramai 13 orang.

Seramai 15 kakitangan berkhidmat di PDK Selayang yang diketuai oleh Penyelia PDK iaitu Puan Noraini Othman, 8 orang Petugas PDK, 3 orang Pakar Pemulihan Perubatan, 1 orang Pemandu dan 3 orang Pembantu. 3 orang kakitangan PDK Selayang adalah dari kalangan OKU.

Saturday, October 6, 2012

Kesihatan : Alzheimer cabaran besar dunia perubatan




KEBANYAKAN pesakit alzheimer menunjukkan sikap yang keliru dan pelupa.


SEJAK dikesan lebih 100 tahun lalu, penyakit alzheimer menjadi cabaran besar kepada pengamal perubatan, malah ia kini semakin 'ganas' meragut ingatan dan kebebasan para pesakit.
Kajian yang dilakukan para penyelidik juga banyak menemui kegagalan sekali gus merencatkan usaha melawan penyakit berkenaan.
Meskipun, di Amerika Syarikat (AS) penjagaan terhadap para pesakit tersebut bertambah baik, namun punca penyakit tersebut masih menjadi teka-teki.
Penyakit alzheimer merupakan penyumbang kepada dua pertiga daripada kes demensia (nyanyuk). Para penyelidik kini semakin tertekan ekoran bilangan pesakit tersebut terus meningkat seiring jangka hayat penduduk yang semakin panjang.
"Masalah ini bakal menjadi 'tsunami' terutamanya dari segi kos perubatan," ujar Pengarah Inisiatif Sains di Pertubuhan Alzheimer AS, Dean Hartley.
Harapan untuk mencari penawar kepada penyakit tersebut semakin tipis apabila beberapa syarikat farmaseutikal gergasi seperti Eli Lilly, Pfizer dan Johnson & Johnson memberhentikan kajian, apabila hasil kajian mereka gagal dalam ujian klinikal.
Ekstrak tumbuhan
Pada 6 September lalu, para penyelidik Perancis mengumumkan rancangan meluaskan pasaran ekstrak tumbuhan ginko biloba sebagai pencegahan semula jadi bagi penyakit alzheimer, namun ia bukanlah pencegah demensia.

PARA pengamal perubatan menghadiri satu mesyuarat sempena Hari Alzheimer Sedunia di Paris baru-baru ini, namun mereka masih buntu mencari penyelesaian.


Selain menyalahkan kekurangan dana, para penyelidik buntu dalam mencari penyelesaian bagi penyakit yang ditemui doktor Jerman, Alois Alzheimer. Dia menemui penyakit itu dalam otak pesakit demensia yang meninggal dunia pada tahun 1906.
Sebelum itu, sehingga tahun 1960-an, kajian tentang alzheimer sangat sedikit kerana ketika itu bilangan pesakit tidak ramai.
Ketika ini, terdapat ubat yang boleh mengurangkan simptom penyakit tersebut tetapi ubat itu masih gagal mencegah sepenuhnya penyakit alzheimer.
"Orang ramai amat memerlukan ubat terutama para pesakit dan ahli keluarga terdekat," kata Eric Karran, Pengarah Penyelidikan di Pusat Penyelidikan Alzheimer United Kingdom.
"Kita berada dalam situasi yang kritikal dalam menangani penyakit ini," tambahnya.
Hartley dan Karran berkata, kerajaan memberikan peruntukan kewangan yang sedikit, sedangkan usaha pencegahan dan rawatan penyakit Alzheimer memerlukan kos yang tinggi.
"Industri farmaseutikal telah menemui banyak kegagalan dalam usaha mencari punca penyakit alzheimer. Kami bimbang jika kerajaan berfikir 'usaha mengatasi penyakit alzheimer adalah terlalu sukar, jadi kita tunggu sahaja sehingga sains merungkai masalah tersebut'," kata Hartley dan Karran.
Kos meningkat
Persekutuan Penyakit Alzheimer Antarabangsa (ADI) menjangkakan pesakit demensia akan meningkat daripada 35.6 juta orang pada tahun 2010 kepada 65.7 juta orang (2030) dan 115.4 juta orang (2050).

PESAKIT alzheimer memerlukan sokongan dan kasih sayang keluarga sementara menunggu keajaiban dalam dunia perubatan.


Sehubungan itu, kos termasuk rawatan hospital dan pusat jagaan, ubat serta rawatan susulan dijangka meningkat kira-kira 85 peratus pada tahun 2030 berbanding AS$600 bilion (RM2,000 bilion) pada tahun 2010.
Bagaimanapun, wang bukanlah satu-satunya masalah kerana penyakit itu begitu kompleks dan haiwan pula tidak boleh dijadikan objek kajian untuk merungkai punca alzheimer.
Pesakit alzheimer kebiasaannya ketara bagi mereka yang berusia sekitar 70 tahun. Pada usia tersebut, anggota keluarga mendapati orang kesayangan mereka menjadi keliru dan pelupa.
"Pesakit yang menjalani ujian klinikal didapati telah menghidap penyakit tersebut sejak 15 tahun lalu, peringkat ini sel neuron telah mati," kata Karran.
Justeru itu, para penyelidik menyasarkan untuk mengesan dan menjalankan rawatan kepada para pesakit yang baru di peringkat awal penyakit berkenaan.

No comments: