Perak pengubat duka
# Walaupun gagal memperdengarkan 'Negaraku' tetapi berjaya mengibarkan JALUR GEMILANG
(Kalah buka bererti GAGAL)
EMAS yang diimpikan, perak yang menjelma.
Semuanya musnah dan impian rakyat Malaysia yang mengharapkan pingat emas pertama Sukan Olimpik menerusi acara badminton berkecai.
Sukan Olimpik 2012 London merupakan medan terbaik untuk membawa pulang pingat emas pertama itu tetapi hajat besar itu tidak kesampaian.
Datuk Lee Chong Wei yang dipertaruhkan untuk merealisasikan hajat besar itu, gagal menyempurnakannya selepas tewas kepada Lin Dan dari China pada final acara perseorangan lelaki di Arena Wembley semalam.
Chong Wei tewas dalam permainan tiga set, 21-15, 10-21, 19-21 pada perlawanan yang mengambil masa 79 minit.
Dengan kekalahan tersebut, Chong Wei mengekalkan pingat perak yang dimenanginya pada temasya yang sama di Beijing empat tahun lalu.
Selain itu, jongkong emas bernilai RM2 juta yang dijanjikan oleh pengerusi Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC), Datuk Seri Andrew Kam kepada mana-mana pemain badminton yang meraih pingat emas Olimpik, turut terlepas daripada genggamannya.
Temasya kali ini juga merupakan medan terakhir buat Chong Wei untuk mencapai impiannya tetapi dia terus menemui kegagalan.
Pada aksi semalam, Chong Wei hanya memerlukan dua mata sahaja lagi untuk bergelar 'jutawan badminton' tetapi kelebihan itu gagal dipergunakannya sekali gus member ruang kepada Lin Dan untuk menutup permainan dengan kemenangan 21-19.
Pada set pertama, Chong Wei dilihat bakal membawa sinar emas kepada kontinjen negara apabila menang 21-15 tetapi momentum cemerlangnya itu gagal diteruskan pada set kedua.
Dia tewas 10-21 untuk mengheret perlawanan ke rubber set yang menyaksikan kedua-dua pemain enggan menyerah mudah.
Mata demi mata diraih dan ketika Chong Wei hanya memerlukan dua mata lagi untuk menamatkan perlawanan Lin Dan bangkit gagah untuk menang 21-19, sekali gus mempertahankan pingat emas yang dimenanginya empat tahun lalu di Beijing.
"Saya kecewa kerana gagal merealisasikan impian seluruh rakyat Malaysia terutama mereka yang datang ke London ini untuk memberi sokongan kepada saya.
"Saya telah memberikan yang terbaik tetapi Lin Dan terlalu bagus hari ini," kata Chong Wei.
Menurut Chong Wei, keyakinannya cukup tinggi untuk memenangi perlawanan tersebut dan apa yang dirancang pada perlawanan set pertama semuanya nampak berkesan.
"Namun, pada set kedua, Lin Dan bangkit dengan rentak permainan yang lebih pantas. Serangannya juga banyak mematikan pergerakan saya,""katanya.
Chong Wei juga menjelaskan bahawa prestasinya pada Olimpik London lebih baik berbanding persembahannya di Beijing empat tahun lalu.
No comments:
Post a Comment