Latar Belakang PDK Selayang

SEJARAH PENUBUHAN:

PDK Selayang (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Selayang) telah ditubuhkan pada 1hb Sept 1991, oleh sekumpulan ibubapa kepada kanak-kanak kurang upaya (pada masa tersebut dipanggil sebagai kanak-kanak istimewa) yang mana anak-anak mereka telah dinafikan hak untuk menerima pembelajaran wajib dari aliran perdana sekolah.

Pada 29 Oktober 2017, Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Selayang (Pertubuhan PDK Selayang) telah didaftarkan sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (Non-Gorvermental Asoociation-NGO) dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia Cawangan Selangor.

Bermula dengan 15 orang kanak-kanak kurang upaya kelas diadakan sekali seminggu pada setiap hari Sabtu dari jam 8:30 pagi hingga 1:00 tengahari, dengan dilatih oleh seorang Petugas PDK (panggilan Cikgu PDK pada masa tersebut) iaitu Puan Noraini Othman.

Hari ini PDK Selayang telah berkembang pesat dengan jumlah pelatih OKU PDK seramai 84 orang melalui beberapa program iaitu Kelas Harian EIP, Kelas Harian LPV, Kelas Harian Pemulihan Perubatan (Pemulihan Anggota, Pemulihan Pertuturan dan Pemulihan Carakerja), Lawatan ke Rumah dan Program Rumah Kelompok (lelaki).

Kumpulan Sasar Utama:
OKU (Orang Kurang Upaya)

Kumpulan Sasar Tambahan:
Anak-Anak Yatim, Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik, Ibu Tunggal/Ibu Tinggal, Warga Emas dan Keluarga Miskin (dari lingkungan kumpulan sasar utama)

Kelas Harian EIP:
5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 8:30am-12:30pm.

Kelas Harian LPV (Latihan Pemulihan Vokasional):
5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 9:00am- 4:00pm.

Kelas harian Pemulihan Perubatan pula dijalankan seperti berikut:

Pemulihan Anggota:
3 hari/minggu; Isnin, Rabu danJumaat; 8:30-11:30am; untuk OKU dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah.

Sabtu & Ahad pula dikhaskan kepada OKU yang keluarganya mampu bayar penuh kos pakar (OKU dari keluarga kaya).

Pemulihan Pertuturan:
2 hari/minggu, Rabu dan Jumaat 8:30am- 12:00pm; untuk OKU dari keluarga berpendapan rendah dan miskin dan hari 2 hari dalam seminggu dikhaskan untuk OKU dari keluarga kaya yang mampu membayar kos pakar.

Pemulihan Carakerja:
3 hari/minggu; Isnin, Rabu dan Jumaat; 8:30-11:30am; untuk pelatih kanak-kanak; 2:30-4:00pm untuk pelatih remaja PDK.

Program Lawatan ke Rumah:
2 kali/minggu; Selasa (2:00-4:00 petang) dan Sabtu (9:30am-12:30pm). Berdasarkan keperluan dan persetujuan dari ibubapa/penjaga untuk kehadiran Petugas PDK di kediaman mereka.

Program Rumah Kelompok (Lelaki):
Menempatkan seramai 4 OKU yang telah bekerja. (telah ditamatkan pada Januari 2015)

Pengurusan:
PDK Selayang yang ditadbir-urus oleh Jawatankuasa Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Selayang yang mana barisan Jawatankuasa terdiri dari ibubapa/penjaga OKU, Masyarakat Tempatan dan seorang OKU

Kakitangan:
Seramai 12 kakitangan berkhidmat di PDK Selayang yang diketuai oleh Penyelia PDK iaitu Puan Noraini Othman, (sila lihat
side menu).


Thursday, August 23, 2012

Lenggong : Dulu pekan kecil, kini tumpuan global : Tapak Warisan Dunia UNESCO


Dulu pekan kecil, kini tumpuan global

SEBAHAGIAN penemuan fosil rangka manusia dan tembikar oleh penyelidik USM di Lembah Lenggong yang dipamerkan Muzium Arkeologi.


SALAH satu tajuk berita yang disiarkan sebuah akhbar tempatan awal Julai lalu menyebabkan Muhammad Solihin Abdul Majid terpaku. Anak muda berusia 21 tahun itu lantas menguntum senyum, melirik penuh teruja menggambarkan isi hati dan perasaannya.
Fikirannya tiba-tiba melayang. Tanpa sedar, dia mengimbau kelibat sekumpulan lelaki dan wanita dewasa yang keluar masuk ke sebuah kawasan berdekatan ladang kelapa sawit. Ladang itu terletak tidak jauh dari rumahnya di Kampung Kota Tampan, Lenggong lebih sedekad lalu.
Lenggong, dalam Daerah Kuala Kangsar
Kumpulan tersebut ialah orang universiti yang berkampung di kawasan itu semata-mata mencari tinggalan sejarah.
Daerah Kuala Kangsar, Perak (warna merah)
Bagaimanapun dalam meniti usia, Muhammad Solihin mula memahami dan menyedari kehadiran mereka bukan sekadar membuat kajian biasa-biasa, sebaliknya meneroka khazanah sejarah jutaan tahun.
Muhammad Solihin mengakui, dia tidak menyangka penerokaan dan kajian yang dilakukan secara berterusan oleh para penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu telah mengangkat Lenggong di persada dunia.
Katanya, kebanggaan terhadap status Tapak Warisan Dunia yang dianugerahkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) semasa bersidang di Rusia pada 30 Jun lalu dikongsi sama oleh 30,000 penduduk Lenggong. Begitu juga dengan ribuan lain yang berasal atau mempunyai pertalian keluarga mereka dengan daerah kecil ini.
“Sebak rasanya apabila saya membaca tajuk berita yang tersiar itu. Lembah Lenggong diisytihar sebagai salah satu tapak warisan dunia oleh UNESCO,” katanya yang menetap dan bekerja di Lenggong.
Gua Gunung Runtuh
Sebelum ini Muhammad Solihin hanya menumpang bangga dengan beberapa penemuan-penemuan besar kumpulan penyelidik USM terbabit seperti rangka Perak Man yang berusia 10,000 hingga 11,000 tahun di Gunung Gua Runtuh dan fosil rangka Wanita Perak pada tahun 2004 di Teluk Gua Kelawar.
Perasaan yang sama turut dirasai Norazam Idzha Mohamed Rashidi. Pelajar tingkatan enam atas Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad, Lenggong itu tidak dapat menyembunyikan keterujaannya tatkala ditebak rasa hatinya mengenai pengiktirafan badan dunia tersebut.

“Saya masih ingat bagaimana sukarnya untuk menjelaskan kedudukan Lenggong kepada kenalan. Biasanya saya hanya nyatakan ia sebuah pekan kecil di antara Kuala Kangsar dan Gerik.
“Namun, kini ramai yang sudah mengetahui kedudukan Lenggong. Dahulu tidak ramai yang tahu mengenai kawasan ini,” katanya.
Dilahir dan dibesarkan di Lenggong, Norazam Idzha, 19, mengakui dia tidak sabar untuk melihat perubahan yang bakal berlaku di kawasan itu.
Sifat ingin tahu mengenai pengiktirafan Lenggong sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia memuncak.

MALIK REDZUAN, penduduk tempatan menunjukkan serpihan batu suevit yang ditemui di tapak kajian meteorit di Bukit Bunuh, Lenggong.


“Baru saya tahu bukan sembarangan tempat boleh diangkat sebagai tapak Warisan Dunia,” katanya bangga.
Apa yang pasti, pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia bertitik tolak daripada penemuan bukti di Bukit Bunuh. Ia merupakan tapak Paleolitik tertua dunia yang berada di luar Afrika dan mempunyai pentarikhan kronometrik.
Batu Meteor yang dipamerkan
Migrasi kuno
Ia disahkan sebagai salah sebuah tapak Paleolitik terpenting di dunia kerana mendedahkan sebuah kompleks Paleolitik seluas empat kilometer persegi dengan pentarikhan lebih 1.83 juta tahun, 40,000 dan 30,000 tahun dahulu.
Biarpun teori Out of Africa mengaitkan setiap manusia mempunyai hubung kait turun-temurun dengan sekumpulan homo sapiens yang merantau keluar dari Afrika, namun migrasi kuno itu mempunyai jejak signifikan di sebuah tempat di negara ini.
Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM, Prof. Dr. Mokhtar Saidin, terdapat bukti menunjukkan bahawa penempatan manusia prasejarah di Lembah Lenggong telah wujud sejak 1.83 juta tahun lalu.
“Manusia terawal di dunia dibuktikan wujud di Afrika dua juta tahun dahulu, tetapi di Lenggong ia tertua di luar Afrika.
Manusia terawal
“Penemuan ini menyaingi bukti dunia yang mengatakan manusia terawal wujud di luar Afrika hanya bertapak di Dmanisi Georgia sekitar 1.8 juta tahun dahulu,” katanya kepada Kosmo!.
Bukti-bukti yang ditemui dalam penyelidikan di Bukit Bunuh yang dilakukan sejak tahun 2001 menunjukkan tapak ini dihuni secara berterusan.
Bukit Bunuh, Lenggong
“Bukit Bunuh menjadi pilihan kawasan penempatan awal kerana ia menyediakan sumber alam yang diperlukan untuk menyediakan peralatan batu.
“Ia menyediakan persekitaran kuno yang mempunyai sumber air dari tasik kuno, flora dan fauna yang mereka perlukan,” kata Mokhtar.
Penggunaan kapak genggam yang diumumkan pada tahun 2009 menunjukkan kawasan ini merupakan satu-satunya tapak Paleolitik dunia yang berfungsi sebagai bengkel membuat alat batu.
“Penyelidikan di Bukit Bunuh juga menemukan bukti tentang sebab kemusnahan budaya awal Paleolitik ini akibat jatuhan meteorit pada 1.83 juta tahun dahulu yang telah dikenal pasti melalui bukti geomorfologi, kehadiran batuan suevit dan geologi kawasan,” katanya.

ASID deoksiribonukleik (DNA) kaum Semang beretnik Negrito juga ditemui di Lenggong. – Gambar hiasan


Tambahnya, ekskavasi yang dipelopori oleh penyelidik USM, Prof. Datuk Zuraina Majid di Kota Tampan, Lenggong juga menemui bukti-bukti kewujudan manusia awal menerusi analisis mitokondrial asid deoksiribonukleik (DNA) kaum Semang beretnik Negrito.
Penemuan tersebut menunjukkan kaum berkenaan berasal daripada sekumpulan manusia yang meninggalkan Afrika kira-kira 80,000 tahun dahulu.
Selain itu, penyelidikan yang dijalankan mendapati, penempatan zaman prasejarah iaitu Zaman Paleolitik, Zaman Neolitik dan Zaman Logam wujud di Lembah Lenggong.
Kawasan Kota Tampan
Penemuan di Bukit Jawa misalnya, hasil pemetaaan paleoalam tapak Kota Tampan mendedahkan penempatan masyarakat Paleolitik yang biasanya di gigi tasik, mempunyai enapan kelilir Sungai Perak yang digunakan untuk membuat alas batu, sekitar 100,000 ke 200,000 tahun dahulu.
Perak Man
Di tapak Gua Gunung Runtuh pula telah ditemui rangka lelaki Perak Man yang merupakan satu-satunya rangka manusia terlengkap prasejarah, dilahirkan dengan kecacatan genetik Brachymesophalangia Jenis A2.
Perak Man yang hidup kira-kira 10,000 ke 11,000 tahun dahulu dan dipercayai mati kerana sakit tua pada usia 40 ke 45 tahun. Berdasarkan kehausan gigi gerahamnya, dia dipercayai manusia tertua berikutan jangka hayat individu pada masa itu antara 20 hingga 30 tahun sahaja.
Rangka manusia
Ciri keunikan Zaman Neolitik di Lembah Lenggong pula boleh ditemui di Gua Harimau apabila 11 pengkebumian rangka manusia berusia kira 2,000 ke 4,000 tahun dahulu dijumpai dengan barangan kiriman seperti bekas tembikar, alatan batu, perhiasan badan dan sisa makanan.
Malah, penemuan tunggal penempatan Zaman Logam di Gua Harimau itu juga menunjukkan logam yang digunakan lebih tua usianya berbanding alatan sama yang ditemui di Sarawak (Gua Niah dan Gua Sireh), Selangor (Jenderam Hilir dan Kampung Sungai Lang) dan Sabah (Gua Agop Atas dan Gua Pusu Lumut).
Sebagai salah seorang individu yang bertanggungjawab menulis cadangan untuk dipertimbangkan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia kepada UNESCO, Mokhtar mengakui beliau yakin segala-galanya berjalan lancar.

Jelasnya, pengiktirafan tersebut amat penting bagi memastikan artifak-artifak yang ada termasuk batu-batu suevit perlu dipelihara sebagai warisan negara.
“Kita juga mahu ia terus diselidiki bagi mendapat gambaran sebenar mereka yang menghuni di kawasan ini sejak lebih 1.83 juta tahun lalu yang sebenarnya berupaya mengubah beberapa teori tentang masyarakat Paleolitik seperti teori normadik dan pergerakan manusia awal,” jelas Mokhtar.

No comments: