Galeri khas seorang negarawan
KUNJUNGAN ke Batu Pahat, Johor pasti tidak merugikan kerana daerah itu mempunyai pelbagai tarikan suasana tradisional, kembara budaya mahupun gastronomi.
Memakan masa perjalanan kira-kira tiga jam dari ibu negara, pengunjung dapat menyaksikan bandar Batu Pahat yang kian pesat membangun.
Namun, bagi mereka yang biasa mengunjungi daerah berkenaan pastinya hidangan istimewa seperti asam pedas dan nasi beriani gam menjadi tumpuan utama ketika menjamu selera.
Kunjungan ke daerah tersebut bukan bernoktah di situ sahaja kerana kini pelbagai tarikan baharu menanti anda.
Antaranya adalah bangunan Memorial Dato’ Onn yang terletak berhampiran kawasan Kelab Golf Batu Pahat di Jalan Kluang iaitu kira-kira 1.2 kilometer dari pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Batu Pahat.
Dato' Onn Jaafar |
Sebelum ini, ia merupakan bangunan kuarters kediaman pegawai kerajaan yang dibina pada tahun 1938 dengan kos pembinaan pada masa itu ialah RM15,500. Ia berkeluasan 417 meter persegi.
Menariknya, bangunan ini dipilih berikutan ia pernah menjadi kediaman rasmi Allahyarham Datuk Onn Jaafar ketika memegang jawatan sebagai Pegawai Daerah Batu Pahat suatu ketika dahulu.
Selain menjadi kediaman negarawan itu, bangunan tersebut pernah digunakan oleh Pasukan Simpanan Tentera Darat (PSTD) Regimen 501 Askar Wataniah sebagai markas latihan.
Ekoran mempunyai kaitan dengan Onn, bangunan itu memang layak dipilih dijadikan memorial untuk mendedahkan kepada umum tentang sumbangan besar beliau dalam sejarah negara ini.
Bangunan Memorial Dato' Onn di Batu Pahat |
Bangunan tersebut telah dibaik pulih dan diubah suai menjadi memorial dengan kos sebanyak RM600,000 oleh JKR sebelum diserahkan kepada Yayasan Warisan Johor dengan rasminya pada 6 Ogos 2007.
Di dalam bangunan ini terdapat beberapa bahagian seperti galeri utama, ruang-ruang pameran, bilik tayangan, kedai cenderahati, bilik solat, bilik mesyuarat, pejabat, tandas, dapur dan stor.
Pejuang kemerdekaan
Dilahirkan pada tahun 1895, Onn bukan sahaja terkenal sebagai ahli politik terkemuka malah sebagai pentadbir yang hebat, tokoh wartawan, ahli pemikir dan pejuang kemerdekaan.
Kehebatan arwah semasa hayatnya boleh dirasai pengunjung menerusi gambar-gambar lama yang tergantung di dinding.
Tidak cukup dengan itu, pengunjung boleh mendapat maklumat menerusi tayangan video yang boleh ditonton di bilik tayangan yang disediakan.
Bahkan, pengunjung yang memasuki bangunan itu pasti terpesona dengan ruang atur dan hiasan dalaman menggunakan perabot bertema klasik.
Kewujudan bangunan memorial itu adalah untuk memelihara segala warisan bersejarah termasuk rekod surat, cenderamata, dokumen, anugerah, bingkisan ucapan dan barangan kebesaran sepanjang hayat kepunyaan tokoh tersebut.
Sebagai tempat pengumpulan, penyimpanan, pemuliharaan dan pameran khazanah serta koleksi beliau, pengunjung pasti teruja menyaksikan rutin kehidupan hariannya.
Secara tidak langsung, kunjungan itu dapat mengenang jasa dan mengiktiraf pengorbanan serta sumbangan beliau dalam pelbagai bidang. Ia sekali gus menjadi inspirasi buat anak bangsa dan generasi muda.
Antara bahan-bahan yang dipamerkan termasuklah gambar-gambar peristiwa, lukisan, cenderamata, keris, bendera, buku-buku, majalah dan keratan akhbar.
No comments:
Post a Comment