RANTAU PANJANG: Kedaifan hidup menyebabkan sepasang orang kurang upaya (OKU) pasrah membesarkan anak mereka di sebuah stor buruk yang dijadikan tempat berteduh sejak 14 tahun lalu di Kampung Kubang Puyuh, di sini.
Mahadi Yusof, 42, dan Nandamurni Abdullah, 37, membina stor itu menggunakan papan dan zink terpakai dengan ketinggian kira-kira dua meter. Biarpun sempit, di dalam stor itu pasangan berkenaan tinggal bersama anak tunggal mereka, Nur Alia Farhana Mahadi, 14.
Lebih menyedihkan apabila Nandamurni menderita penyakit injap jantung bermasalah sejak 12 tahun lalu dan perlu menanggung kos berulang-alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk rawatan susulan.
Abang wanita itu, Aziz Abdullah, 45, berkata, walaupun adiknya menerima wang bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM120 sebulan, namun jumlah itu tidak mencukupi kerana lebih separuh daripadanya digunakan untuk kos rawatan susulan.
“Saya pula hanya membantu keluarga adik saya setakat termampu kerana saya juga orang susah dan ada keluarga sendiri yang perlu ditanggung,” katanya.
Menurutnya, keluarga Mahadi pernah memohon mendapatkan bantuan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), tetapi tidak diluluskan.
No comments:
Post a Comment