Berbuka mengikut sunah
Alangkah indahnya puasa yang kita tunaikan, apabila tatkala berbuka kita turut mengikut sunah Rasulullah.
DALAM kesibukan harian pada bulan Ramadan ini mari kita saling mengingati antara kita tentang perihal berbuka. Teringat tentang kata-kata Imam Ghazali. "Ramai manusia yang berpuasa tetapi rosak puasanya ketika berbuka."
Aduhai, ruginya jika itu terjadi kepada kita. Namun, yang pasti masih ada peluang dan ruang lagi untuk kita memperbaiki ibadah puasa kita.
Dalam berbuka puasa ada banyak perkara yang mesti diikuti, apatah lagi telah termaktub hadis-hadis tentang cara Rasulullah berbuka puasa.
Berbuka puasa adalah ibadah bukan sekadar menjamu selera atau membalas makan kerana tidak makan pada siang harinya. Berbuka puasa juga menunjukkan tanda syukur kepada Allah kerana telah memberi kita nikmat berpuasa.
Hakikat puasa itu ialah nikmat bukan sekadar menahan lapar dan dahaga semata-mata. Oleh itu, sebelum kita berdiskusi tentang adab dan sunah berbuka puasa, sama-samalah kita mendalami hakikat sebenar puasa.
Puasa seperti yang termaktub dalam Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, moga-moga kamu bertakwa."
Puasa ialah nikmat, puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Nikmat kerana apabila kita berbuka puasa dan apabila kita meneguk seteguk air apakah yang kita rasai? Nikmatnya bukan, ketika itu tiada yang lain kita ucapkan melainkan Alhamdulillah syukur atas nikmat yang kita kecapi.
Oleh itu, Rasulullah berbuka dengan cara yang terlalu ringan dan adakalanya hanya dengan segelas air sebagai hidangan berbuka Baginda kerana hakikat puasa telah Baginda kecapi. Di sini kita perhatikan adab dan sunah berbuka puasa dari sudut fiqhnya. Rasulullah SAW berbuka sebelum melaksanakan solat Maghrib.
Ini kerana perbuatan menyegerakan berbuka puasa termasuk akhlaknya para nabi. Daripada Abu Darda: "Tiga perkara yang merupakan akhlak kenabian ialah menyegerakan berbuka, mengakhirkan (melewatkan) sahur dan meletakkan tangan di atas tangan kiri ketika dalam solat (ketika qiyam)." (Hadis Riwayat ath-Thabrani).
Rasulullah telah memerintahkan untuk berbuka dengan kurma, jika tidak ada kurma, maka dengan air. Ini termasuk dalam kesempurnaan kasih sayang dan betapa prihatinnya Baginda kepada umatnya.
Ini kerana memberikan sesuatu yang manis kepada tubuh yang kosong berupaya untuk membangkitkan selera, tenaga dan sangat bermanfaat bagi badan.
Tubuh akan menjadi segar dengannya (kurma). Begitu juga dengan air, kerana ketika berpuasa tubuh kekurangan air, maka jika dibekalkan dengan air ia akan membantu menyegarkan badan serta membantu penghadaman makanan.
Sebenarnya kurma mengandungi berkat dan keistimewaan (begitu juga air) dalam pengaruhnya terhadap hati dan menyucikannya. Tidak ada yang mengetahui kecuali orang yang beritiba' (mengikuti sunah).
Kekeliruan dalam Doa-doa ketika berbuka
Timbul kekeliruan dalam kalangan umat tentang doa ketika berbuka puasa. Di sini kita rungkaikan bagaimana dan apakah doanya. Ketika azan berkumandang menandakan masuk waktu berbuka puasa maka doa makanlah yang sepatutnya dibaca kerana kita baru sahaja mahu memulakan makan dan belum lagi makan.
Selepas kita telah memakan atau membatalkan puasa barulah kita membaca doa berbuka puasa kerana dalam doa tersebut kita ucapkan, "Ya Allah, kepadaMu kami berpuasa dan kepadaMu kami beriman dan dengan rezekiMu kami telah berbuka puasa."
Mungkin ramai antara kita yang membaca doa ini sebelum berbuka. Tidak salah cuma ia menyalahi adabnya. Mari kita betulkan, insya-Allah.
Antara sebab kenapa kita digalakkan berdoa kerana terdapat tiga orang yang tidak akan ditolak doanya iaitu orang yang berpuasa ketika dia berbuka, imam yang adil dan doa orang yang dizalimi.
Jadi, janganlah kita mensia-siakan peluang yang ada ini. Berdoalah.
Pesan penulis buat diri dan sekalian pembaca Kosmo! yang dihormati, janganlah terlalu ikut nafsu sehingga berbuka dengan juadah yang penuh meja dan akhirnya akan membazir.
No comments:
Post a Comment