Latar Belakang PDK Selayang

SEJARAH PENUBUHAN:

PDK Selayang (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Selayang) telah ditubuhkan pada 1hb Sept 1991, oleh sekumpulan ibubapa kepada kanak-kanak kurang upaya (pada masa tersebut dipanggil sebagai kanak-kanak istimewa) yang mana anak-anak mereka telah dinafikan hak untuk menerima pembelajaran wajib dari aliran perdana sekolah.

Pada 29 Oktober 2017, Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Selayang (Pertubuhan PDK Selayang) telah didaftarkan sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (Non-Gorvermental Asoociation-NGO) dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia Cawangan Selangor.

Bermula dengan 15 orang kanak-kanak kurang upaya kelas diadakan sekali seminggu pada setiap hari Sabtu dari jam 8:30 pagi hingga 1:00 tengahari, dengan dilatih oleh seorang Petugas PDK (panggilan Cikgu PDK pada masa tersebut) iaitu Puan Noraini Othman.

Hari ini PDK Selayang telah berkembang pesat dengan jumlah pelatih OKU PDK seramai 84 orang melalui beberapa program iaitu Kelas Harian EIP, Kelas Harian LPV, Kelas Harian Pemulihan Perubatan (Pemulihan Anggota, Pemulihan Pertuturan dan Pemulihan Carakerja), Lawatan ke Rumah dan Program Rumah Kelompok (lelaki).

Kumpulan Sasar Utama:
OKU (Orang Kurang Upaya)

Kumpulan Sasar Tambahan:
Anak-Anak Yatim, Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik, Ibu Tunggal/Ibu Tinggal, Warga Emas dan Keluarga Miskin (dari lingkungan kumpulan sasar utama)

Kelas Harian EIP:
5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 8:30am-12:30pm.

Kelas Harian LPV (Latihan Pemulihan Vokasional):
5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 9:00am- 4:00pm.

Kelas harian Pemulihan Perubatan pula dijalankan seperti berikut:

Pemulihan Anggota:
3 hari/minggu; Isnin, Rabu danJumaat; 8:30-11:30am; untuk OKU dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah.

Sabtu & Ahad pula dikhaskan kepada OKU yang keluarganya mampu bayar penuh kos pakar (OKU dari keluarga kaya).

Pemulihan Pertuturan:
2 hari/minggu, Rabu dan Jumaat 8:30am- 12:00pm; untuk OKU dari keluarga berpendapan rendah dan miskin dan hari 2 hari dalam seminggu dikhaskan untuk OKU dari keluarga kaya yang mampu membayar kos pakar.

Pemulihan Carakerja:
3 hari/minggu; Isnin, Rabu dan Jumaat; 8:30-11:30am; untuk pelatih kanak-kanak; 2:30-4:00pm untuk pelatih remaja PDK.

Program Lawatan ke Rumah:
2 kali/minggu; Selasa (2:00-4:00 petang) dan Sabtu (9:30am-12:30pm). Berdasarkan keperluan dan persetujuan dari ibubapa/penjaga untuk kehadiran Petugas PDK di kediaman mereka.

Program Rumah Kelompok (Lelaki):
Menempatkan seramai 4 OKU yang telah bekerja. (telah ditamatkan pada Januari 2015)

Pengurusan:
PDK Selayang yang ditadbir-urus oleh Jawatankuasa Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Selayang yang mana barisan Jawatankuasa terdiri dari ibubapa/penjaga OKU, Masyarakat Tempatan dan seorang OKU

Kakitangan:
Seramai 12 kakitangan berkhidmat di PDK Selayang yang diketuai oleh Penyelia PDK iaitu Puan Noraini Othman, (sila lihat
side menu).


Tuesday, September 7, 2010

Keluarga Muslim Selongkar Sampah Cari Makanan Untuk Bersahur dan Berbuka Puasa

Oleh Ahmad Nazri Mohamad dan Mary Victoria Dass My Metro-2010/09/07

JOHOR BAHRU: Dua beradik wanita warga emas bukan saja terpaksa makan dedak jagung makanan ayam untuk berbuka puasa dan bersahur setiap hari, malah ada beberapa jiran tetangga tergamak memaki dan meludah jika terserempak dengan mereka yang dianggap pembawa sial.


SUMBER REZEKI...Rahimah (kiri) bersama Fatimah dan Robiah melakukan kerja pengasingan barangan kitar semula. Kesengsaraan dua beradik berusia 70 dan 73 tahun itu makin bertambah apabila anak seorang daripada mereka berusia 37 tahun menghidap sakit mental manakala badannya penuh kurap.

Tiga bersaudara itu menumpang di kediaman seorang saudara mereka di rumah pangsa Blok 73, Taman Ungku Tun Aminah di sini, namun mereka hanya boleh menggunakan ruang tamu dan dapur selain dilarang menyentuh mana-mana peralatan milik tuan rumah atau masuk mana-mana bilik.

Lantaran kedaifan, tiga bersaudara itu terpaksa menyelongkar tong sampah untuk mencari makanan harian sehingga ada jiran seagama yang melabelkan mereka sebagai ‘keluarga sampah’.

Bagaimanapun, dua warga emas itu, Fatimah Abdul Hamid, 72, dan adik perempuannya, Rahimah Abdul Hamid, 70, dan anak tunggal Fatimah, Robiah Ahmad, 37, nekad meneruskan hidup serba kekurangan itu walaupun masa depan mereka cukup kabur.

Rahimah berkata, dia mempunyai dua anak lelaki tetapi sejak kematian suami, kedua-dua anaknya bersikap lepas tangan dan enggan mengaku dirinya ibu kandung kerana menganggap kehadirannya boleh menimbulkan masalah dalam rumah tangga mereka.

Berikutan itu, dia yang mengalami masalah rabun teruk dan menghidap strok terpaksa menumpang kasih kakaknya, Fatimah yang sedia dibebani Robiah, seorang pesakit mental.

“Meskipun usia sudah lanjut, kakak bersama Robiah keluar rumah dua kali termasuk pada awal pagi dan petang dengan menolak kereta sorong bagi mencari sisa makanan dalam tong sampah untuk dijadikan juadah.

"Saya cukup gembira jika mereka membawa pulang roti, makanan dalam tin mahupun mi yang dijumpai dalam timbunan sampah biarpun sesetengah barangan itu sudah luput tarikh"

“Kami juga akan menyimpan baki makanan yang tinggal termasuk untuk bersahur dan berbuka puasa sepanjang Ramadan ini,” katanya.

Rahimah berkata, sekiranya Fatimah dan Robiah menemui tin kosong, wayar serta besi terbuang, mereka juga akan mengutip dan menjualnya kepada peniaga barang kitar semula.

Rahimah berkata, pendapatan mingguan keluarga itu yang kurang RM10 juga akan dikumpul bagi membayar bil air dan elektrik kepada pemilik rumah hingga mengakibatkan mereka tidak mampu membeli pakaian selain hanya memakai baju lusuh.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan beberapa jiran memandang jijik terhadap mereka sehingga tidak membenarkan mereka menghadiri sebarang majlis keramaian di situ.

“Kami dipandang hina selepas Robiah mengalami alahan kulit di seluruh badan dipercayai akibat jangkitan kuman kerana terpaksa menyelongkar sampah pada setiap pagi bersama ibunya.

“Kami juga diludah dan dimaki dengan perkataan kesat sehingga sakit telinga sekiranya membuka pintu depan rumah. Sebab itu kami terpaksa keluar masuk menggunakan pintu dapur,” katanya ketika melakukan kerja pengasingan barang kitar semula di belakang lorong rumah semalam.

Menurut Rahimah, berbanding keluarga lain yang sibuk melakukan persiapan raya, mereka bertiga hanya mampu menitiskan air mata.

"Sudah hampir lima tahun kami tidak membeli baju raya mahupun memasak makanan sedap ketika Aidilfitri sebaliknya seperti biasa hanya memakan dedak dan makanan basi"

“Rumah kami juga tidak dikunjungi tetamu. Pada hari raya selalunya kami hanya berkurung dalam rumah, mungkin sudah takdir hidup kami begini. Apapun, kami perlu hadapi dugaan Allah ini dengan hati tabah,” katanya yang turut berharap kedua-dua anaknya menziarahinya pada 1 Syawal nanti.

(Mungkin PDK-PDK di Johor Bahru boleh berbuat sesuatu untuk membantu mereka)

JKM WPKL serbu lubuk pengemis asing.

JKM serbu lubuk pengemis asing. Oleh JUNHAIRI ALYASA
junhairi.alyasa@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR – Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) bertindak menggempur pengemis asing di empat lokasi bazar Ramadan sekitar ibu kota semalam.

Operasi yang berlangsung selama enam jam itu tertumpu di Pasar Keramat, Bazar Ramadan Tasik Titiwangsa, Sentul serta pasar malam Pantai Dalam dan seramai lima pengemis warga asing berjaya ditahan.

Kesemua pengemis terbabit terdiri daripada seorang lelaki warga Vietnam, seorang wanita warga Kemboja serta dua wanita dan seorang kanak-kanak perempuan warga Myanmar.

Bagaimanapun usaha untuk menahan pengemis di pasar malam Pantai Dalam menemui kegagalan kerana ada pihak telah menghidu kehadiran pihak berkuasa.

Menurut Timbalan Pengarah 2 JKMWPKL, Jabar Puteh Mahadi, (gambar) dua orang pengemis iaitu masing-masing seorang warga Vietnam dan Kemboja telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

“Dua orang perempuan warga Myanmar termasuk kanak-kanak yang mempunyai status UNHCR (Suruhanjaya Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian) ditempatkan selama 30 hari di Desa Bina Diri Kuala Kubu Bharu,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan tentang kewujudan sindiket pengemis warga asing bermodalkan anak-anak kecil serta berlakon mengalami kecacatan serius kini menguasai lorong-lorong di pasar malam serta bazar Ramadan di Lembah Klang untuk menagih simpati orang ramai.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

OKU-Buat aksi pusing (balik kuang) dengan kerusi roda.

(Petikan dari Kosmo Online-5hb Sept 2010)

ATAS: Aaron FOTHERINGHAM


KIRI: Aaron membuat lompatan balik kuang
dengan kerusi roda.

WOODWARD, Pennsylvania - Seorang remaja berusia 18 tahun, Aaron Fotheringham mencipta sejarah selepas dia berjaya melakukan aksi berpusing-pusing sebanyak dua kali dengan menggunakan kerusi roda, lapor sebuah akhbar semalam.

Ketika berumur 14 tahun, Aaron menjadi individu pertama di dunia yang berjaya melakukan aksi sebegitu.

"Saya cuba banyak kali. Setiap kali saya jatuh, memang sangat sakit. Saya mengalami lebam namun saya tidak kisah," katanya.

Dilahirkan dengan masalah tulang belakang, dia enggan diklasifikasikan sebagai golongan kurang upaya.

Dia kini sedang mengikuti sesi jelajah menerusi satu rancangan televisyen di Amerika Syarikat. - Agensi

(Bagaimana dengan orang kita! Bagaimana dengan OKU kita!!)

Kriteria Bakal Suami Ras Adiba

(Petikan dari Mingguan Malaysia-5hb Sept 2010)

Ada yang hendak mencuba.................silakan!

Kriteria bakal suami.


Semasa kami berbual pada petang yang disirami hujan lebat di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, saya menyakat Ras Adiba apakah dia tidak mahu menambah lagi ruang-ruang kebahagiaan tatkala usianya semakin berlabuh senja.

Dia langsung tidak mengelak menjawab soalan itu, malah memberi senyuman manis yang kekal indah.

"Saya tidak menafikan ada yang cuba memikat,sampai sekarang masih meminati saya. Siapa kata golongan OKU tidak ada peminat?

"Begitu pun, keutamaan sekarang untuk Umar dan saya bekerja mencari duit untuk membesarkannya, beri dia pendidikan sempurna.

"Mungkin belum sampai seru atau mungkin jodoh saya dengan lelaki pilihan itu tidak bertemu lagi," jawabnya sambil sesekali menegur keletah Umar yang agak nakal.

Apa yang paling penting, lelaki yang bakal menghuni kamar hatinya perlu memahami keadaannya sebagai OKU, kelakar dan matang.

"Ini kerana hendak menjaga golongan OKU bukan senang. Saya pun tidak pasti ada ke lagi golongan lelaki yang bersikap terbuka dengan orang macam saya ini.

"Di Malaysia ini, golongan OKU sudah biasa menerima 'kekurangan' berbanding di negara Barat yang dilayan seperti orang normal dan mendapat hak yang sama rata," katanya sedikit serius.

(Hak sama rata di sini ada pro dan kontra!:
1.  Samada buat seperti mana orang lain buat atau;
2. Bayar sebagaimana orang lain bayar.
 
(Adakah ini yang dimaksudkan-:)  

Monday, September 6, 2010

Iftar Ramadhan 1432H Restoran Barakath

27 Ramadhan 1432H (Isnin; 6:00 pm).

Restoran Barakath yang terletak di Bandar Baru Selayang Fasa 2A telah bermurah hati menjemput seramai 50 orang asnaf dari PDK Selayang untuk berbuka puasa di restoran mereka. Asnaf tersebut terdiri dari Pelatih OKU, anak yatim dan kanak-kanak kurang bernasib baik.

Mereka diiringi oleh Wak Jasni dari Pangsapuri Julia dan Puan Rohayah Zainal dari PPR Wahyu.

Sumbangan Pakaian Raya oleh KPWKM.

27 Ramadhan 1432H (Isnin; 11:00 am).

Seramai 20 orang Pelatih OKU dari PDK Selayang telah terpilih untuk menerima pakaian raya dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang disampaikan oleh Menterinya.

Program tersebut diadakan Dataran Bukit Perdana di hadapan Blok E KPWKM sendiri.
Acara yang bermula jam 11:00 beralhir pada jam 2:00 pm.

Setiap Pelatih OKU menerima sepasang baju samada baju melayu atau baju kurung. Juga disertakan sebungkus nasi beriani ayam untuk berbuka puasa.

Cuma yang agak terkilan ialah pengurusan penyerahan sumbangan yang tidak teratur menyebabkan keadaan berebut-rebut memilih/mengambil baju dari atas lori yang menghantarnya.

Turut serta bersama PDK Selayang ialah seramai 80 orang pelatih OKU dari lain-lain PDK dalam Daerah Gombak, mereka menghantar 10 pelatih OKU setiap PDK.

Saturday, September 4, 2010

SLE : Penyakit Seribu Wajah.

SLE: Penyakit Seribu Wajah (Kosmo) 040910; Oleh ADHAM SHADAN

PEPERIKSAAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tinggal sebulan lagi namun Zakira Adlia Mohd. Zarawi tiba-tiba diserang demam. Bukan sehari dua sebaliknya demam itu berlarutan sehingga tiga minggu. Terdapat juga ruam di tangannya. Doktor yang memeriksa kesihatannya di klinik kemudian merujuk Zakira Adlia ke hospital apabila kesihatannya masih di takuk yang sama.

Selepas dua hari menjalani ujian darah di hospital, dia kemudiannya disahkan mendapat penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE). Sejujurnya pada masa itu, dia sendiri tidak tahu apa reaksi yang hendak diberi. Antara terkejut dengan tidak, dia sebenarnya tidak pernah tahu dan mendengar tentang penyakit itu.

Maklumat Lanjut dan Khidmat Nasihat boleh di dapati dari Persatuan SLE Malaysia di bawah:

PSLEM (Central)

3rd Floor, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
16, Jalan Utara
46200 Petaling Jaya
Selangor, Malaysia


PSLEM (Northern)
CO-13-GF, Ground Floor
Kompleks Masyarakat Penyayang
Jalan Utama
Penang, Malaysia

E-mail: pslem@streamyx.com

 
“Saya tak pernah dengar nama penyakit itu sebelum ini. Kerana sakit, saya tidak dapat menghadiri banyak kertas peperiksaan pada masa itu,” kata Zakira Adlia, 19, mengenang kembali saat dia mula menghidap SLE dua tahun lalu. Zakira Adlia yang bakal mengambil peperiksaan SPM sekali lagi pada tahun ini menjelaskan, dia tidak berupaya mengulang semula peperiksaan tahun lalu kerana mengalami sakit-sakit pada sendi, keguguran rambut, sakit perut, kaki dan bengkak pankreas semuanya disebabkan oleh SLE. Dia telah dimasukkan ke wad selama tiga bulan termasuk menjalani pembedahan membuang bengkak di pankreas.

“Sehingga hari ini, saya mesti makan ubat setiap hari. Tidak boleh tertinggal sehari pun. Ubat yang perlu dimakan sangat banyak. Kira-kira 10 jenis ubat yang perlu diambil,” katanya ketika ditemui di pusat beli-belah Sungei Wang, Kuala Lumpur dalam satu program meraikan pesakit SLE baru-baru ini.

Penyakit Kronik:

SLE ialah penyakit kronik autoimun di mana antibodi dalam tubuh pesakit yang sepatutnya melindungi badan untuk melawan penyakit tiba-tiba `berubah’ dengan menyerang sel badan atau organ manusia. Dalam kata lain, ia satu gangguan sistem imun membabitkan sistem imun itu sendiri melawan bahagian-bahagian tubuh yang sepatutnya dilindungi.

KEBANYAKAN pesakit SLE mula menderitai penyakit itu dengan kemunculan ruam merah pada muka atau tubuh badan.

Erythematosus bererti ruam merah manakala lupus ialah perkataan Latin bagi serigala.

Pada tahun 1851, Dr. Cazenave menjumpai ruam merah di muka seorang pesakit yang kelihatan seperti gigitan serigala.

Kemudian, pada tahun 1885, Sir William Osler mengenal pasti bahawa ramai individu yang mengidap lupus mempunyai penyakit yang bukan sahaja melibatkan kulit tetapi turut melibatkan organ dan sistem badan yang lain. Penyakit tersebut kemudian dinamakan SLE.

Menurut Pakar Perunding Rheumatologi Hospital Putrajaya, Dr. Heselynn Hussein, penyakit ini berlaku secara tiba-tiba kepada seseorang individu dan puncanya tidak diketahui. Ia menjadikan sistem daya tahan tubuh menjadi berkecamuk dan bercelaru.

Jelasnya, penyakit ini menyerang individu secara tiba-tiba dan masa ia menyerang tidak diketahui. Ia mempunyai spektrum yang luas di mana ada pesakit yang mendapat penyakit SLE ringan dan ada yang memperoleh serangan sangat serius. Ia boleh menyerang kulit sahaja dan ia boleh menyerang sendi, buah pinggang, jantung, paru-paru, saraf dan otak.

“Penyakit ini boleh membawa maut kerana SLE berupaya menyebabkan kegagalan fungsi organ atau serangan SLE itu sendiri terlalu kuat yang dinamakan krisis lupus. Antibodi juga boleh memecahkan sel-sel darah merah dan menyebabkan pesakit kurang darah merah,” ujarnya.

Berbicara tentang simptom awal, Heselynn menerangkan penyakit ini tidak mempunyai simptom spesifik dan ia berubah-ubah mengikut individu. Secara umumnya, ada yang menderita demam, mendapat ruam, rambut gugur, sakit sendi, mudah penat dan kemurungan.


RAMBUT gugur juga merupakan salah satu simptom SLE.


“Itulah sebabnya penyakit ini dinamakan penyakit seribu wajah kerana simptomnya berubah-ubah mengikut individu. Adakalanya sukar untuk doktor mengesahkan penyakit ini kerana wujudnya unsur-unsur penyamaran. Misalnya, salah satu simptomnya ialah sakit sendi sedangkan ada banyak lagi penyakit lain yang turut menyebabkan sakit sendi,” ujarnya sambil memberitahu untuk mengesahkan penyakit ini, pesakit yang sudah menampakkan simptom perlu menjalani ujian darah antinuklear antibodi (ANA).

Ruam:



Namun begitu, majoriti pesakit dipercayai mula mendapat penyakit ini dengan kemunculan ruam yang dinamakan malar rash atau butterfly rash yang berbentuk kupu-kupu di muka atau bahagian-bahagian tubuh yang lain termasuk di leher, telinga dan kepala.

Pesakit yang terlewat dikesan penyakit ini berisiko maut apabila antibodi berkenaan sudah terlalu aktif dan terus merosakkan sel atau organ badan tanpa disedari.

Heselynn memberitahu, untuk merawat penyakit ini, doktor akan memberikan ubat yang dapat mengurangkan kekuatan antibodi. Rawatan asas atau wajib ialah pengambilan hydroxychloroquine.

“Memang pesakit biasanya perlu makan banyak ubat, tetapi bukan kesemuanya khusus untuk SLE. Memandangkan SLE menyerang organ, maka ada ubat yang perlu diambil untuk melindungi organ tertentu dan ubat steroid. Itu sebabnya ada yang perlu makan banyak ubat,” jelasnya.

Heselynn menegaskan penyakit ini tidak boleh disembuhkan dan ia hanya boleh dikawal. Ubat perlu diambil secara berterusan.

“Pesakit perlu makan ubat seperti yang disarankan doktor. Sebarang perubahan bilangan ubat akan ditentukan oleh doktor. Jangan buat keputusan sendiri untuk berhenti atau mengurangkan bilangan ubat apabila rasa sudah baik sedikit. Pesakit digalakkan menjalani hidup normal seperti biasa,” katanya.

Kebanyakan penghidap SLE berada dalam lingkungan umur di antara 15 tahun hingga 50 tahun. Penyakit ini bagaimanapun boleh menyerang tatkala pesakit mencapai usia akil baligh. Lebih kurang 90 peratus penghidap SLE ialah wanita. Ia mungkin ada kaitan dengan hormon estrogen.

Seorang lagi pesakit, Hazwani Amzan, 21, menghidap SLE sejak berusia 11 tahun. Cerita Hazwani, pada masa itu, dia perlu tinggal di hospital selama sebulan sehingga doktor benar-benar dapat mengesahkan yang dia menghidap SLE.

“Sehingga hari ini, saya masih mengambil ubat seperti yang disyorkan. Mesti makan ubat setiap hari,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pesakit lelaki, Mohd. Izwan Affendy Abdul Latiff, 23, memberitahu, dia mendapat SLE tidak lama selepas menduduki SPM. Dia berkata, simptom yang dialaminya ialah seluruh tubuh termasuk matanya menjadi kekuningan seperti kehilangan banyak darah merah.

“Doktor pun pelik sebab jarang lelaki dapat SLE,” ujarnya