CHONG Wei bersama pingat dan replika cek yang dimenangi selepas menjuarai Terbuka Malaysia, semalam .‘Dia buktikan berada dalam kelas tersendiri ketika benam juara dunia 2005’ |
p/s: Tahniah Datuk Misbun,
Tahniah Datuk Lee Chong Wei,
Syabbas Malaysia.....
Berita Harian; Oleh Hussain Said dan Jumiati Rosly; 2011/01/24
“HARGAILAH permata yang ada ini!” Begitulah bunyi kenyataan ringkas tetapi penuh makna daripada Datuk Misbun Sidek sejurus anak emasnya, Lee Chong Wei membuktikan dia berada dalam kelas tersendiri membenam juara dunia 2005, Taufik Hidayat 21-8, 21-17 - sekali gus merangkul kejuaraan Terbuka Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil, semalam.
Kejuaraan yang diraih jaguh perseorangan negara itu - yang juga pilihan pertama kejohanan - adalah koleksi mahkota kejuaraan ketujuh dalam rak kabinetnya sejak mengungguli pertandingan itu pertama kali pada 2004.
Kejayaan itu menyaksikan pemain nombor satu dunia itu hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk menyamai rekod bekas pemain negara, Wong Peng Soon yang muncul pemain paling banyak memenangi kejuaraan yang diperkenalkan sejak 1937 itu dengan lapan kali.
“Saya amat gembira,” katanya Chong Wei ketika ditanya apa erti kemenangannya kali ini. “Saya harap ia menyemarakkan semangat saya untuk menghadapi kejohanan lain tahun ini, termasuk Terbuka Korea,” katanya yang berlepas ke Seoul, malam tadi.
Chong Wei mengakui sebelum beraksi Misbun ada membakar semangatnya supaya dapat menampilkan aksi terbaik selepas mengakui dirinya tertekan dengan harapan tinggi termasuk menjadi wakil tunggal negara yang beraksi di final.
“Misbun meminta saya bertenang kerana mempertahankan kejuaraan bukan mudah. Dia minta buat yang terbaik dan menikmati perlawanan,” katanya.
“Kemenangan ini juga untuk 1Malaysia kerana hanya saya wakil tunggal yang beraksi dan walaupun menggalas tanggungjawab berat, tetapi saya cuba memberi yang terbaik dan berjaya mempertahankan kejuaraan,” kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu.
No comments:
Post a Comment