Latar Belakang PDK Selayang

SEJARAH PENUBUHAN:

PDK Selayang (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Selayang) telah ditubuhkan pada 1hb Sept 1991, oleh sekumpulan ibubapa kepada kanak-kanak kurang upaya (pada masa tersebut dipanggil sebagai kanak-kanak istimewa) yang mana anak-anak mereka telah dinafikan hak untuk menerima pembelajaran wajib dari aliran perdana sekolah.

Pada 29 Oktober 2017, Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Selayang (Pertubuhan PDK Selayang) telah didaftarkan sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (Non-Gorvermental Asoociation-NGO) dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia Cawangan Selangor.

Bermula dengan 15 orang kanak-kanak kurang upaya kelas diadakan sekali seminggu pada setiap hari Sabtu dari jam 8:30 pagi hingga 1:00 tengahari, dengan dilatih oleh seorang Petugas PDK (panggilan Cikgu PDK pada masa tersebut) iaitu Puan Noraini Othman.

Hari ini PDK Selayang telah berkembang pesat dengan jumlah pelatih OKU PDK seramai 84 orang melalui beberapa program iaitu Kelas Harian EIP, Kelas Harian LPV, Kelas Harian Pemulihan Perubatan (Pemulihan Anggota, Pemulihan Pertuturan dan Pemulihan Carakerja), Lawatan ke Rumah dan Program Rumah Kelompok (lelaki).

Kumpulan Sasar Utama:
OKU (Orang Kurang Upaya)

Kumpulan Sasar Tambahan:
Anak-Anak Yatim, Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik, Ibu Tunggal/Ibu Tinggal, Warga Emas dan Keluarga Miskin (dari lingkungan kumpulan sasar utama)

Kelas Harian EIP:
5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 8:30am-12:30pm.

Kelas Harian LPV (Latihan Pemulihan Vokasional):
5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 9:00am- 4:00pm.

Kelas harian Pemulihan Perubatan pula dijalankan seperti berikut:

Pemulihan Anggota:
3 hari/minggu; Isnin, Rabu danJumaat; 8:30-11:30am; untuk OKU dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah.

Sabtu & Ahad pula dikhaskan kepada OKU yang keluarganya mampu bayar penuh kos pakar (OKU dari keluarga kaya).

Pemulihan Pertuturan:
2 hari/minggu, Rabu dan Jumaat 8:30am- 12:00pm; untuk OKU dari keluarga berpendapan rendah dan miskin dan hari 2 hari dalam seminggu dikhaskan untuk OKU dari keluarga kaya yang mampu membayar kos pakar.

Pemulihan Carakerja:
3 hari/minggu; Isnin, Rabu dan Jumaat; 8:30-11:30am; untuk pelatih kanak-kanak; 2:30-4:00pm untuk pelatih remaja PDK.

Program Lawatan ke Rumah:
2 kali/minggu; Selasa (2:00-4:00 petang) dan Sabtu (9:30am-12:30pm). Berdasarkan keperluan dan persetujuan dari ibubapa/penjaga untuk kehadiran Petugas PDK di kediaman mereka.

Program Rumah Kelompok (Lelaki):
Menempatkan seramai 4 OKU yang telah bekerja. (telah ditamatkan pada Januari 2015)

Pengurusan:
PDK Selayang yang ditadbir-urus oleh Jawatankuasa Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Selayang yang mana barisan Jawatankuasa terdiri dari ibubapa/penjaga OKU, Masyarakat Tempatan dan seorang OKU

Kakitangan:
Seramai 12 kakitangan berkhidmat di PDK Selayang yang diketuai oleh Penyelia PDK iaitu Puan Noraini Othman, (sila lihat
side menu).


Wednesday, January 19, 2011

Lelaki cacat malu bekerja

SHAHRUL Nizam bersama ibunya di Kampung Kuah,
Langkawi, semalam.Shahrul hanya berkurung dalam rumah,
harap ihsan ibu
Oleh Hamzah Osman; bhnews@bharian.com.my 2011/01/19

LANGKAWI: Dia mahu bekerja bagi meringankan beban ibunya, namun kecacatan muka sejak lahir akibat penyakit Ensephalacelo atau lebihan cecair otak membuatkan Shahrul Nizam Shuib, 31, malu dan hanya berkurung di dalam rumah.

Saya kasihan melihat ibu yang sudah tua terpaksa bekerja bagi menyara hidup keluarga. Saya mahu buat kerja apa saja, asalkan dapat wang dan boleh beli beras untuk sepinggan nasi serta sehelai dua pakaian ala kadar untuk menutup badan.
"Dalam keadaan begini (kecacatan muka) sukar bagi saya untuk keluar rumah, malah belum tentu majikan mahu mengambil saya bekerja," kata pemuda itu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuah, di sini, semalam.


Anak ketujuh daripada sembilan beradik itu berkata, dia hanya bersekolah setakat Tahun Satu sebelum mengambil keputusan berhenti sekolah kerana tidak tahan diejek rakan.

"Sejak sekian lama, hidup kami ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Malah, kami juga tiada pilihan dan terpaksa tinggal di rumah subsidi kerajaan yang dibina di atas tanah orang.

"Walaupun benjol daripada bahagian dahi hingga hidung, ia tidak sakit tetapi menyebabkan muka kelihatan tidak sempurna dan saya malu untuk berdepan orang ramai," katanya yang buta huruf kerana tidak bersekolah.

Ibunya, Isyah Yunus, 63, yang bekerja mengambil upah mengupas kelapa, membuat kuih dan menolong jiran berniaga adalah ibu tunggal selepas kematian suaminya, Shuib Ali kira-kira 17 tahun lalu.

Isyah berkata, dia pernah beberapa kali membawa Shahrul Nizam berjumpa doktor di Hospital Langkawi (HL), di sini sejak lahir bagi mendapatkan nasihat dan rawatan sesuai bagi mengubati penyakit ganjil anaknya itu.

"Pihak hospital ada memaklumkan jika mahu melakukan pembedahan ke atas Shahrul (Nizam), dia terpaksa menanggung risiko tinggi kerana ada kaitan dengan lelehan cecair otak yang membentuk benjolan sebesar penumbuk itu.

"Sejak itu, kami tidak pernah berfikir untuk buat pembedahan kerana mahu makan anak beranak pun susah, apa lagi untuk cakap mengenai pembedahan yang menelan belanja tinggi," katanya sambil menahan sebak.

Katanya, dengan pendapatan tidak menentu, dia tidak mampu mengumpul wang untuk membolehkan Shahrul Nizam dibedah, malah kudratnya kian berkurangan untuk terus bekerja bagi menampung belanja harian.

"Saya redha dengan apa yang berlaku, tetapi berharap ada pihak sudi membantu membiayai rawatan anak saya supaya dia tidak malu untuk keluar rumah dan bekerja bagi menyara hidupnya selepas ketiadaan saya kelak," katanya.


http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Lelakicacatmalubekerja/Article

No comments: