UZUR... Rumah anak-Anak Yatim Hawa Kinta perlu bantuan. |
Metro: Oleh MUHAMMAD SAUFI HASSAN
IPOH: “Saya dan adik gembira di sini sejak 11 tahun lalu biarpun kemudahannya daif dan asrama tempat tinggal kurang selesa. Malah, hubungan semua penghuni di sini sangat rapat dan saya anggap kami seperti sebuah keluarga besar.
“Jika ada yang mengalami kesusahan, semua penghuni lain membantu sedaya upaya. Semua aktiviti seperti memasak dan membasuh pakaian juga dilakukan secara gotong-royong,” kata Nor Suhaila Mohd Sharif, 17, seorang daripada 23 penghuni Rumah Anak-Anak Yatim Hawa Kinta, dekat sini.
Tinjauan Metro Ahad mendapati, sebuah rumah papan lama yang usang dijadikan tempat tinggal penghuni yang berusia tujuh hingga 19 tahun dan lebih menyedihkan, kontena yang diubahsuai dijadikan pejabat, pusat sumber serta surau di rumah anak yatim terletak dalam kawasan seluas kira-kira 0.2 hektar.
Namun segala kekurangan itu tampak tidak menjejaskan moral penghuni yang kelihatan ceria kerana bagi mereka, memiliki penjaga yang sudi memelihara mereka dengan ikhlas seperti anak sendiri tanpa mengharapkan balasan serta rakan yang dianggap adik beradik, lebih daripada memadai.
Nor Suhaila, pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Main Convent, di sini, berkata perasaan sedih tetap dirasai setiap kali dia dan adiknya berusia 15 tahun mengenangkan nasib diri dan keluarga kandung, terutama ibu yang hidup susah sejak kematian bapa mereka.
“Saya tahu ibu mengambil keputusan paling sukar dalam hidupnya ketika menghantar saya dan adik ke rumah ini ketika kami berusia enam dan empat tahun kerana kedaifan hidup.
“Justeru, kami bersyukur dan anggap diri bernasib baik dapat tinggal di sini kerana ada rakan senasib lain yang terpaksa menjalani kehidupan penuh ranjau disebabkan tiada tempat tinggal dan menumpang kasih,” katanya.
Beliau berkata, dia berhasrat mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal dihadapi tahun ini dan melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi demi membela nasib diri dan adik.
Apapun, surat diterima daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) kira-kira tiga bulan lalu membawa khabar gembira buat 23 penghuni rumah berkenaan apabila PKNP berhasrat menyediakan tanah untuk pembinaan asrama baru.
Pengetua Rumah Anak-Anak Yatim Hawa Kinta, Abdul Wahadi Abdul Wahab berkata, hasrat PKNP menyediakan tanah untuk pembinaan asrama baru itu memberi sinar kebahagiaan baru buat penghuni rumah terbabit.
“Kami menyambut baik hasrat PKNP biarpun tiada hitam putih mengenai perkara itu kerana segala-galanya masih di peringkat awal perbincangan.
“Harapan kami bahawa segala-galanya berjalan lancar dan setelah ada hitam putih baru kami akan melaksanakan tabung dana untuk membiayai kos pembinaan asrama itu yang terletak bersebelahan asrama sedia ada,” katanya kepada Metro Ahad ketika dihubungi di sini, semalam.
Abdul Wahadi berkata, kos pembiayaan rumah anak yatim itu bergantung kepada pemberian derma individu mahupun badan korporat lain yang sudi menghulurkan bantuan kewangan, termasuk agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk meringankan beban.
Beliau berkata, jika dipersetujui semua pihak terbabit, beliau berharap pembinaan asrama baru dimulakan tahun ini juga untuk memberi keselesaan kepada penghuninya dan tidak perlu menjalankan aktiviti di dalam kontena yang jelas tidak selesa.
p/s: ada dua persoalan di sini:
- Adakah rumah anak yatim ini berdaftar di bawah Akta JKM yang mewajibkan rumah anak yatim mempunyai kelulusan sebagai pusat jagaan atau rumah kebajikan.
- Adakah kanak-kanak (yang dikatakan anak yatim) tersebut benar-benar yatim/yatim piatu.
- Ramai mereka yang tidak bertanggungjawab, mengambil kesempatan dengan kurangnya penguatkuasaan yang dijalankan oleh agensi yang berwajib. Mereka mewujudkankan rumah anak yatim bukan di atas tanggungjawab tetapi untuk mereka mendapat 'duit mudah' dari dermawan yang tidak tahu atau tidak mahu ambil tahu kepada siapa mereka menderma atau untuk apa mereka menderma (janji derma-tanggungjawab selesai), tetapi sememangnya tidak selesai, mungkin derma mereka terpesong ketempat/tujuan lain. Mereka yang diluar sana mungkin akan menyatakan "Mana Mungkin?" 'Kan yang menjalankan program tu haji/ustaz/lebai atau sesiapa lagi yang merujuk kepada 'orang soleh' (mungkin ada yang benar-benar jujur-tetapi tidak ramai). Tetapi mereka yang melibatkan diri dalam program kebajikan sejak bertahun-tahun memang memahami siapa yang benar-benar jujur, ikhlas, bertanggungjawab dalam menjalankan rumah kebajikan/rumah anak yatim. Tetapi saluran untuk pengaduan itu pun tidak telus, lebih baik berdiam diri sahaja dan buat kerja sendiri.....
- Rata-rata penghuni rumah anak yatim hari ini bukanlah lagi anak yatim, ada antaranya anak orang miskin, anak orang susah (itu boleh diterima akal sebab mereka adalah tergolong dalam yatim harta (harap istilah itu tepat), mereka mungkin layak menghuni rumah anak yatim (Kalau tujuan dan nama rumah kebajikan tersebut dinyatakan dengan jelas "Rumah Anak Yatim dan Miskin". Tetapi ada antaranya yang mengambil anak-anak orang kaya (ada antaranya yang datang ambil anak dengan kereta lamborghini eunos, mereka merupakan anak orang kaya yang ibubapa mereka mempunyai masalah dalam rumah tangga dan meletakkan anak mereka di rumah anak yatim (mungkin untuk sementara waktu) atau sehingga dewasa. Pengurusan rumah anak yatim mengambil mereka dengan tujuan atau kenyataan mereka ini orang kaya senang nak membayar kos anak mereka di rumah anak yatim (yang nyata pengurusan rumah anak yatim memandang/mengambil anak orang kaya tetapi pada masa yang sama menafikan hak anak yatim /anak orang miskin yang sebenar.
No comments:
Post a Comment