Dia tidak mempunyai jurulatih, penaja dan bekerja lima hari seminggu sebagai seorang kerani di sebuah sekolah tetapi hakikat itu tidak pernah menghalang pelari maraton Jepun, Yuki Kawauchi (gambar) daripada menyertai Kejohanan Olahraga Dunia di Moscow.
Dilabel sebagai ‘pelari terhandal seusianya dalam sejarah’, Kawauchi menyertai pertandingan pada hampir setiap hujung minggu dan dia akan memastikan dapat pulang untuk memulakan kerjanya seperti biasa setiap Isnin.
Apa yang dilakukannya itu melonjakkan imejnya selaku wira yang gilakan maraton di Jepun.
“Saya hanya mahu membuktikan bahawa anda boleh bersaing di peringkat dunia walaupun anda perlu bekerja seperti saya,” katanya.
“Saya hanya mahu membuktikan bahawa anda boleh bersaing di peringkat dunia walaupun anda perlu bekerja seperti saya,” katanya.
Cerita mengenai kejayaan Kawauchi pantas mengangkat semangat rakyat Jepun lain untuk turut sama berlari terutama selepas tragedi tsunami yang berlaku pada 2011 dan mereka kini sedar bahawa tahap kecergasan adalah penting untuk menyelamatkan diri andai insiden sama berulang pada masa depan.
“Saya akan berlari dengan sepenuh hati dan setiap kali beraksi saya akan memastikan diri saya berada di dalam kelompok enam teratas,” kata Kawauchi.
Sasarannya itu mungkin kedengaran agak biasa tetapi Jepun sudah kehilangan pelari maraton bertaraf dunia sejak Tsuyoshi Ogata memenangi gangsa pada Kejohanan Olahraga Dunia 2005. Mujur atlet wanita negara itu masih ramai dan Naoko Takahashi serta Mizuki Noguchi menang emas Olimpik 2000 dan 2004 serta lima pingat lain pada peringkat dunia sejak 2001.
Walaupun mempunyai masa terhad selepas dibahagikan dengan tugasnya di sebuah sekolah di Saitama, Kawauchi sudah menyertai 22 acara jarak jauh sepanjang tahun ini - jumlah yang jauh lebih besar berbanding yang disertai atlet elit lain.
Kejohanan itu termasuklah enam maraton, 10 separuh maraton serta satu kejohanan 50 kilometer - acara “ultramarathon” yang dilangsungkan pada Jun lalu tetapi dia gagal menamatkan perlumbaan selepas pengsan akibat cuaca panas.
Dia menamatkan saingan di tangga ke-18 pada Kejohanan Olahraga Dunia 2011 dan gagal layak ke Olimpik London tahun lalu. Tetapi pada Mac lalu, dia mencatat masa terbaik peribadi, 2:08:14 ketika menduduki tangga keempat Kejohanan Maraton Seoul.
Kawauchi yang dikatakan menghabiskan suku daripada gajinya untuk menyertai perlumbaan, menang 10 acara sejak 2009.
“Dia seorang model untuk kami walaupun tidak ramai yang mampu menyertai banyak kejohanan sepertinya,” kata bekas pelari kebangsaan, Yuko Manabe, 34, yang kini melatih dan mengetuai 12 atlet separuh masa termasuk pekerja pejabat dan suri rumah untuk menyertai acara popular, Larian Istana Imperial Tokyo yang diadakan setiap Jumaat.
Jarak sejauh lima kilometer yang mengelilingi tembok istana itu dijadikan laluan untuk acara berkenaan dan mendapat sambutan cukup hangat daripada warga Tokyo.
“Imej sebagai seorang atlet ada di dalam diri Kawauchi yang mengetuai peserta separuh masa dan dia adalah wakil pertama daripada kalangan bukan atlet profesional yang beraksi di peringkat dunia,” kata Jiro Hashimoto yang menerbitkan majalah bulanan “Runners” sejak 1976.
Pasukan Jepun yang akan beraksi di Kejohanan Olahraga Dunia di Moscow disertai lima atlet lelaki dan tiga wanita tetapi Kawauchi akan mewakili pasukan korporat - kelompok atlet separuh profesional yang dibayar oleh syarikat yang mahu mempopularkan acara berkenaan di Jepun.
No comments:
Post a Comment