Latar Belakang PDK Selayang

SEJARAH PENUBUHAN:

PDK Selayang (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Selayang) telah ditubuhkan pada 1hb Sept 1991, oleh sekumpulan ibubapa kepada kanak-kanak kurang upaya (pada masa tersebut dipanggil sebagai kanak-kanak istimewa) yang mana anak-anak mereka telah dinafikan hak untuk menerima pembelajaran wajib dari aliran perdana sekolah.

Pada 29 Oktober 2017, Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Selayang (Pertubuhan PDK Selayang) telah didaftarkan sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (Non-Gorvermental Asoociation-NGO) dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia Cawangan Selangor.

Bermula dengan 15 orang kanak-kanak kurang upaya kelas diadakan sekali seminggu pada setiap hari Sabtu dari jam 8:30 pagi hingga 1:00 tengahari, dengan dilatih oleh seorang Petugas PDK (panggilan Cikgu PDK pada masa tersebut) iaitu Puan Noraini Othman.

Hari ini PDK Selayang telah berkembang pesat dengan jumlah pelatih OKU PDK seramai 84 orang melalui beberapa program iaitu Kelas Harian EIP, Kelas Harian LPV, Kelas Harian Pemulihan Perubatan (Pemulihan Anggota, Pemulihan Pertuturan dan Pemulihan Carakerja), Lawatan ke Rumah dan Program Rumah Kelompok (lelaki).

Kumpulan Sasar Utama:
OKU (Orang Kurang Upaya)

Kumpulan Sasar Tambahan:
Anak-Anak Yatim, Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik, Ibu Tunggal/Ibu Tinggal, Warga Emas dan Keluarga Miskin (dari lingkungan kumpulan sasar utama)

Kelas Harian EIP:
5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 8:30am-12:30pm.

Kelas Harian LPV (Latihan Pemulihan Vokasional):
5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 9:00am- 4:00pm.

Kelas harian Pemulihan Perubatan pula dijalankan seperti berikut:

Pemulihan Anggota:
3 hari/minggu; Isnin, Rabu danJumaat; 8:30-11:30am; untuk OKU dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah.

Sabtu & Ahad pula dikhaskan kepada OKU yang keluarganya mampu bayar penuh kos pakar (OKU dari keluarga kaya).

Pemulihan Pertuturan:
2 hari/minggu, Rabu dan Jumaat 8:30am- 12:00pm; untuk OKU dari keluarga berpendapan rendah dan miskin dan hari 2 hari dalam seminggu dikhaskan untuk OKU dari keluarga kaya yang mampu membayar kos pakar.

Pemulihan Carakerja:
3 hari/minggu; Isnin, Rabu dan Jumaat; 8:30-11:30am; untuk pelatih kanak-kanak; 2:30-4:00pm untuk pelatih remaja PDK.

Program Lawatan ke Rumah:
2 kali/minggu; Selasa (2:00-4:00 petang) dan Sabtu (9:30am-12:30pm). Berdasarkan keperluan dan persetujuan dari ibubapa/penjaga untuk kehadiran Petugas PDK di kediaman mereka.

Program Rumah Kelompok (Lelaki):
Menempatkan seramai 4 OKU yang telah bekerja. (telah ditamatkan pada Januari 2015)

Pengurusan:
PDK Selayang yang ditadbir-urus oleh Jawatankuasa Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Selayang yang mana barisan Jawatankuasa terdiri dari ibubapa/penjaga OKU, Masyarakat Tempatan dan seorang OKU

Kakitangan:
Seramai 12 kakitangan berkhidmat di PDK Selayang yang diketuai oleh Penyelia PDK iaitu Puan Noraini Othman, (sila lihat
side menu).


Sunday, October 23, 2011

Niners berbasikal malam di Negeri Sembilan



SEJAK dari tadi, Yaakob Abd. Latid leka membelek-belek basikal gunung jenis Exit Way miliknya. Matanya tajam memerhatikan setiap inci basikal bermula daripada bahagian tayar, lampu hadapan, lampu brek dan pedal brek. Semuanya perlu dipastikan berkeadaan baik dan sempurna.

Selepas berpuas hati, lelaki berusia 32 tahun itu menyorongkan basikal itu melepasi pagar rumahnya di Taman Panchur Jaya, Seremban, Negeri Sembilan.

Dia mula berkayuh menuju ke jalan besar seterusnya memasuki beberapa laluan utama menuju ke arah pusat bandar.

Malam itu, dia sudah berjanji untuk bertemu dengan ahli-ahli Niners (N9 Radio Amatuer Team) di sekitar Taman Tasik Seremban.

Kelibat Yaakob yang lengkap berpakaian seperti seorang pelumba profesional lengkap dengan sut, kasut, sarung tangan dan topi keledar itu nyata menarik perhatian pengguna jalan raya yang lalu lalang.

Bagaimanapun penolong pegawai perubatan di Hospital Tuanku Jaafar itu tidak ambil pusing. Dia tetap fokus dengan kayuhannya sejauh lebih 10 kilometer (km) itu.

Beberapa ahli Niners yang tiba lebih awal menyambut kehadirannya. Masing-masing kelihatan sibuk membuat persediaan awal sebelum memulakan aktiviti berbasikal pada waktu malam yang semakin popular di daerah itu.

Kedamaian malam

Mengikut perancangan, mereka akan berbasikal di sekitar kawasan pusat bandar terlebih dahulu sebelum memasuki beberapa lokasi lain seperti Ampangan, Senawang dan Rasah sebelum berpatah semula ke tempat permulaan membabitkan jarak sehingga 40km.

Yaakob berkata, dia gembira dengan hobi yang baru diceburinya kira-kira dua bulan lalu itu biarpun terpaksa berhabis hampir RM2,000 untuk membeli basikal dan aksesori yang berkaitan.



AKTIVITI berbasikal yang dipelopori Niners sedikit sebanyak menghidupkan
suasana malam di sekitar bandar Seremban.


“Apa yang menariknya, berbasikal pada waktu malam ini sudah tentunya keheningan dan kedamaian yang diperoleh kerana jalan raya tidak terlalu sesak.

“Cuaca sejuk pada waktu malam membuatkan kita sentiasa berasa selesa dan tidak penat,” katanya yang masih bujang.

Biarpun agak terseksa di peringkat awal katanya, ia boleh diibaratkan alah bisa tegal biasa.
“Saya akui dulu stamina kurang, berkayuh sekejap sahaja badan sudah terasa penat. Setiap kali pulang ke rumah pasti seluruh badan berasa sakit-sakit.

“Kini, boleh dikatakan hampir setiap hari saya berkayuh sama ada bersama Niners atau secara bersendirian,” ujarnya.

Ditubuhkan sejak awal tahun lalu, Niners kini dianggotai 16 ahli pelbagai peringkat usia yang sebahagian besarnya merupakan peminat radio amatur dan pacuan empat roda (4WD).

Pengasas kumpulan itu, Izfanizal Iskandar berkata, pada mulanya, aktiviti itu diadakan secara suka-suka sebelum mula mendapat perhatian dalam kalangan ahlinya yang lain.

Ujarnya, melalui aktiviti tersebut ahlinya bukan sahaja dapat menyihatkan tubuh badan malah, dapat bertemu dengan rakan-rakan dan menambah kenalan baharu dalam kalangan peminat sukan itu.

Pelbagai lokasi

Kongsi Izfanizal lagi, kumpulannya berkayuh antara dua hingga tiga jam tiga kali seminggu membabitkan perjalanan antara 30 hingga 50km.

“Selain di sekitar Seremban, kami juga berkayuh di daerah-daerah lain di negeri ini termasuk di sekitar Putrajaya. Setiap lokasi mempunyai cabaran dan laluan yang berbeza-beza. Ini dapat mengelakkan ahli berasa bosan berkayuh di laluan yang sama,” katanya.

Menurutnya, aktiviti tersebut bukan sahaja dapat mengeluarkan peluh, malah merapatkan lagi hubungan sesama rakan dalam kumpulan tersebut, di samping melatih mereka berdisiplin.

“Apabila menggunakan jalan raya atau jalan utama, kami tetap supaya mematuhi peraturan jalan raya seperti pengguna yang lain.

“Di samping itu, kami juga mensyaratkan setiap penunggang dan basikal dilengkapi ciri-ciri keselamatan bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya sambil memberitahu ahlinya tidak pernah lagi terlibat dengan kemalangan.



FAKTOR masa dan kesibukan tugas tidak menghalang ahli-ahli Niners untuk
 bertemu dan melakukan aktiviti berbasikal tiga kali seminggu.


Selain itu, Izfanizal atau lebih mesra dengan panggilan Izfan memberitahu, kumpulannya sengaja memilih basikal gunung berbanding basikal lumba atau basikal fixie yang juga semakin popular pada hari ini.

“Tidak ramai yang mengetahui, sebelum ini Niners sering bekerjasama dengan pasukan keselamatan dan penyelamat di negeri ini secara tidak langsung melalui bantuan teknikal dan komunikasi.

“Pemilihan basikal gunung pastinya memberikan kelebihan kepada ahli-ahli Niners untuk terlibat sama dalam misi bencana dan kecemasan pada masa hadapan khususnya membabitkan laluan hutan, berbukit dan sebagainya,” jelasnya sambil mengakui aktiviti itu secara tidak langsung menghidupkan lagi bandar Seremban pada sebelah malam.

Jadi terapi minda

Sementara itu, Mohd. Romzie Ahmad, 42, berkata, minat mendalam terhadap aktiviti berbasikal sejak dari remaja mendorongnya menyertai Niners.

Katanya, dia selesa memilih aktiviti itu sebagai salah satu riadah dalam mengekalkan kecergasan dan kesihatannya setiap hari.

“Dulu saya suka joging, bagaimanapun peningkatan usia menyebabkan saya beralih kepada berbasikal yang dilihat lebih santai dan kurang berisiko.

“Keseronokkan aktiviti ini menyebabkan saya turut menyertai pertandingan-pertandingan basikal gunung atau jambori yang diadakan di seluruh negara,” kata bapa kepada empat cahaya mata itu.

Ujarnya, dia pernah berulang alik dari Seremban ke Melaka dan Port Dickson hanya sekadar untuk suka-suka.



SIKAP saling bantu-membantu penting bagi memastikan setiap kayuhan yang dirancang
 berjalan lancar dan sempurna.


Jelas ahli perniagaan itu, aktiviti itu seakan-akan menjadi terapi minda kepadanya untuk menghilangkan segala tekanan dan masalah harian.

“Selain dapat melihat panorama pada waktu malam, saya juga seronok melihat pelbagai ragam manusia yang ditemui.

“Memang diakui setiap aktiviti ada risikonya termasuk berbasikal malam, namun ia dapat dikurangkan jika setiap penunggang bersedia dari segi mental dan fizikal,” jelasnya.

Pengalaman luas yang diperoleh oleh Mohd. Romzie kini digunakan untuk mengajar ahli-ahli Niners mengenai selok-belok basikal daripada aspek teknikal sehinggalah tip kayuhan.

“Berkayuh memang tampak mudah, namun ia perlu disusuli dengan teknik-teknik yang betul seperti pemahaman mengenai penggunaan gear, pernafasan, struktur dan keadaan basikal dan sebagainya,” ujarnya.

Mengenai jenis basikal yang digunakan katanya, pelbagai jenama boleh dilihat mengikut harga serendah RM1,000 sehinggalah mencecah RM18,000 sebuah ke atas.

“Harga basikal atau jenama bukan ukuran kerana semua orang boleh berbasikal mengikut kemampuan masing-masing, asalkan ada minat dan kemahuan,” tambahnya.

No comments: