Mendepani alaf baru, peluang untuk bergelar mahasiswa terbuka luas. Malah, saban tahun jumlah mereka dikeluarkan institusi pengajian tinggi juga semakin ramai, sehingga wujud persaingan sengit mendapatkan pekerjaan setaraf dengan ijazah dan diploma dimiliki.
Namun, dari satu sudut, kita dapati peranan mahasiswa dalam masyarakat hari ini kurang menonjol atau istilah tepatnya lesu dan kalau ada gemanya pun, hanya bersifat sementara mengikut musim tertentu, kemudian hilang.
Malah, tidak keterlaluan ada suara mengatakan mereka pupus idea, tidak konsisten dan mempunyai jati diri yang rapuh, sekali gus dikhuatiri boleh menjejaskan kerancakan hala tuju pembangunan negara. Sejauh mana dakwaan itu benar?
Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Wahid Omar berkata, beliau tidak menafikan apabila melihat senario masa kini, kekentalan semangat jati diri mahasiswa tidak wujud pada semua.
Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Wahid Omar berkata, beliau tidak menafikan apabila melihat senario masa kini, kekentalan semangat jati diri mahasiswa tidak wujud pada semua.
“Hanya sebilangan kecil yang dapat kita saksikan mempunyai jati diri kental, manakala sebilangan besar pula agak rapuh. Kenyataan ini bukan bersikap berat sebelah.
“Jika kita lihat, dalam ratusan mahasiswa hari ini, berapa kerat berani menunjukkan kematangan, berani tampil ke depan dan berani bersuara melahirkan pendapat? Bukankah boleh dibilang dengan jari?,” katanya.
Justeru katanya, pembangunan diri mahasiswa perlu konsisten bagi menjadikan mereka ‘kebal’ berdepan dunia sebenar.
Menurutnya, mempunyai pendirian yang tetap dan cergas boleh menjadi penangkis kepada golongan berkenaan daripada terus diperlekehkan.
Katanya, mahasiswa biarpun masih belajar tidak bermakna mereka hanya perlu menumpukan pada konsep 3K (kuliah, kolej dan katil) semata-mata.
“Bukankah ramai berkata, alam paling mengasyikkan adalah alam remaja dan pengajian? Jadi mengapa mahasiswa tidak mahu menggunakan kesempatan ini untuk meneroka segala peluang di depan mata?
“Percayalah, peluang ini tidak akan datang kali kedua, sebab itu perlu dimanfaatkan. Tapi memanfaatkan peluang berkenaan untuk perkara baik dan positif,” katanya yang kesal apabila ada mahasiswa seolah-olah terkongkong dalam dunia buatan sendiri.
“Memang benar, universiti adalah tempat belajar, tapi mereka kena juga tahu konsep belajar itu sendiri.
“Belajar untuk lulus periksa adalah asas, tapi belajar bergaul dengan orang, belajar berfikir dan sebagainya juga adalah salah satu proses belajar.
“Malah, pelajaran lebih bermakna adalah yang tidak terdapat di dalam buku atau dewan kuliah. Jadi, jangan sempitkan pemikiran belajar di kampus semata-mata mahu mendapatkan ijazah,” katanya.
Mengulas mengenai kecenderungan segelintir mahasiswa yang gemar mengamalkan sikap 3K, beliau mengakui ia sangat merugikan.
Menurutnya, mengamalkan sikap itu bukan saja menjadikan mereka ketinggalan dalam pembinaan kendiri, malah tepu daripada menerima maklumat isu semasa di luar lingkungan kampus.
“Kita tidak menafikan, ada mahasiswa yang sentiasa mengemas kini maklumat untuk diri sendiri. Ini bagus, tapi berapa ramai?
“Yang lainnya masih mengamalkan sikap 3K dan berasakan apa yang berlaku di luar sana tidak penting. Bagi mereka, pencapaian akademik adalah keutamaan.
“Mereka mungkin kurang sedar, industri hari ini sudah berubah. Kelulusan akademik yang baik semata-mata bukan jaminan memperoleh pekerjaan tapi banyak lagi aspek perlu dititikberatkan,” katanya.
Dr Wahid berkata, mahasiswa perlu bangkit dan berubah serta melatih minda supaya tidak terlalu dimomokkan dengan konsep keselesaan.
Menurutnya, pada zaman global, persaingan wujud daripada pelbagai segi dan menjadi ‘peperangan’ sengit kepada mahasiswa.
“Globalisasi bermakna dunia tanpa sempadan. Setiap orang berdepan dan ada cabaran masing-masing.
“Bagi mahasiswa, mereka antara kelompok paling getir kerana selepas pengajian, sudah tentu mahukan pekerjaan yang kini turut diintai ribuan mahasiswa lain.
“Sebab itu perlukan strategi betul untuk berdepan ‘peperangan’ itu dan satu caranya ialah membina kemahiran diri dengan mekanisme tertentu di menara gading,” katanya.
Mengulas sama ada ‘kelesuan’ mahasiswa hari ini sama seperti dulu, beliau menggariskan beberapa perbezaan.
“Antaranya, mahasiswa dulu kebanyakannya agresif dalam membina kelangsungan jati diri sebab tahu hanya yang berusaha keras saja akan berjaya.
“Kebanyakan mereka juga datang daripada keluarga susah. Universiti adalah tempat terbaik mengubah masa depan diri dan keluarga.
“Mahasiswa hari ini semuanya tersedia. Ada pinjaman, ada banyak pilihan institusi dan sebagainya. Mereka jadi malas berusaha, hanya tahu menadah dan sentiasa mahu disuap,” katanya mengakui sikap itu dikhuatiri bakal menjadikan mahasiswa golongan manja.
“Saya akui bukan semua, tapi kalau kita lihat ada mahasiswa yang tidak pandai berdikari. Semuanya perlu dipimpin, diajar dari awal hingga akhir.
“Budaya ini tidak bagus kerana mereka kena aktif, berani dan berpandangan jauh. Ini zaman globalisasi. Serba-serbi kena pantas. Yang malas dan banyak alasan akan ketinggalan,” soalnya.
Beliau tetap optimis anjakan paradigma boleh dilakukan andai kata mahasiswa mahu berubah.
“Syaratnya perubahan mesti datang daripada diri sendiri, bukan orang lain. Perubahan (dari diri sendiri) lebih nikmat dan berkekalan. Malangnya, berapa ramai yang sedar dan berapa ramai pula yang masih terleka?” soalnya.
No comments:
Post a Comment