KOTA Damsyik di Syria sudah berusia lebih 11,000 tahun, angka yang membolehkannya bergelar sebagai bandar paling tua di dunia. Damsyik merupakan bandar terbaharu di Asia Barat yang menyaksikan kebangkitan rakyat menentang status quo pemerintah.
Sebelum ini, gelombang rakyat telah berjaya menjatuhkan kepimpinan Presiden Zin Al-Abidin di Tunisia, Presiden Hosni Mubarak di Mesir dan Muammar Gaddafi di Libya.
Kini giliran Presiden Bashar Al-Assad merenung nasibnya sebagai pemerintah negara bersejarah itu.
Di Malaysia, umat Islam negara ini mengenali Damsyik sebagai pusat perdagangan yang telah membawa Nabi Muhammad SAW berkelana ke sana pada usia 12 tahun lagi.
Pada masa itu, Syria dikenali sebagai negeri Syams dalam kalangan orang Arab. Jarak antara tempat tinggal Rasulullah di Mekah dan Damsyik adalah kira-kira 2,500 kilometer.
Pakar sejarah, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam, berkata Syria yang mempunyai penduduk seramai 20 juta orang sinonim dengan perkembangan agama Islam.
"Basra, sebuah pekan lama di selatan Damsyik merupakan lokasi Rasulullah berdagang bersama bapa saudara baginda, Abu Talib.
"Pada waktu itu, baginda masih kecil iaitu hanya berusia 12 tahun," cerita Ramlah. Semasa di Basra seorang ahli kitab bernama Buhaira telah mengenal pasti tanda kenabian Rasulullah seperti yang terdapat pada tubuh baginda.
Empat mimbar
Berbicara mengenai Damsyik, Ramlah memberitahu, bandar itu menempatkan makam keluarga dan sahabat Nabi Muhammad. Ia juga menjadi lokasi tumpuan era Perang Salib di samping tempat kemunculan pemimpin Islam yang terkenal.
"Makam pahlawan Islam, Salahuddin Al-Ayubi yang membebaskan Baitulmuqaddis semasa Perang Salib terletak di Damsyik," katanya sambil menambah, sejarah Nabi Yahya dan Nabi Sulaiman berlaku di Syria.
Bandar Damsyik juga sangat dekat dengan Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Daud Che Ngah. Ujarnya, Souq al-Hamidiyya atau lebih dikenali Pasar Hamidiyya menjadi lokasi pilihan bagi mereka yang gemar membeli-belah.
"Pasar tertutup sepanjang 400 meter itu merupakan pasar terbesar di Syria. Barangan yang dijual sangat murah, daripada barangan cenderahati, pakaian, barangan dapur hinggalah makanan. Ramai juga yang datang ke Pasar Hamidiyya untuk mencuci mata," kata Daud sambil ketawa.
Terletak bersebelahan pasar tersebut ialah Masjid Umayyah iaitu masjid tertua dan terbesar di kota Damsyik.
"Masjid ini mempunyai kronologi sejarah yang panjang. Pada awal dibina, ia merupakan sebuah kuil tetapi dijadikan gereja sewaktu pemerintahan Empayar Rom. Sewaktu kerajaan Uthmaniah berkuasa, gereja itu diubahsuai menjadi masjid.
"Apa yang uniknya, di dalam masjid itu terdapat empat mimbar yang menggambarkan empat mazhab yang diamalkan di Damsyik iaitu Syafie, Hambali, Maliki dan Hanafi," katanya.
Di tengah-tengah dewan masjid itu terdapat makam Nabi Yahya, manakala di luar masjid berhampiran dataran ditempatkan makam Husin Bin Ali, cucu kesayangan Nabi Muhammad. Husin adalah anak hasil perkongsian hidup antara Ali dan Fatimah, anak perempuan Rasulullah.
Gua
Terletak bersebelahan dengan masjid itu pula ialah makam seorang panglima tentera Islam yang tersohor pada era Perang Salib, Salahuddin Al-Ayubi.
Salahuddin telah membebaskan Baitulmuqaddis dan Masjid Al-Aqsa daripada genggaman tentera Salib pada tahun 1187.
Tentera Islam kemudian membersihkan masjid yang telah ditukarkan kepada kandang kuda oleh tentera Salib dan mengembalikan maruah agama suci itu.
Pada tarikh itu jugalah laungan azan kembali berkumandang dari menara Masjid Al-Aqsa.
Berdekatan Masjid Umayyah tadi terdapat sebuah tapak perkuburan, Bab As Saghir. Di situ bersemadinya beberapa insan yang rapat dengan Rasulullah termasuk isteri baginda, Ummu Habibah dan Ummu Salamah selain sahabat baginda, Bilal Bin Rabah.
Di situ juga terdapat makam Muawiyyah Abu Sufian, Ibnu Makhtum, Abu Darda dan cucu Ali Abi Talib, iaitu Zainab dan Rugaiyah yang sering menjadi tumpuan kaum Syiah. Tokoh terkenal lain ialah Khalifah Umayyah, Abdul Malik Marwan dan anak beliau, Walid Abdul Malik.
Daud menambah, kisah Ashabul Kahfi seperti yang diceritakan dalam surah al-Kahfi didakwa berlaku di sebuah gua di Damsyik. Ia mengisahkan beberapa orang pemuda yang tertidur di dalam sebuah gua dan cuma bangun 309 tahun kemudian.
"Makam Habil iaitu anak Nabi Adam AS yang dibunuh oleh saudaranya Qabil yang merupakan peristiwa pembunuhan pertama di dunia juga dikatakan terletak di pergunungan Qalamun yang terletak 45 kilometer dari Utara Kota Damsyik ," ujarnya.
Daud yang pernah melawat Syria pada tahun 2007 dan 2009 berkata, beliau tidak dapat melupakan pengalaman melihat banyak kereta nasional negara, Proton Iswara bergerak di jalan raya di Damsyik.
"Mereka mengatakan kereta buatan Malaysia tahan lama dan berkuasa tinggi," katanya.
Ceritanya lagi, ladang zaitun yang luas merupakan pemandangan biasa di Damsyik.
"Cuma yang peliknya, walaupun negara ini dikelilingi oleh laut, penduduknya jarang makan ikan. Mereka lebih suka makanan berasaskan ayam, kambing dan lembu," ujarnya.
No comments:
Post a Comment