SEUSAI bersahur pada Rabu lalu, penulis singgah seketika di kawasan kompleks beli-belah Kota Raya di tengah ibu kota. Kunjungan penulis bukan bertujuan untuk bersuka ria. Sebaliknya, ingin melihat sejauh mana jujurnya kata-kata seorang gelandangan yang memberitahu lokasi tidurnya terletak di pintu sebuah tandas.
Mata penulis kemudiannya melilau pada sudut-sudut tertentu di sekitar pusat beli-belah tersebut. Gelandangan-gelandangan dilihat tidur bergelimpangan di atas tanah dan berbumbungkan langit.
Tiada tilam empuk dan bantal. Mereka hanya menjadikan beg yang barangkali terisi pakaian sebagai bantal untuk mengalas kepala. Para gelandangan itu juga tidak kisah dengan debu-debu yang berterbangan yang memungkinkan mereka terkena jangkitan penyakit.
Bagaimanakah dengan perasaan malu? Tidakkah mereka malu kepada orang ramai yang lalu lalang di kawasan sekitar?
Ya, memang benar. Seperti pengakuan lelaki itu pada hari pertama kami bertemu, ‘rumahnya’ sememangnya di koridor tandas yang terletak di kawasan parkir berhadapan bangunan Cahaya Suria dan berhampiran Puduraya.
Emosi sayu mula menyapa tatkala melihat dia yang hanya mahu disebut sebagai Adnan, masih memakai baju yang sama ketika kami mula-mula bertemu. Dia tidur berdengkur dan jelas dia nampak betul-betul letih.
Melihat keadaan tersebut, pelbagai persoalan timbul di fikiran. Adakah Adnan sudah makan? Adakah dia mendapat rawatan di klinik kala ditimpa sakit? Bilakah kali terakhir dia tersenyum dan ketawa?
Dia juga hanya menggunakan alas tidur yang diberikan oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin semasa Program Pemberian Makanan Percuma Kepada Gelandangan Ibu Kota Sempena Ramadan oleh Big Belly Brothers & Fairies Food anjuran Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Wangsa Maju) baru-baru ini.
Kenderaan yang bertali arus ditambah dengan kicauan burung gagak tanpa henti pada Subuh yang bakal berlabuh itu, sedikitpun tidak mengganggu lena Adnan.
Lelaki separuh umur itu terus memeluk sebuah beg galas yang dijadikan bantal peluknya. Ada ketikanya, kedengaran dia terbatuk-batuk kecil.
Hiruk-pikuk kenderaan yang semakin menguasai ibu kota membuatkan penulis meninggalkan lokasi itu dengan perasaan yang pastinya sukar untuk dihuraikan.
Masih terngiang-ngiang kata-kata Adnan semasa Program Pemberian Makanan Percuma Kepada Gelandangan Ibu Kota Sempena Ramadan baru-baru ini.
“Ini kali kedua saya datang ke Kuala Lumpur kerana ada krisis famili dan anak-anak. Dulu saya bekerja kini tak lagi.
“Saya makan apa yang orang lain makan, saya tinggal di tepi tandas di sana, mungkin awak tak biasakan, tapi nak buat macam mana, ini sudah suratan,” katanya yang pernah menjawat jawatan penting dalam pentadbiran sebuah negeri di utara Semenanjung.
Persiapan Aidilfitri
Adnan ditanya bagaimanakah persiapan hari rayanya? Jawabnya dengan nada penuh kesedihan:
“Ada rasa nak balik kampung, tapi rumah tu mesti dah kosong, mereka biarkan saya. Namun, jauh di sudut hati saya berharap pada hari yang mulia ini mereka akan mengingati saya.”
Kisah kebanyakan gelandangan semuanya tentang kecelaruan dan kesedihan. Begitu juga dengan kisah seorang lelaki yang hanya mahu dikebali sebagai Ismail, yang berumur dalam lingkungan umur 40-an. Bekas anggota tentera itu juga tidak menyangka takdir hidupnya sebegitu rupa ketika menghampiri usia emas.
“Saya tidur di sebelah dia (Adnan), saya makan ikut orang, saya tak kerja sebab saya ada masalah kesihatan,” akuinya.
Ismail berkata, dia rindukan keempat-empat orang anaknya. Namun secara tiba-tiba lelaki itu membentak sambil berkata: “Saya beri mereka belajar tinggi-tinggi, ini yang mereka balas pada saya.”
Ditanya tentang Aidilfitri, Ismail berkata, Aidilfitri sudah tidak ada dalam kamus hidupnya sejak sekian lama.
“Kami tidak tahu hendak ke mana?” katanya menoktahkan perbualan.
Sementara itu, seorang lagi gelandangan yang dikenali sebagai Salman, 40-an, lebih banyak mendiamkan diri. Pada asalnya, dia enggan diwawancara dan terus memasuki baris panjang untuk mengambil makanan yang akan diedar.
Namun, hatinya cair apabila dipujuk. “Saya macam gelandangan lain juga tapi saya tidur bawah pokok, kalau hujan, saya lari berteduh di bawah bangunan, nak bekerja tapi tidak ada orang nak terima,” ringkas jawapannya.
Salman memberitahu, dia enggan terlalu memikirkan tentang hari raya kerana mahu menikmati juadah berpuasa yang lazat pun sukar baginya.
“Saya dah lama tak makan ketupat, rendang dan lemang, mungkin orang macam kami menunggu belas ihsan orang lain seperti hari ini,” katanya yang biasanya akan meraikan Hari Raya Aidilfitri di Masjid Jamek yang berdekatan.
No comments:
Post a Comment