PUTRAJAYA: Penerbangan pertama jemaah  haji Malaysia ke Tanah Suci untuk menunaikan Rukun Islam kelima bagi tahun ini  ialah pada 29 September ini, kata Pengurus Besar Kanan Lembaga Tabung Haji,  Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman. 
Syed Saleh berkata, 450 jemaah haji  itu akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang  melalui penerbangan sewa khas haji iaitu pesawat Malaysia Airlines (MAS) dan  Saudi Airlines pada hari berkenaan iaitu pada waktu pagi dan tengah hari.  
      
Mereka adalah sebahagian daripada 28,000 jemaah haji Malaysia yang  dibenarkan mengikut kuota yang ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi pada musim  haji tahun ini.  
      
Bercakap kepada pemberita di sini malam tadi selepas menghadiri pelancaran  Kursus Perdana Haji peringkat Wilayah Persekutuan oleh Timbalan Menteri di  Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim, beliau berkata, jemaah haji  Malaysia ketika ini sedang mengikuti peringkat akhir kursus haji iaitu kursus  perdana di peringkat negeri selepas menghadiri kursus asas dan kursus intensif.  
"Persiapan sudah lengkap. Sekarang cuma tunggu nak berangkat dan surat  untuk memaklumkan jadual penerbangan sudah dikeluarkan secara berperingkat sejak  awal September," katanya. 
Syed Saleh berkata, seramai 800 petugas Tabung  Haji akan bertugas kali ini untuk menjaga kebajikan para jemaah dan mereka akan  berangkat ke sana secara berperingkat bermula Rabu depan.
No comments:
Post a Comment