TUSCALOOSA, Amerika Syarikat (AS) - Rumahnya ranap dan dia pula telantar di hospital tetapi seorang ayah di negeri Alabama, Reginald Eppes menganggap dirinya bertuah selepas anak lelakinya yang berusia 8 tahun terselamat walaupun setelah disedut ke dalam puting beliung.
Kejadian ngeri itu berlaku pada malam Rabu lepas apabila pusaran angin beliung menjulang budak lelaki tersebut, Reginald Jr dari katilnya dan menyedutnya ke dalam kegelapan malam.
"Saya cuba mencapai tangannya tetapi tidak sempat. Dinding rumah kami runtuh seperti kertas dan angin maut itu turut menyedut anak saya," kata Eppes, 35 kepada akhbar Daily News dari sebuah hospital di sini.
Menurutnya, dia segera memeluk anak lelakinya yang berusia 6 tahun, James-Peter manakala isterinya bertindak melindungi anak bongsu mereka yang berusia 4 tahun bagi mengelakkan kedua-duanya turut diragut angin kencang itu.
|
Sebelum dan selepas tornado |
"Kejadian itu bagaikan mimpi ngeri. Saya hanya mampu berdoa agar Tuhan melindungi kami," ujar lelaki tersebut.
Namun, menurutnya, dia kemudian berasa lega dan bersyukur kerana Tuhan telah mengurniakan satu keajaiban kepadanya.
"Sebaik sahaja angin itu hilang, saya melihat kelibat anak lelaki saya berjalan ke arah kami di atas timbunan runtuhan," jelas Eppes
Pemeriksaan lanjut mendapati budak lelaki itu selamat dan cuma mengalami luka kecil pada leher dan kepalanya pula bengkak.
Angka kematian dalam bencana puting beliung yang melanda negeri Alabama pada Rabu lepas mencecah 318 orang setakat ini dan angka tersebut dijangka terus meningkat. - Agensi
No comments:
Post a Comment