Latar Belakang PDK Selayang

SEJARAH PENUBUHAN:

PDK Selayang (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Selayang) telah ditubuhkan pada 1hb Sept 1991, oleh sekumpulan ibubapa kepada kanak-kanak kurang upaya (pada masa tersebut dipanggil sebagai kanak-kanak istimewa) yang mana anak-anak mereka telah dinafikan hak untuk menerima pembelajaran wajib dari aliran perdana sekolah.

Pada 29 Oktober 2017, Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Selayang (Pertubuhan PDK Selayang) telah didaftarkan sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (Non-Gorvermental Asoociation-NGO) dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia Cawangan Selangor.

Bermula dengan 15 orang kanak-kanak kurang upaya kelas diadakan sekali seminggu pada setiap hari Sabtu dari jam 8:30 pagi hingga 1:00 tengahari, dengan dilatih oleh seorang Petugas PDK (panggilan Cikgu PDK pada masa tersebut) iaitu Puan Noraini Othman.

Hari ini PDK Selayang telah berkembang pesat dengan jumlah pelatih OKU PDK seramai 84 orang melalui beberapa program iaitu Kelas Harian EIP, Kelas Harian LPV, Kelas Harian Pemulihan Perubatan (Pemulihan Anggota, Pemulihan Pertuturan dan Pemulihan Carakerja), Lawatan ke Rumah dan Program Rumah Kelompok (lelaki).

Kumpulan Sasar Utama:
OKU (Orang Kurang Upaya)

Kumpulan Sasar Tambahan:
Anak-Anak Yatim, Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik, Ibu Tunggal/Ibu Tinggal, Warga Emas dan Keluarga Miskin (dari lingkungan kumpulan sasar utama)

Kelas Harian EIP:
5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 8:30am-12:30pm.

Kelas Harian LPV (Latihan Pemulihan Vokasional):
5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 9:00am- 4:00pm.

Kelas harian Pemulihan Perubatan pula dijalankan seperti berikut:

Pemulihan Anggota:
3 hari/minggu; Isnin, Rabu danJumaat; 8:30-11:30am; untuk OKU dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah.

Sabtu & Ahad pula dikhaskan kepada OKU yang keluarganya mampu bayar penuh kos pakar (OKU dari keluarga kaya).

Pemulihan Pertuturan:
2 hari/minggu, Rabu dan Jumaat 8:30am- 12:00pm; untuk OKU dari keluarga berpendapan rendah dan miskin dan hari 2 hari dalam seminggu dikhaskan untuk OKU dari keluarga kaya yang mampu membayar kos pakar.

Pemulihan Carakerja:
3 hari/minggu; Isnin, Rabu dan Jumaat; 8:30-11:30am; untuk pelatih kanak-kanak; 2:30-4:00pm untuk pelatih remaja PDK.

Program Lawatan ke Rumah:
2 kali/minggu; Selasa (2:00-4:00 petang) dan Sabtu (9:30am-12:30pm). Berdasarkan keperluan dan persetujuan dari ibubapa/penjaga untuk kehadiran Petugas PDK di kediaman mereka.

Program Rumah Kelompok (Lelaki):
Menempatkan seramai 4 OKU yang telah bekerja. (telah ditamatkan pada Januari 2015)

Pengurusan:
PDK Selayang yang ditadbir-urus oleh Jawatankuasa Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Selayang yang mana barisan Jawatankuasa terdiri dari ibubapa/penjaga OKU, Masyarakat Tempatan dan seorang OKU

Kakitangan:
Seramai 12 kakitangan berkhidmat di PDK Selayang yang diketuai oleh Penyelia PDK iaitu Puan Noraini Othman, (sila lihat
side menu).


Wednesday, November 2, 2011

Borang bantuan RM500 kepada keluarga berpendapatan bawah RM3,0000 akan dikeluar bulan depan

KAJANG – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bakal mengeluarkan borang permohonan pemberian bantuan kewangan RM500 kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah mulai Disember ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Mohd. Shukor berkata, borang tersebut boleh didapati di kesemua cawangan LHDN dan 17 pusat khidmat hasil di semua daerah seluruh negara.

“Kita juga bakal memaparkan borang-borang tersebut secara dalam talian bagi membolehkan pemohon memuat turun dan mungkin juga akan disiarkan dalam akhbar-akhbar tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir merasmikan sambutan Hari Inovasi LHDN 2011 di Akademi Percukaian Malaysia di Bandar Baru Bangi di sini semalam.

Perdana Menteri telah mengumumkan insentif tersebut pada pembentangan Bajet 2012 di Dewan Rakyat pada Oktober lalu.

Insentif tunai berjumlah RM500 kepada isi rumah yang berpendapatan RM3,000 ke bawah itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan membantu menangani kesulitan golongan berpendapatan rendah.

Jelas Mohd. Shukor, pihaknya kini 98 peratus telah bersedia bagi mengendalikan mereka yang layak memohon insentif tersebut.

“Kita sekarang hanya menunggu keputusan akhir daripada Kementerian Kewangan bagi mengemas kini definisi isi rumah yang dijangka siap dalam tempoh dua minggu lagi,” jelasnya.

Ujarnya, pihaknya menjangkakan pembayaran insentif tersebut bakal dilakukan bermula Januari tahun hadapan secara berperingkat-peringkat.

“Bagi kita (LHDN) tempoh selama 14 hari bekerja bagi memproses semua permohonan yang layak,” ujarnya.

Katanya, setiap permohonan yang berjaya bakal dilunaskan oleh Akauntan Negara menerusi bank-bank yang akan dilantik.

Pihaknya turut menjangka seramai tiga juta isi rumah bakal terlibat dengan pemberian insentif tersebut dan maklumat mengenai mereka akan diperoleh menerusi kerjasama sistem pangkalan data e-Kasih dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

No comments: