Latar Belakang PDK Selayang

SEJARAH PENUBUHAN:

PDK Selayang (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Selayang) telah ditubuhkan pada 1hb Sept 1991, oleh sekumpulan ibubapa kepada kanak-kanak kurang upaya (pada masa tersebut dipanggil sebagai kanak-kanak istimewa) yang mana anak-anak mereka telah dinafikan hak untuk menerima pembelajaran wajib dari aliran perdana sekolah.

Pada 29 Oktober 2017, Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Selayang (Pertubuhan PDK Selayang) telah didaftarkan sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (Non-Gorvermental Asoociation-NGO) dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia Cawangan Selangor.

Bermula dengan 15 orang kanak-kanak kurang upaya kelas diadakan sekali seminggu pada setiap hari Sabtu dari jam 8:30 pagi hingga 1:00 tengahari, dengan dilatih oleh seorang Petugas PDK (panggilan Cikgu PDK pada masa tersebut) iaitu Puan Noraini Othman.

Hari ini PDK Selayang telah berkembang pesat dengan jumlah pelatih OKU PDK seramai 84 orang melalui beberapa program iaitu Kelas Harian EIP, Kelas Harian LPV, Kelas Harian Pemulihan Perubatan (Pemulihan Anggota, Pemulihan Pertuturan dan Pemulihan Carakerja), Lawatan ke Rumah dan Program Rumah Kelompok (lelaki).

Kumpulan Sasar Utama:
OKU (Orang Kurang Upaya)

Kumpulan Sasar Tambahan:
Anak-Anak Yatim, Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik, Ibu Tunggal/Ibu Tinggal, Warga Emas dan Keluarga Miskin (dari lingkungan kumpulan sasar utama)

Kelas Harian EIP:
5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 8:30am-12:30pm.

Kelas Harian LPV (Latihan Pemulihan Vokasional):
5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 9:00am- 4:00pm.

Kelas harian Pemulihan Perubatan pula dijalankan seperti berikut:

Pemulihan Anggota:
3 hari/minggu; Isnin, Rabu danJumaat; 8:30-11:30am; untuk OKU dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah.

Sabtu & Ahad pula dikhaskan kepada OKU yang keluarganya mampu bayar penuh kos pakar (OKU dari keluarga kaya).

Pemulihan Pertuturan:
2 hari/minggu, Rabu dan Jumaat 8:30am- 12:00pm; untuk OKU dari keluarga berpendapan rendah dan miskin dan hari 2 hari dalam seminggu dikhaskan untuk OKU dari keluarga kaya yang mampu membayar kos pakar.

Pemulihan Carakerja:
3 hari/minggu; Isnin, Rabu dan Jumaat; 8:30-11:30am; untuk pelatih kanak-kanak; 2:30-4:00pm untuk pelatih remaja PDK.

Program Lawatan ke Rumah:
2 kali/minggu; Selasa (2:00-4:00 petang) dan Sabtu (9:30am-12:30pm). Berdasarkan keperluan dan persetujuan dari ibubapa/penjaga untuk kehadiran Petugas PDK di kediaman mereka.

Program Rumah Kelompok (Lelaki):
Menempatkan seramai 4 OKU yang telah bekerja. (telah ditamatkan pada Januari 2015)

Pengurusan:
PDK Selayang yang ditadbir-urus oleh Jawatankuasa Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Selayang yang mana barisan Jawatankuasa terdiri dari ibubapa/penjaga OKU, Masyarakat Tempatan dan seorang OKU

Kakitangan:
Seramai 12 kakitangan berkhidmat di PDK Selayang yang diketuai oleh Penyelia PDK iaitu Puan Noraini Othman, (sila lihat
side menu).


Thursday, August 26, 2010

Minda Pengarang:

Buta sejarah punca
rakyat gagal fahami
gagasan 1Malaysia


2010/08/26

PENGAKUAN tokoh akademik yang juga sejarawan negara, Tan Sri Prof Dr Khoo Kay Kim, bahawa sistem pendidikan kita terlalu menumpukan pembelajaran sains dan teknologi sehingga pelajar tidak menguasai ilmu kenegaraan, termasuk hidup bersatu dalam negara berbilang kaum wajar diberi perhatian serius. Ketika menghuraikan perkara itu pada Forum Jati Diri anjuran Berita Harian, GAPENA dan Persatuan Sarjana Komunikasi Media Malaysia di Universiti Malaya, kelmarin Dr Kay Kim berkata, kesukaran generasi muda memahami maksud 1Malaysia adalah kesan meminggirkan sejarah dan hal ehwal kemanusiaan dalam sistem pendidikan negara yang juga terlalu berorientasikan peperiksaan.

Akibat kedangkalan mengenai 1Malaysia, akhirnya ia dieksploitasi pihak tertentu yang menyamakannya dengan slogan Malaysian Malaysia sekali gus mahu menghapus hak keistimewaan orang Melayu dan diganti dengan tuntutan kesaksamaan untuk semua kaum. Hakikat ini ternyata menyimpang jauh daripada objektif utama sistem pelajaran yang digariskan dalam Penyata Razak iaitu memperkukuhkan perpaduan kaum yang menjadi asas keutuhan sosiopolitik dan pemangkin kemajuan serta kemakmuran ekonomi negara.

Tanpa menerapkan dua asas jati diri itu sepanjang proses pembelajaran serta pembentukan sahsiah individu, maka nilai murni akan terhakis seterusnya generasi muda buta sejarah negaranya sendiri. Sebaliknya, individualistik kian subur menggantikan semangat kekitaan dan perpaduan antara kaum. Mereka juga tidak kenal siapa pejuang dan pemimpin negara terdahulu, apatah lagi mengambil tahu sejarah nama bandar, nama jalan dan sesuatu tempat bersejarah. Sehingga ke tahap lebih buruk lagi apabila ramai di kalangan kita hari ini kenal jiran tetapi tidak mengetahui nama mereka. Tiadanya unsur sejarah dan kenegaraan juga menyebabkan semangat patriotisme dalam diri rata-rata rakyat negara ini sangat dangkal. Ini boleh dilihat dengan kehambaran suasana menjelang sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos, setiap tahun.

Generasi sekarang berasakan mereka bukan sebahagian daripada perayaan pada tarikh keramat itu dan tiada tuntutan atau keperluan untuk meraikannya. Mengenali sejarah akan membentuk patriotisme iaitu perasaan cinta dan setia kepada negara sehingga pada satu tahap sanggup mengorbankan jiwa raga untuk mempertahankan keselamatan serta kedaulatan negara. Semangat itu turut dikaitkan dengan kesanggupan untuk mempertahankan bahasa, amalan agama, perundangan malah kesetiaan untuk kebaikan bersama. Semua unsur ini ternyata kian lekang daripada jiwa generasi muda menyebabkan mereka terumbang-ambing mencari identiti selepas kehilangan nilai diri serta peradaban bangsa Malaysia.

Oleh itu, untuk mengelak kepincangan masyarakat, perlu ada inisiatif dan komitmen pihak terbabit untuk meneliti semula kandungan silibus mata pelajaran tertentu bermula sejak prasekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi. Apakah erti kemajuan dan pembangunan jika roh dan semangat jati diri rakyatnya luntur atau kontang. Menyuburkan hubungan simbiosis antara kemajuan fizikal yang didokong sains dan teknologi dengan peneguhan sahsiah serta jati diri adalah jalan terbaik dalam proses pembentukan masyarakat seimbang. Tanpa kesedaran semua pihak untuk menerapkan kembali sejarah tanah air dan ilmu kenegaraan dalam sistem pendidikan negara maka nilai, pengajaran serta semangat yang tersemat daripada sesuatu sejarah itu akhirnya lenyap ditelan zaman.

No comments: