Soalan: Saya berumur 15 tahun dan tidak pasti mengenai pantang larang ketika datang haid. Apa yang boleh dan tidak boleh dibuat, selain tidak boleh membaca al-Quran dan solat?

Ina Syaz, 
Shah Alam
Jawapan: Haid ialah keadaan fisiologi tetap dan teratur yang dialami oleh wanita dalam lingkungan umur yang berupaya untuk mengandung. Selain menjadi penanda aras kesihatan wanita, ia juga bertindak sebagai tanda peningkatan tanggungjawab dalam aspek ibadat. Wanita yang mendapati dirinya sudah mula haid, bertanggungjawab untuk melakukan semua ibadat yang diwajibkan ke atas orang yang mukalaf seperti solat, puasa, haji dan sebagainya. 

Jawatankuasa Fatwa kali 1/99 yang bersidang pada 29 April 1999 sebulat suara memutuskan perempuan haid dan nifas menggunakan masjid semata-mata untuk tujuan pembelajaran saja adalah diharuskan kerana ia mempunyai hajat iaitu untuk menuntut ilmu.


Bagaimanapun ketika haid, seorang wanita diharamkan melakukan beberapa perkara, iaitu solat fardu atau sunat, puasa fardu atau sunat, tawaf, persetubuhan, membaca al-Quran, menyentuh dan membawa mushaf al-Quran dan berada di dalam masjid.

Dalam masalah solat, puasa dan tawaf pengharamannya adalah muktamad. Bererti tiada sebab untuk wanita yang didatangi haid melakukannya, dan jika melakukannya dia berdosa.

Dalam larangan bersetubuh, pengharaman khusus hanya untuk melakukan hubungan seksual tetapi dibenarkan suami bergurau senda dengan isteri yang sedang haid. 
Wanita haid juga tidak dibenarkan membaca al-Quran, menyentuh dan membawa mushaf al-Quran. Bagaimanapun, ketika haid wanita masih boleh berwirid, selawat dan ayat al-Quran yang dijadikan zikir seperti al-Ma’thurat. Dalam keadaan tubuh wanita lemah kerana haid, elakkan daripada melakukan perkara melalaikan seperti menonton televisyen, mendengar lagu, melayari internet dan bermain ‘games’ atau membaca buku-buku yang tidak berfaedah. Perbanyakkan zikir dan membaca buku berfaedah. 
Bagi masalah membaca al-Quran, wanita boleh menggantikannya dengan membaca terjemahan dan tafsir. Bagaimanapun dalam keadaan tertentu wanita yang haid dibenarkan membaca al-Quran, iaitu sekiranya dia adalah pelajar tahfiz yang perlu menghafaz dan mengulang hafazan setiap hari. Begitu juga bagi pelajar madrasah atau universiti yang perlu menduduki peperiksaan al-Quran yang kebetulan jatuh ketika dia sedang haid. 

Pelajar juga boleh membaca dan memegang buku agama yang mempunyai ayat al-Quran tetapi tidak dibenarkan menyentuh pada ayat al-Quran itu. Bagi guru agama yang mengajar al-Quran juga dibolehkan membaca al-Quran bagi tujuan mengajar.

Semua pengecualian ini adalah semata-mata kerana keperluan yang mendesak atau darurat, iaitu keperluan menuntut ilmu dan menyampaikan ilmu. Atas sebab yang sama juga sebahagian ulama mengharuskan wanita haid berada di dalam masjid kerana menuntut ilmu. Dengan syarat, wanita ini wajib memastikan darah mereka tidak mencemari masjid dengan memakai tuala wanita yang kemas.

Ini bertepatan dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Ahli Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak (Fatwa) Negeri Selangor dalam persidangannya yang bertarikh 29 April 1999 sudah membincangkan perkara di atas dan keputusannya adalah seperti berikut: “Jawatankuasa Fatwa kali 1/99 yang bersidang pada 29 April 1999 sebulat suara memutuskan perempuan haid dan nifas menggunakan masjid semata-mata untuk tujuan pembelajaran saja adalah diharuskan kerana ia mempunyai hajat iaitu untuk menuntut ilmu.”