Jalur Gemilang : Gah di Kota London |
LONDON – Menakjubkan dan sungguh memukau.Begitu suasana pembukaan Sukan Olimpik 2012 Londom kelmarin yang menampilkan gaya persembahan tersendiri.Majlis perasmian itu berlangsung di Stadium Olimpik London yang boleh memuatkan 80,000 penonton.
Selaku tuan rumah, London mempersembahkan gabungan suasana tradisional dan moden bagi menggambarkan proses transformasi yang dilaluinya dan ia dijadikan sebagai latar belakang untuk upacara pembukaan yang penuh gilang gemilang itu.
Ribuan peserta mengambil bahagian untuk membuat persembahan pada majlis pembukaan itu yang berlangsung selama dua jam.
Dengan bertemakan Isles of Wonder, ia menggambarkan transformasi yang dialami negara berkenaan bermula dari zaman revolusi perindustrian di abad ke-18 sehinggalah ia mencapai arus kemodenan dan perubahan pesat.
Mengakhiri segmen pertama, lima bulatan yang melambangkan simbol Olimpik dinaikkan di tengah-tengah stadium sebelum ketibaan Ratu Elizabeth II pada pukul 9.30 malam waktu London.
Ia disusuli persembahan kesenian moden dengan dua watak terkenal filem James Bond and Mr. Bean muncul untuk mencuri perhatian.
Selepas itu perarakan kontinjen daripada 204 negara yang mengambil bahagian bermula yang didahuli kontinjen Afghanistan.
Kontinjen Malaysia yang terdiri daripada 22 atlet dan pegawai dengan diketuai Ketua Kontinjen, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan pembawa Jalur Gemilang, Pandelela Rinong berarak tepat pada pukul 11.13 malam.
Kontinjen Malaysia memakai baju kebangsaan berwarna kuning dan berjalur hitam yang melambangkan warna ‘Harimau Malaya’ serta bertanjak (untuk peserta lelaki) sementara peserta wanita berbaju kurung dan berselendang.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Olimpik dan Paralimpik London, Sebastian Coe dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran para peserta ke temasya sukan terbesar dunia itu.
“Dalam tempoh dua minggu ini, kami akan menunjukkan bandar raya hebat London. London 2012 akan menyaksikan yang paling terbaik daripada kita.” katanya.
Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Jacques Rogge pula mengucapkan tahniah kepada London yang menjadi perhatian dunia untuk selama dua minggu akan datang.
“Di sinilah lahirnya sukan moden. London menjadi bandar raya pertama menganjurkan Sukan Olimpik moden sebanyak tiga kali selepas tahun 1908 dan 1948,” katanya.
Ratu Elizabeth II kemudiannya merasmikan pembukaan Olimpik London sementara pemenang pingat gangsa acara taekwondo wanita pada Sukan Olimpik Beijing 2008, Sarah Stevenson membaca ikrar bagi pihak atlet.
Selepas dibawa hampir 12,800 km, obor Olimpik akhirnya dibawa memasuki stadium pada pukul 12.35 pagi.
Sekumpulan tujuh orang atlet muda Britain kemudiannya membawa obor di sekeliling stadium dan menyalakan kawah obor Olimpik dan sebaik obor dinyalakan maka bermulalah Sukan Olimpik London 2012.
No comments:
Post a Comment