Sudah pasti, kelibat jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei bakal menjadi tumpuan apabila turun selaku juara bertahan pada kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah USD 350,000 ribu (RM1,059,800 juta) itu.
Kemenangan yang dilakarkan anak jati kelahiran Pulau Pinang itu juga menyaksikan dia berjaya menggenggam gelaran juara buat julung kalinya pada kejohanan tersebut sepanjang kariernya bergelar pemain.
Bagaimanapun, persoalannya kini adakah pemain berusia 29 tahun itu mampu mempertahankan gelaran juara buat dua kali berturut-turut dalam saingan tahun ini.
Berdasarkan undian yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) baru-baru ini, ternyata laluan buat Chong Wei untuk mara ke pentas final sedikit berliku.
Begitupun, siapa pun lawan yang menanti Chong Wei pada Seluruh England kali ini bukanlah satu persoalan yang besar buat pemain itu kerana apa yang penting adalah fokus pemain itu bagi mengharungi setiap perlawanan.
Ia diakui oleh Chong Wei yang lebih senang memikirkan mengenai persiapan serta prestasi dirinya sendiri daripada hilang tumpuan hanya dek kerana terlalu memikirkan mengenai lawan yang perlu dihadapinya nanti.
“Diakui, laluan untuk saya mara ke pentas final dalam saingan Seluruh England kali ini sedikit sukar namun itu tidak akan dijadikan sebagai alasan mengapa saya tidak boleh tampil dengan prestasi terbaik.
“Saya lebih senang memikirkan mengenai persiapan saya sendiri kerana saya tidak mahu tumpuan saya terjejas,” jelas Chong Wei yang tewas ditangan Lin Dan pada aksi final Terbuka Korea Selatan Januari lalu.
Mungkin Chong Wei tidak berdepan halangan sukar pada aksi pusingan pertama apabila dia dijadual turun menentang pemain Jepun, Sho Sasaki tetapi misinya bakal menjadi sukar sekiranya mara ke pusingan kedua.
Ini kerana, dia bakal berdepan pemenang pertemuan antara pemain berpengalaman Indonesia, Sony Dwi Kuncoro ataupun Bao Chunlai dari China yang memang memiliki corak permainan yang tersendiri.
Sekiranya menang, Chong Wei dijadual pula berdepan antara pemain muda Indonesia, Simon Santoso, Joachim Persson dari Jerman ataupun Boonsak Poonsana (Thailand) pada aksi peringkat suku akhir.
Kualiti serta kemampuan Chong Wei bakal diuji sekiranya mara ke peringkat separuh akhir apabila dia dijangka turun menentang lawannya pada aksi final tahun lalu, Tago, Chen Long dari China, Hu Yun (Hong Kong) atau Shon Wan Ho (Korea Selatan).
Andai berjaya melepasi halangan tersebut, Chong Wei hanya tinggal satu langkah sahaja lagi bagi mempertahankan kejuaraan itu.
Di pentas final, tiga pemain China, Lin Dan, Chen Jin dan Wang Zhengming sedia menantinya selain Park Sung Hwan (Korea Selatan) serta jaguh utama Indonesia, Taufik Hidayat.
No comments:
Post a Comment