|
Wee Soo Yen |
BERBANGSA Cina, tetapi berjaya membuat kejutan apabila memperoleh pangkat A dalam subjek Bahasa Arab Komunikasi dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu.
Di atas kecemerlangan itu, anak kelahiran Jelawat, Bachok, Kelantan itu, turut menjadi sebutan apabila terpilih sebagai salah seorang penerima anugerah Maulidur Rasul peringkat kebangsaan Februari lalu. Itu keistimewaan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok, Kelantan, Wee Soo Yen, 16.
Fasih berbahasa Melayu dan Arab, Soo Yen mengakui bukan mudah untuk dia mencapai kejayaan berkenaan kerana perlu berdepan tentangan keluarga dan mengambil masa lama untuk menguasai subjek dipilih itu.
“Pada mulanya keluarga membantah (memilih subjek Bahasa Arab Komunikasi) kerana tidak yakin dengan kemampuan saya. Keluarga terutama ibu bimbang saya tidak mampu menguasai subjek berkenaan.
“Namun, dengan semangat dan kesungguhan, saya berusaha keras selama tiga tahun sebelum dapat menguasai subjek itu, sekali gus mampu bertutur dalam bahasa Arab. Untuk menguasainya saya beri tumpuan khusus kepada subjek berkenaan dan memastikan mendapat pangkat A setiap kali menduduki ujian atau peperiksaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.
Menurut Soo Yen yang aktif dalam Persatuan Bahasa Arab di sekolahnya, keinginannya untuk memilih bahasa Arab didorong pengaruh rakan sebaya sejak dari usia tiga tahun lagi.
|
Menerima Anugerah Maulidur Rasul Kebangsaan 2011 |
“Ketika itu, saya turut mengikuti kelas Fardu Ain dan mempelajari al-Quran. Rakan memberi dorongan supaya saya cuba untuk menguasai bahasa Arab.
“Apabila masuk ke tingkatan satu, saya terus memilih subjek Bahasa Arab Komunikasi sehinggalah berjaya menguasainya. Selain usaha keras, kejayaan diperoleh adalah hasil bantuan dan sokongan daripada keluarga, guru dan rakan sebaya,” katanya.
Anak sulung daripada dua beradik yang bercita-cita menjadi pensyarah itu berkata, anugerah Maulidur Rasul yang diterimanya tidak pernah diimpikannya kerana dia hanya mahu melakukan sesuatu yang mencabar dan luar daripada kebiasaan.
“Ketika diberitahu terpilih untuk menerima anugerah itu, saya memang terkejut. Apapun, anugerah diterima menguatkan lagi semangat saya untuk terus mencipta kejayaan pada masa depan.
“Saya akan terus berusaha melakukan sesuatu perkara yang mencabar, kerana bagi saya perkara yang sukar akan menjadi lebih senang jika kita berusaha bersungguh-sungguh dan tidak jemu untuk menimba ilmu dengan individu yang lebih berpengalaman,” katanya yang memperoleh 9A dalam PMR.
Ditanya mengenai kehidupan seharian, Soo Yen mengakui dia lebih dekat dengan kehidupan orang Melayu.
“Di sekolah saya berkawan dengan pelajar Melayu. Di rumah pula, dengan ibu dan ayah saya bertutur dalam bahasa Melayu.
“Bagaimanapun, saya tidak melupakan bahasa dan budaya asal saya,” katanya.
Bagi ibu Soo Yen, Soo Ah Khem, 46, anak sulungnya mula memilih untuk belajar bahasa Arab ketika memasuki tingkatan satu.
Katanya, Soo Yen memang minat mendalami bahasa Arab walaupun pada awalnya dia kurang yakin dengan kemampuan anaknya itu.
“Saya masih ingat, ketika kami melarangnya mengambil subjek itu, muka anak saya berubah dan prestasinya juga menurun.
“Melihat perubahannya yang mendadak itu, saya dan suami mengambil satu pendekatan untuk memberikan peluang kepada anak kami belajar apa saja bahasa yang diminatinya.
“Apabila dia meyakinkan kami bahawa akan lulus subjek itu, saya tidak lagi membantah,” katanya yang juga kakitangan di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bachok.
Menurutnya, Soo Yen banyak mendapat bimbingan guru selain bahan tambahan dan kamus bahasa Arab yang dibeli untuk rujukan pembelajarannya.
PROFIL
NAMA: Wee Soo Yen
UMUR: 16 tahun
ASAL: Bachok, Kelantan
KELUARGA: Anak sulung daripada dua beradik
PENDIDIKAN: Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok
PENCAPAIAN: Memperoleh 9A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu termasuk subjek Bahasa Arab Komunikasi. Penerima anugerah Maulidur Rasul peringkat kebangsaan Februari lalu.