Latar Belakang PDK Selayang

SEJARAH PENUBUHAN:

PDK Selayang (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Selayang) telah ditubuhkan pada 1hb Sept 1991, oleh sekumpulan ibubapa kepada kanak-kanak kurang upaya (pada masa tersebut dipanggil sebagai kanak-kanak istimewa) yang mana anak-anak mereka telah dinafikan hak untuk menerima pembelajaran wajib dari aliran perdana sekolah.

Pada 29 Oktober 2017, Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Selayang (Pertubuhan PDK Selayang) telah didaftarkan sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (Non-Gorvermental Asoociation-NGO) dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia Cawangan Selangor.

Bermula dengan 15 orang kanak-kanak kurang upaya kelas diadakan sekali seminggu pada setiap hari Sabtu dari jam 8:30 pagi hingga 1:00 tengahari, dengan dilatih oleh seorang Petugas PDK (panggilan Cikgu PDK pada masa tersebut) iaitu Puan Noraini Othman.

Hari ini PDK Selayang telah berkembang pesat dengan jumlah pelatih OKU PDK seramai 84 orang melalui beberapa program iaitu Kelas Harian EIP, Kelas Harian LPV, Kelas Harian Pemulihan Perubatan (Pemulihan Anggota, Pemulihan Pertuturan dan Pemulihan Carakerja), Lawatan ke Rumah dan Program Rumah Kelompok (lelaki).

Kumpulan Sasar Utama:
OKU (Orang Kurang Upaya)

Kumpulan Sasar Tambahan:
Anak-Anak Yatim, Kanak-Kanak Kurang Bernasib Baik, Ibu Tunggal/Ibu Tinggal, Warga Emas dan Keluarga Miskin (dari lingkungan kumpulan sasar utama)

Kelas Harian EIP:
5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 8:30am-12:30pm.

Kelas Harian LPV (Latihan Pemulihan Vokasional):
5 hari/minggu; Isnin-Jumaat; 9:00am- 4:00pm.

Kelas harian Pemulihan Perubatan pula dijalankan seperti berikut:

Pemulihan Anggota:
3 hari/minggu; Isnin, Rabu danJumaat; 8:30-11:30am; untuk OKU dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah.

Sabtu & Ahad pula dikhaskan kepada OKU yang keluarganya mampu bayar penuh kos pakar (OKU dari keluarga kaya).

Pemulihan Pertuturan:
2 hari/minggu, Rabu dan Jumaat 8:30am- 12:00pm; untuk OKU dari keluarga berpendapan rendah dan miskin dan hari 2 hari dalam seminggu dikhaskan untuk OKU dari keluarga kaya yang mampu membayar kos pakar.

Pemulihan Carakerja:
3 hari/minggu; Isnin, Rabu dan Jumaat; 8:30-11:30am; untuk pelatih kanak-kanak; 2:30-4:00pm untuk pelatih remaja PDK.

Program Lawatan ke Rumah:
2 kali/minggu; Selasa (2:00-4:00 petang) dan Sabtu (9:30am-12:30pm). Berdasarkan keperluan dan persetujuan dari ibubapa/penjaga untuk kehadiran Petugas PDK di kediaman mereka.

Program Rumah Kelompok (Lelaki):
Menempatkan seramai 4 OKU yang telah bekerja. (telah ditamatkan pada Januari 2015)

Pengurusan:
PDK Selayang yang ditadbir-urus oleh Jawatankuasa Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Selayang yang mana barisan Jawatankuasa terdiri dari ibubapa/penjaga OKU, Masyarakat Tempatan dan seorang OKU

Kakitangan:
Seramai 12 kakitangan berkhidmat di PDK Selayang yang diketuai oleh Penyelia PDK iaitu Puan Noraini Othman, (sila lihat
side menu).


Saturday, October 23, 2010

Kejohanan Bowling Special Olympics Antara PDK-PDK Daerah Gombak 2010-Versi Sinar Harian

Boling Olimpik Istimewa meriah, Sinar Harian 23/10/2010 Sabtu

SELAYANG UTAMA – Seramai 47 pemain dalam kalangan peserta Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) berentap pada Kejohanan Boling Olimpik Istimewa, yang berlangsung di Wangsa Bowl, Selayang Mall dekat sini.

Sebanyak lapan kumpulan divisyen bertanding, manakala dua kumpulan lagi kategori perkenalan.

Ia menyaksikan juara jatuhan pin terbanyak pertandingan kalangan orang kurang upaya (OKU) kecacatan intelek itu, diungguli Ab Hafiz Mohd dari PDK Kamii Gombak Setia, dengan 294 jatuhan pin.

Selain Ab Hafiz dalam kumpulan Divisyen 1, juga mendapat tempat pertama adalah Mugilen Tamil Selvam (Divisyen 2) dari PDK Batu Arang; Ahmad Safwan Shukor (Divisyen 3) dari PDK Selayang; Nurul Azian Jayus (Divisyen 4) dari PDK Batu Arang dan Mohd Zahry Ruskamal (Divisyen 5) dari PDK Sungai Choh.

Sementara itu, bagi tempat pertama Divisyen 6 pula disandang Zulkifli Mohd Noh, dari PDK Kamii Gombak Setia; Narkesh Naidu (Divisyen 7) dari PDK Rawang dan Nurzila Afiqah (Divisyen 8) dari PDK Hulu Klang.

Bagi Kategori Pengenalan pula, tempat pertama dimenangi Hidayat Mansor (Divisyen 9) dan Ibrahim Yaacob (Divisyen 10), kedua-duanya dari PDK Kuala Kubu Baru.

Difahamkan setiap divisyen menggabungkan peserta bertanding dari setiap PDK antara empat hingga enam peserta, dipantau penyelia dan guru PDK masing-masing.

Juara jatuhan pin terbanyak menerima hadiah replika pin boling sumbangan Wangsa Bowl, selain tempat pertama menerima medal emas diikuti tempat kedua dan ketiga mendapat medal perak dan gangsa.

Pengerusi Penganjur yang juga Penyelia PDK Rawang, Sara Shaari berkata, terdapat lapan daripada sembilan PDK dalam daerah Gombak menyertai pertandingan.

Katanya, turut sama dijemput memeriahkan pertandingan adalah peserta PDK Sungai Choh, PDK Batang Kali dan PDK Kuala Kubu Bharu.

“Tujuan kita mengadakan program ini adalah untuk memberikan pendedahan peserta PDK kepada sukan kerana jika tidak aktiviti mereka hanya terhad di rumah dan di PDK sahaja.

“Sebenarnya mereka ini juga boleh bermain boling, tetapi seperti kita lihat hari ini semua mempunyai gaya tersendiri,” katanya.

Hadir sama, Pegawai Penyelaras PDK Daerah Gombak, Saimi Norbek, Pegawai Teknikal Olimpik Istimewa Malaysia (SOM), Mohd Yusof Tawil, ibu bapa dan ahli keluarga peserta PDK yang bertanding.

Sementara itu, Mohd Yusof yang juga Naib Pengerusi 2, PDK Selayang berkata, idea mengadakan program berkenaan selaras dengan tema SOM iaitu ‘Pemulihan melalui sukan’.

“Buat masa ini seramai 12 Pegawai Teknikal dilantik dalam kalangan penyelia/petugas PDK yang mengikuti kursus kejurulatihan dan kepegawaian Olimpik Istimewa.

“28 lagi penyelia dan petugas PDK adalah jawatankuasa dan ahli Jawatankuasa Kecil Kejohanan, sementara 11 lagi yang tidak atau belum pernah mengikuti kursus kepegawaian dan kejurulatihan dilantik sebagai pengiring atlet,” katanya.

No comments: