Saturday, August 10, 2013

Lembah Lenggong : Tapak Warisan Dunia Unesco

Kejadian hentaman meteorit yang jarang berlaku sebenarnya adalah fenomena biasa di bumi sejak jutaan tahun dulu. Malah, kesan hentaman meteorit pada 1.83 juta tahun dulu boleh dilihat di Lenggong, Perak.
Bukti penemuan batu serpihan hentaman meteorit itu penyumbang kepada pengiktirafan Lembah Leng­gong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 30 Jun 2012.
Tersenarai sebagai antara 953 Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO juga berkaitan dengan penemuan beberapa artifak berusia lebih 11,000 tahun menerusi kerja-kerja eskavasi ahli arkeologi negara sejak 20 tahun lalu sekaligus membuktikan wujudnya penempatan awal manusia prasejarah di negara ini.

Peradaban manusia tertua di luar Afrika itu dibuktikan melalui rangka manusia Perak Man dan bengkel pembuatan alat batu zaman Paleotik.
Foto
PELBAGAI maklumat mengenai Perak Man boleh diperoleh di Muzium Arkeologi lembah Lenggong.

Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia

Penemuan bukti artifak di kawasan terbuka dan gua yang terletak berdekatan antara satu sama lain dan di lembah sungai membuktikan arkeologi lembah Lenggong bermula di sini.

Kawasan terbuka Bukit Bunuh di Lembah Lenggong mencatatkan kehadiran hominid terawal di Asia Tenggara berusia kira-kira 1.83 juta tahun dengan penemuan kapak genggam tertua di dunia dan peralatan lain-lain yang tertanam di dalam batu suevite.

Bukti lagi kehadiran berterusan hominid di Lembah Lenggong dijumpai berdasarkan kepada kronologi penemuan bengkel alat batu di kawasan tersebut yang bertarikh 200,000 hingga 74,000 tahun dan 40,000 tahun.

Kawasan tapak arkeologi lembah Lenggong sebagai tapak warisan dunia ini adalah siri penamaan yang dibahagikan kepada dua kelompok iaitu Kluster 1 dan Kluster 2 yang dipisahkan bandar Lenggong.

Lembah Lenggong juga punyai kepentingan kepada sejarah manusia kerana ia adalah salah satu urutan kebudayaan arkeologi yang terpanjang di dunia, yang berlangsung di satu tempat dan merangkumi semua peringkat prasejarah - Zaman Paleolitik, Neolitik dan Logam.

Ia juga membuktikan kewujudan manusia seawal 1.83 juta tahun yang lalu dengan penemuan kapak genggam tertanam di dalam suevite yang dijumpai selain Kota Tampan adalah salah sebuah tapak bengkel Palaeolitik yang tidak terganggu.

Penemuan rangka manusia Perak yang juga satu-satunya rangka prasejarah di dunia yang lahir dengan kecacatan dikenali sebagai Braehymesophalangia Type A juga adalah satu daripada kepentingan lembah Lenggong kepada sejarah manusia.

Seterusnya pemeliharaan tapak tidak terganggu ini turut mendedahkan bukti evolusi kognitif kompleks manusia dalam perkembangan tradisi dan teknologi alat batu urutan masa yang sangat panjang bermula pada 1.83 juta tahun dahulu.

Penghijrahan manusia awal dari Afrika ke Australia melalui Kota Tampan, Hulu Perak sekitar 74,000 tahun lalu menjadikan Lembah Lenggong sangat penting kepada sejarah manusia.

Penemuan teknologi alat batu lembah Lenggong dengan Bukit Bunuh, 1.83 juta tahun dulu, Bukit Jawa 200,000 hingga 100,000 tahun, Kota tampan 74,000, Bukit Bunuh 40,000, Gua Gunung Runtuh 13,000, Gua Teluk Kelawar 8,000, Gua Harimau 4,000 dan Gua Batu Tukang 2,000 juga penyumbang kepada Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia.

Penyelidikan di Lembah Lenggong menunjukkan buat kali pertamanya bahawa alat yang dikenali alat Hoabinh dikatakan tipikal bagi Zaman Mesolitik sebenarnya dihasilkan lebih awal iaitu pada Zaman Paleolitik.

Dengan pelbagai penemuan ini, Lembah Lenggong nyata khazanah yang cukup bermakna dan pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sesuatu yang cukup bermakna.

Foto

Jejak Warisan UNESCO

Bersempena ulang tahun pertama Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia, penulis bersama rakan media dan agensi pelancong menerusi Fam Trip - Unesco Lembah Lenggong 2013 anjuran Tourism Malaysia Perak bertuah kerana berpeluang mengunjungi beberapa lokasi penting yang menyumbang kepada pengiktirafan itu.

Seawal pagi lagi, dengan menaiki kereta pacuan empat roda 4X4, kami meredah laluan yang agak berbukit dan sempit di kawasan ladang kelapa sawit untuk melihat sendiri tapak warisan dunia yang cukup bermakna itu.

Lokasi pertama dituju ialah Bukit Bunuh bagi melihat sendiri serpihan batu dari hentaman meteorit yang berlaku pada 1.83 juta tahun dulu.

Hentaman meteorit di Bukit Bunuh ini tercampak empat hingga lapan kilometer dari lokasi hentaman. Dengan suhu yang panas, batuan meteorit ini cair sebelum bercantum dengan batu lain. Batu meteorit ini berwarna kemerah-merahan dan menariknya ia lebih keras dari besi.

Kami juga mengunjungi lokasi yang dikatakan bengkel batuan berusia 1.83 juta tahun yang ditemui pada 2001.

Penemuan itu menjadikan kepentingan Bukit Bunuh adalah kerana hentaman meteorit dan kesan arkeologi pendudukan manusia pada 1.83 juta tahun dulu atau lebih awal.

Kami juga turut di bawa melihat kesan hentaman meteorit itu tidak terhenti di situ kerana kami terus di bawah ke puncak bukit untuk melihat sendiri lokasi sebenar hentaman meteorit.

Jejak Warisan kami diteruskan ke Bukit Sapi bagi melihat sendiri debu volkanik. Keseluruhan bahagian lembah di Lenggong terutama di bawah 72 meter di atas aras laut dipenuhi meterial yang berwarna keputihan yang dikenali sebagai batu atau tahan putih oleh masya­rakat di sini.

Sebenarnya ia adalah debu volkanik yang berasal daripada letusan Toba di Sumatera, Indonesia berusia sekitar 75,000 tahun dulu.

Taburan debu Toba ini di Lembah Lenggong yang didapati mencapai tujuh hingga 10 meter, bertaburan sekitar 70 kilometer persegi.

Berdasarkan bukti arkeologi, penemuan debu Toba berasosiasi dengan artifak Kota Tampan menunjukkan kemungkinan bencana ini mengakibatkan kepupusan masyarakat prasejarah Kota Tampan.

Mendaki bukit dan batuan selama lebih kurang 10 minit membawa kami ke satu gua kecil yang mengandungi formasi stalaktit dan stalagmit tetapi sesuatu yang cukup bersejarah.

Dengan nama Gua Gunung Runtuh, penemuan rangka manusia lengkap di Asia iaitu Perak Man adalah titik tolak membuktikan wujudnya penempatan awal manusia prasejarah di Malaysia.

Foto


Muzium Arkeologi lembah Lenggong

Dibina pada 1999 dan siap pada awal 2001, Muzium Arkeologi Lenggong adalah muzium prasejarah pertama di negara ini yang dibina di kawasan tapak Paleolitik Kota Tampan berusia 74,000 tahun.

Muzium ini adalah satu-satunya muzium prasejarah di negara ini yang mempamerkan maklumat berkaitan prasejarah negara khususnya bukti awal dan artifak dari zaman Paleolitik, Neolitik-Gangsa hing­galah zaman penempatan masyarakat Orang Asli.

Rangka Perak Man yang dipamerkan adalah koleksi paling mendapat perhatian di Muzium Arkeologi itu. Menariknya, ia dipamerkan dalam replika Gua Gunung Runtuh di mana rangka manusia tertua itu ditemui sekumpulan penyelidik diketuai Profesor Datuk Zuraina Abdul Majid dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1990.

Di dalam gua buatan itu digantung replika Kad Pe­ngenalan Malaysia, MyKad Perak Man yang ditulis beberapa perkara penting mengenainya termasuk usia, ketinggian, kelompok manusia, jenis kecacatannya serta aktiviti yang dilakukan dan teknologi yang digunakan pada zaman ia hidup.

Ruang pameran di Muzium Arkeologi Lenggong ini juga disusun mengikut kepada zaman terawal iaitu dari zaman Paleolitik dan zaman Neolitik-Gangsa.

Muzium ini juga mempamerkan secara terbuka semua jenis batuan yang ada di Hulu Perak dari yang berusia 300,000 tahun di taman Geologi Hulu Perak.

Muzium Arkeologi Leng­gong dibuka kepada pengun­jung setiap hari dari jam 9 pagi hingga 5 petang dan ditutup pada Aidilfitri dan Aidiladha. Bayaran adalah percuma.

No comments:

Post a Comment