Sunday, June 2, 2013

Ternak Ikan Kelah Dalam Gua

Biasanya bayi yang suka menyusu kerana secara semula jadi itulah sifat mereka kerana kaedah pemakanan itu adalah yang terbaik untuk pembesaran selepas dilahirkan.
Tetapi, jangan terkejut dalam alaf baru ini, ikan pun teringin menyusu, mungkin mengikut jejak manusia atau seronok melakukan perbuatan itu.
Inilah yang berlaku apabila seorang lelaki yang membawa botol susu diserbu ratusan ikan kelah semata-mata mahu menyusu. 

Gelagat itu walaupun nampak lucu, tetapi hakikatnya dalam dunia akhir zaman ini, aksi ikan menyusu bukan lagi sesuatu yang pelik.
Foto
Namun, botol yang digunakan untuk menyusu itu bukan susu haiwan atau susu tepung, tetapi mengandungi pelet iaitu sejenis makanan ikan.

Terpegun dengan cerita ikan kelah menyusu itu, sisipan Agro menghantar jurugambar dan menggunakan kamera digital, khusus untuk mengambil gambar dalam air telatah dan aksi ikan kelah terbabit. 

Foto
Untuk mendapatkan aksi kelah menyusu, jurugambar terpaksa mengambil masa kira-kira dua jam di kolam itu dan beberapa kali naik ke permukaan kerana air yang mengalir dari gua berhampiran sangat sejuk.

Sebaik saja, pemiliknya, Mohd Saipul Basri Yaacob, 38, masuk ke kolam bersama botol susu, dalam sekelip mata, beratus-ratus ikan kelah menyerbu ke arahnya untuk mendapatkan botol susu itu.

Gelagat menyusu seperti bayi yang haus susu ibu malah spesies ikan sungai itu tidak sedikit pun takut mendekati Mohd Saipul. 
Foto
Hasil Kegigihan Mohd Saipul menternak ikan kelah itu dengan kaedah menyusu sejak 13 tahun lalu, dia menjana pendapatan lumayan, selain menarik kunjungan orang ramai.

Ikan kelah adalah spesies ikan sungai yang kini menjadi buruan peminat untuk dipelihara dalam akuarium di rumah, malah ada yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan besar membeli ikan itu.

Sikapnya yang liar di dalam air menyebabkan spesies itu menjadi buruan penggemar ikan hiasan, apatah lagi ia sukar diperoleh dan mengalami kepupusan.
Foto
Bagi seekor ikan kelah hidup seberat sekilogram yang mempunyai sisik berwarna, harganya mencecah RM2,000.

Mohd Saipul menternak ikan kelah dalam gua batu kapur di Kampung Lepan Jaya, dekat Gua Musang, Kelantan.

Kegigihan Mohd Saipul mendapat pujian pelbagai pihak malah kolam ternakannya itu pernah di kunjungi bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.
Foto
Ternakan ikan kelah di dalam gua batu kapur itu mempunyai pengaliran air yang baik dan jernih, malah jarang dilakukan penternak lain.

Langkahnya memulakan penternakan seperti itu untuk memenuhi pasaran bagi spesies kelah yang semakin meningkat permintaannya.

Mohd Saipul Basri yang juga anak jati Kampung Lepan Jaya turut melakukan kajian mengenai kesesuaian pengaliran air bersih dalam gua itu.

“Pada peringkat permulaan saya hanya melepaskan kira-kira 2,000 ikan kelah dan kini membesar sehingga ada seberat lapan kilogram seekor.

“Sebelum memulakan ternakan ikan kelah dalam gua itu, saya bersama rakan mengambil masa lima bulan membersihkan batu di dalam dan di sekitar gua berkenaan untuk memastikan ia bersih,” katanya.

Ia juga bagi mengelak ikan itu mudah mati jika pergerakannya tidak bebas menyusuri celahan batu atau airnya berlumpur.

Kini, ada 7,000 ikan kelah di dalam kolam dan jika dipasarkan ia mencecah puluhan ribu ringgit.

Selain ikan kelah, dia juga menternak 7,000 ikan tilapia untuk pasaran tempatan.

“Sejak kecil lagi saya berminat menternak ikan dan menggunakan kawasan gua batu kapur terbiar dengan keluasan 0.8 hektar untuk penternakan ikan kelah. 

“Saya berbangga kerana projek itu membuahkan hasil, sekurang-kurangnya saya membantu membiak spesies ikan ini daripada kepupusan di Hulu Kelantan,” katanya.

Dia mengakui ikan kelah yang dipelihara itu sangat jinak dan boleh dipegang pengunjung kolam terbabit.

“Sepanjang hari saya bersama dua pekerja berendam dalam kolam sambil memberi makan makanan menggunakan botol susu.

“Ikan kelah diberikan makan tiga kali sehari dengan menyusu dan aksi mereka menyerbu serta berebut untuk mendapatkan botol susu amat menyeronokkan,” katanya.

Sepanjang memelihara ikan kelah, dia pernah kerugian RM200,000 apabila kolamnya dilandar banjir yang menyebabkan ikannya mati.

Katanya, mengambil iktibar daripada kejadian itu, dia memulakan langkah menternak semula ikan terbabit di dalam gua batu kapur yang lebih selamat daripada bencana alam.

Ahli Peladang Unit Lepan Jaya itu berkata, kebanyakan benih ikan kelah diperoleh daripada penduduk Orang Asli di kampung pedalaman Hulu Kelantan.

“Saya juga bercadang menjadikan kawasan ternakan ikan kelah dalam gua batu kapur itu sebagai destinasi pelancongan,” katanya.

Hasil kegigihan dalam bidang ternakan ikan, dia menerima Anugerah Belia Negara 2011 Peringkat Negeri Kelantan.

“Saya turut menerima anugerah daripada Bantuan Input Akuakultur Jabatan Perikanan Malaysia dan Penghargaan Peladang Jaya Muda Lelaki 2009 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gua Musang,” katanya.

No comments:

Post a Comment