Sunday, June 2, 2013

Gunung Berembun : Destinasi Baru Pelancungan Rekreasi dan Kembara

Lata Berembun
Gunung Berembun di Hutan Simpan Hulu Dungun antara destinasi menarik untuk dikunjungi kerana selain ke­­tinggiannya 1,108 meter dari aras laut, ia dikelilingi alam semula jadi, flora dan fauna.
Justeru, apabila menerima jemputan mendaki gunung itu sempena Program Perdana Warga Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersama 35 peserta lain, penulis terus bersetuju. 



Kami memulakan pendakian di kaki gunung yang terletak di Hutan Lipur Cemerong bersama jurupandu, Hafiz Hassan yang juga Ketua Pegawai AADK Kuala Terengganu. 

Selepas bacaan doa dan minum pagi, langkah di atur setapak demi setapak dan udara pagi yang segar memberi semangat kepada kami.

Sambil mendaki, pemandangan sekitar amat mengasyikkan dengan ditemani deruan air sungai yang jernih mengalir dari celah pepohon hutan.
Lata Berembun

Lata Berembun dari kejauhan

Selepas dua jam melalui denai yang santai, trek seterusnya agak mencabar kerana selain kedudukannya yang menegak, kami terpaksa menempuh laluan berlumpur dan licin. 

Tiga jam mendaki, Kem Balak menjadi tempat persinggahan peserta sambil menikmati hidangan makan tengah hari untuk mengembalikan tenaga dan semangat baru. 

Badan yang letih kembali cergas, perut yang lapar sudah terisi. Justeru, pendakian diteruskan dengan matlamat untuk tiba di lokasi bermalam yang ditetapkan. 

Beberapa minit mengatur langkah, kekuatan mental dan fizikal peserta diuji lagi dengan trek menegak, namun dengan keazaman yang tinggi, ia dapat diatasi sebelum peserta tiba di Kem Y untuk bermalam. 

Tiba di Kem Y, penulis terpegun melihat keluasan hutan belantara dengan keindahan flora dan fauna ciptaan Ilahi, memang meng­kagumkan. 

Ternyata ia tidak sama dengan cakap-cakap yang diperkatakan sebelum ini tanpa dilihat dengan mata sendiri kerana pemanda­ngan yang disajikan itu benar-benar memukau penglihatan. 

Kabus bagaikan menyelimuti tubuh, gunung disaluti kehijauan pokok dan cahaya mentari mewarnai alam, satu pengalaman mengasyikkan sekali gus memperlihatkan kebesaran ciptaan Ilahi. 

Selepas siap mendirikan khemah, peserta disajikan dengan makan malam yang serba ringkas namun menyelerakan iaitu nasi putih berlaukkan sardin dan telur goreng. 

Cuaca baik membolehkan peserta berbual menceritakan pengalaman masing-masing selain merapatkan ikatan persahabatan terutama warga AADK yang sebelum ini tidak mengenali antara satu sama lain. 

Tepat jam 12 tengah malam, masing-masing mengambil tempat untuk melelapkan mata dan merehatkan badan bagi meneruskan separuh perjalanan keesokannya. 

Tapat jam 6 pagi, kami sudah bangun dalam cuaca sejuk diselaputi kabus hingga menusuk ke tulang-belulang. 

Panorama menakjubkan waktu pagi cukup mempesonakan apabila matahari mula terbit dari arah timur dan keindahan itu tidak mampu diungkap dengan kata-kata. 

Pendakian ke puncak Gunung Berembun diteruskan jam 9 pagi dan juru pandu memberitahu perjalanan mengambil masa tiga jam ke puncak. 
Mendengar kata-kata itu, peserta segera meneruskan pendakian ke puncak dengan membawa bekalan air mencukupi bagi menghilangkan kehausan ketika perjalanan. 

Mendaki sebelah pagi tidak begitu memenatkan, namun apabila berdepan dengan trek menegak ramai peserta berhenti menghilangkan kepenatan. 

Dalam mengharungi perjalanan yang masih jauh peserta turut disajikan dengan pelbagai spesies serangga malah ada berhenti untuk merakam gambar panorama di sekeliling hutan. 

Selepas tiga jam mengharungi pelbagai cabaran, kami tiba di puncak Gunung Berembun yang menyajikan panorama cukup menakjub­kan apabila aliran air terjun. 

Kami memasang khemah mula dan menikmati hida­ngan sebelum berehat dan ada yang mengabadikan gambar kenangan di puncak gunung itu. 

Air Terjun Gunung Berembun memang memukau pandangan, selepas bermalam keesokannya peserta me­ngambil masa hampir lapan jam turun ke Hutan Lipur Cemerong. 

Pengalaman tiga hari dua malam menerokai alam semula jadi bermula di Hutan Lipur Cemerong ke puncak Gunung Berembun mengajar erti kesabaran dan kebesaran Ilahi.

No comments:

Post a Comment