Ini kerana ia adalah replika tongkang yang sengaja diletakkan di situ bagi menyambut kedatangan pengunjung dan sebagai tanda bahawa pelawat kini di kawasan Tongkang Pechah.
Yang pasti, kehadiran replika tongkang yang tertera jelas perkataan ‘Tongkang Pechah’ itu sebenarnya sinonim dengan sejarah bagaimana kawasan itu mendapat namanya, sekali gus menarik perhatian sesiapa saja, terutama pengunjung yang pertama kali melawat tempat berkenaan.
Menyorot sejarah, Tongkang Pechah memang berkait rapat dengan peristiwa tragedi kapal karam yang berlaku di sana.
Tongkang Pechah dipercayai wujud sejak pemerintahan kerajaan Melayu Lama Jambi pada abad ke-18. Ia dulunya dikatakan pecahan daripada tiga kerajaan Melayu Lama Jambi yang mulanya bertapak di Indonesia dan dulunya dikenali sebagai Mo-Lo-Yu.
Berdasarkan catatan rahib China dikenali sebagai I-Ching pada 671 Masihi, kerajaan Mo-lo-yu wujud selepas kerajaan Srivijaya kehilangan kuasanya pada 1025 Masihi. Mulai abad ke-11, ejaan Mo-lo-yu diganti dengan nama Jambi oleh I-Ching dan sejak itu hilanglah sebutan Mo-lo-yu.
Bahkan sehingga detik itu juga, tiga kerajaan baru dibentuk iaitu membabitkan Srivijaya - Palembang pada abad ke-7 hingga 11 Masihi, kerajaan Melayu Jambi (abad ke-11 hingga 13 Masihi) dan kerajaan Melayu Melaka (abad ke-14 hingga 15 Masihi).
Bagaimanapun, serangan Portugis terhadap kerajaan Melayu Melaka pada 1511 melenyapkan pemerintahan berkenaan yang kemudian digantikan dengan kewujudan kerajaan Johor-Riau-Lingga pada abad ke-16 Masihi.
Pegawai Sejarah Yayasan Warisan Johor, Kamdi Kamil berkata, kawasan Tongkang Pechah kemudian diteroka sekumpulan lelaki yang mempunyai hubungan darah dengan pemimpin kerajaan Jambi yang berjaya melarikan diri daripada tahanan Belanda di Sumatera, Indonesia.
Katanya, kawasan itu mula diteroka apabila kumpulan pelayar berkenaan membuat keputusan untuk mudik melalui Sungai Batu Pahat dengan tujuan mengelak dikesan Belanda atau Portugis, selain mencari kawasan persembunyian.
“Oleh kerana tidak mahu ditangkap semula, mereka nekad memulakan pelayaran dari Sumatera menuju ke pantai barat Tanah Melayu dengan disertai beberapa kumpulan penduduk Jambi yang masih setia.
“Perjalanan itu membawa mereka ke selatan Tanah Melayu dan sebaik sampai di sebatang sungai, mereka dikatakan bersepakat meneroka laluan sungai itu selain mencari bekalan makanan,” katanya.
Namun, setelah beberapa hari meninjau kawasan sepanjang sungai, mereka mendapati ia tidak berpenghuni dan selamat untuk dihuni. Akhirnya, ahli kumpulan itu bersepakat membuka beberapa kawasan penempatan di kawasan sungai yang hari ini dikenali sebagai Parit Sulong, Parit Jambu serta Kampung Seri Merlong di Rengit sebagai kawasan untuk memulakan kehidupan baru mereka.
“Namun, baki kumpulan terakhir yang masih ingin meneruskan pelayaran dan berada dalam kapal untuk mencari kawasan lebih sesuai ditimpa musibah. Sebuah tongkang yang mereka naiki pecah serta rosak teruk.
“Disebabkan itu, mereka terpaksa menghentikan pelayaran dan bersepakat membuka kawasan penempatan di situ. Bagi mengingati pelayaran dan kejadian yang berlaku, mereka menamakan kawasan berkenaan Tongkang Pechah iaitu merujuk kawasan di mana tongkang yang mereka naiki rosak dan karam,” katanya.
Menurut Kamdi, selepas beberapa lama dan mengetahui kawasan berkenaan di bawah kekuasaan kerajaan Melayu Johor-Riau-Lingga yang ditadbir Sultan Abu Bakar, beberapa pemimpin yang ada memohon perkenan menghadap baginda, seterusnya memohon kebenaran tinggal di sana.
Sejak itu, Tongkang Pechah diiktiraf sebagai kawasan penempatan dengan kebanyakan penduduknya menjalankan aktiviti pertanian dan perikanan, sekali gus mewujudkan hubungan dengan masyarakat di Riau.
Buktinya, sebuah kampung di Riau diberi nama Kampung Johor dipercayai bagi mengiktiraf hubungan yang terjalin pada waktu itu dan sebuah kampung di Rengit, Johor diberi nama Kampung Riau.
Malah, sehingga kini penduduk di Tongkang Pechah serta beberapa kawasan sekitarnya juga dikatakan mempunyai hubungan darah dengan penduduk di Jambi, Indonesia termasuk beberapa persamaan pada aspek budaya serta dialek percakapan.
Selaras dengan peredaran masa, Tongkang Pechah kini antara lokasi penting di daerah Batu Pahat apabila menjadi kawasan tumpuan bagi sektor perkilangan, pembuatan makanan, tekstil dan kelengkapan elektronik.
Ia juga antara kawasan perindustrian utama di daerah ini dan mengulangi sejarah terdahulu yang mana lokasi ini pernah menjadi kawasan pertanian yang gah dari dalam dan luar Johor.
No comments:
Post a Comment